Dalam masyarakat pantai timur di Semenanjung Malaysia, bunga telang terkenal salah satu bahan untuk nasi kerabu. Warna biru nila bunga ini menjadikan nasi berwarna biru. Ia sering digunakan sebagai pewarna semulajadi dalam masakan. Namun khasiat bunga telang untuk kesihatan kurang diketahui ramai. Rupa-rupanya tumbuhan ini dapat membantu mengelak dan mengurangkan penyakit-penyakit tertentu.
Isi Kandungan
Bunga Telang
Pokok bunga telang adalah sejenis pokok yang menjalar. Ia adalah tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara. Jadi ia sesuai dan mudah ditanam di Malaysia. Selain cantik sebagai pokok hiasan, bunganya boleh digunakan untuk kegunaan harian serta mendapatkan khasiatnya.
Bunga telang cantik dengan warna biru nila yang terang. Ia berwarna biru kerana kandungan antosianin. Antosianin ini berfungsi sebagai antioksidan yang membantu mencegah penyakit serta melindungi badan. Bunga ini juga terdapat dalam warna putih.
Nama saintifiknya adalah Clitoria ternatea. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali dengan nama blue pea, butterfly pea, cordofan pea atau Darwin pea. Jadi jika jumpa perkataan ini ia adalah bunga yang sama, bunga telang.
Selain untuk masakan, bunga telang ini juga digunakan sebagai pewarna dalam industri tekstil tradisional dan juga kosmetik.
5 Khasiat Bunga Telang
1. Antioksida dan Anti-radang
Bunga telang sangat kaya dengan sebatian antioksidan. Antosionin yang terkandung dalam bunga ini dapat mengoksidasi makanan dan mengelak berlaku penyakit. Kehadiran antioksidan ini membawa kepada banyak manfaat kesihatan
Pengamalan yang konsisten dapat mengawal daripada berlaku penyakit. Dalam masa yang sama, perlu jaga pemakanan. Elak ambil makanan yang menyebabkan keradangan seperti roti putih, makanan proses, gula dan makanan berlemak. Pengambilan bahan antioksida dan anti-radang akan lebih berkesan sekiranya diet pemakanan turut dijaga.
Amalan pengambilan bahan mengandungi antioksida dan anti-radang secara semulajadi untuk mencegah adalah lebih baik berbanding pengambilan ubat semasa sakit. Jika sudah sakit, tiada pilihan, perlu ambil ubat untuk kesakitan yang dialami. Bahan semulajadi boleh diambil tetapi kesannya akan lebih lama. Jadi lebih baik cegah sebelum terjadi.
2. Mencantikkan kulit serta mengalakkan pertumbuhan rambut
Bunga telang juga dikatakan mempunyai khasiat untuk kecantikan kulit dan pertumbuhan rambut. Ini kerana ia mengandungi antioksidan, polifenol, dan flavonoid, yang merangsang pengeluaran semula jadi kolagen dan elastin. Ia dapat membantu meningkatkan kelembapan pada kulit. Selain itu, bunga ini mengandungi anti-radangan yang membantu masalah kerengsaan kulit dan alahan.
Ia mungkin sesuai untuk ibu selepas pantang yang keguguran rambut bagi membantu mengalak pertumbuhan rambut.
3. Menstabilkan paras gula dalam darah
Di samping itu, bunga telang turut diketahui bagus untuk menstabilkan paras gula dalam darah. Ia dapat mengurangkan gula dan insulin dalam badan. Bunga telang ini dikatakan mampu melindungi sel daripada kerosakan serta mengelak terjadinya diabetes.
4. Membantu sistem penghadaman
Teh bunga telang juga digunakan untuk membantu sistem penghadaman. Sifat anti-radangnya dapat melegakan otot perut. Ia turut mengurangkan rasa loya dan senak. Teh bunga telang mempunyai sifat diuretik, minuman teh bunga ini dapat membantu menurunkan berat badan. Ia merangsang aliran hempedu dari hati, bertindak sebagai julap ringan. Ia dapat melegakan sistem penghadaman badan serta membuang bahan buangan yang tidak diperlukan oleh badan.
5. Mengawal berat badan
Bunga telang ini memperlahankan pembentukan lemak dalam badan. Dibantu pula dengan sistem penghadaman yang membuang bahan buangan, ia mungkin mampu mengawal berat badan.
Cara Penggunaan Bunga Telang
Bunga telang ini boleh dijadikan sebagai minuman dan digunakan dalam masakan. Pokok bunga ini boleh tanam di dalam pasu. Dalam 2 ke 3 bulan ia sudah mula berbunga. Apabila diperlukan, petik bunganya dan sedia digunakan. Namun jika tidak mempunyai masa dan tidak pandai menanam, beli bunga telang kering yang dijual. Biasanya bunga ini dijual di pasaraya tertentu. Untuk tahan lebih lama, simpan bunga telang kering di dalam peti sejuk.
Teh Bunga Telang
Teh bunga telang boleh dijadikan minuman harian samada semasa sarapan atau minum petang. Untuk membuat teh bunga telang, ambil 3 ke 5 kuntum bunga telang. Rendam di dalam air panas selama 10 ke 15 minit. Tapis bunga sebelum minum. Teh ini tiada rasa, jadi boleh dicampur dengan madu, kurma merah, lemon atau limau nipis. Ikut pilihan sendiri. Ia juga sesuai diminum panas atau sejuk.
Bahan Masakan
Selain sebagai minuman, boleh juga masukkan ke dalam nasi. Masukkan bunga telang ke dalam beras yang hendak dimasak. Masak seperti biasa. Nasi akan menjadi sedikit kebiruan.
Bunga ini juga boleh dijadikan pewarna dalam apa jua masakan. Pewarna sering digunakan kerana ia lebih mudah dan murah. Namun diketahui pewarna mempunyai kesan yang tidak baik kepada kesihatan. Apa kata selepas ini tukarkan pewarna biru dengan bunga telang. Bunga ini tiada perasa jadi ia tidak akan mengubah rasa masakan tersebut.
Kesan Sampingan Bunga Telang
Secara umumnya pengambilan bunga telang secara moderat tidak akan memberi sebarang kesan. Namun ia mungkin memberi kesan seperti cirit dan sakit perut disebabkan sifat diuretiknya. Biasanya keadaan ini tidak teruk dan tidak memerlukan sebarang rawatan.
Namun bagi individu alah perlu mengelaknya. Bagi yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan dengan pengambilan herba atau teh dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Kesimpulan
Bunga telang ini banyak digunakan sebagai herba untuk kesihatan. Penggunaannya dikatakan memberi kesan yang baik dan dapat membantu. Walau apa sekali kebaikan gunakan mengikut sukatan. Andai digunakan berlebihan ia mungkin mendatangkan mudarat.