Apakah ciri-ciri autisme yang boleh dikenalpasti sejak awal? Mengesan autisme di peringkat awal mengurangkan kesan buruk apabila anak semakin meningkat dewasa. Intervensi awal boleh dilakukan untuk membantu anak meneruskan kehidupan lebih baik.
Teruskan membaca untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang autisme dan bagaimana ingin membantu individu yang hidup dalam spektrum autisme ini.
Isi Kandungan
Ciri-ciri Autisme
Mengenali ciri-ciri autisme pada anak penting supaya dapat dikesan sejak awal. Kebiasaannya ibu ayah mula perasan terdapat kelainan mengenai anak pada usia 2 ke 6 tahun. Ianya boleh dikesan sejak usia 18 bulan.
Setiap individu berbeza-beza tingkah laku dan tindak balas terhadap apa yang dialami. Walaupun berada dalam spektrum yang sama ia boleh mempunyai sifat dan tingkah laku yang berlainan. Oleh sebab itu ia dinamakan Gangguan Spektrum Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD). Walau bagaimanapun, terdapat ciri-ciri umum yang dikaitkan dengan autisme
Kenalpasti ciri-ciri autisme, ia boleh berlaku salah satu atau beberapa yang berikut. Untuk kepastian dapatkan pemeriksaan lanjut.
Kemahiran sosial
Kemahiran sosial adalah sesuatu diperlukan untuk berinteraksi dengan orang lain. Ia adalah kemahiran dalam bentuk lisan dan bukan lisan seperti bercakap, ekspresi wajah dan bahasa badan. Kanak-kanak normal boleh berkongsi, bekerjasama, mendengar arahan termasuklah mempunyai komunikasi mata.
Anak ASD menghadapi kesukaran bersosial. Mereka tiada kemahiran ini. Apabila dipanggil mereka tidak menyahut dan tidak suka bertentangan mata. Mereka lebih gemar bermain sendirian dan berada dalam dunia sendiri.
Kemahiran berkomunikasi dan bertutur
Mereka mengalami kesukaran untuk berkomunikasi. Dalam berkomunikasi perlu mempunyai kemahiran memahami komunikasi ekspresif dan reseptif. Komunikasi ekspresif merujuk kepada keupayaan dia menyampaikan dan meluahkan perasaan, idea, pendapat atau pemikiran kepada orang lain. Manakala komunikasi resepsif merujuk kepada penerimaan dan memahami percakapan atau apa yang cuba disampaikan oleh orang lain.
Mereka boleh mengalami salah satu atau kedua-dua masalah komunikasi ini. Apabila sukar untuk menyampaikan dan memahami sesuatu yang disampaikan, mereka akan kecewa dan rasa tertekan. Sukar mereka memahami bahasa yang terselindung maksud seperti simpulan bahasa atau peribahasa.
Pertuturan mereka mungkin terhad kepada satu patah perkataan. Mereka sering menggunakan perkataan tunggal atau frasa pendek untuk bertutur. Kebiasaannya mereka gemar membuat bunyi atau perkataan yang tiada makna dan sukar difahami.
Di samping itu, mereka juga gemar mengulang perkataan-perkataan yang dituturkan oleh orang lain. Ia dipanggil ekolalia. Selain itu, bahasa pertuturan mungkin berbunyi pelik atau seperti suara robot tanpa intonasi.
Tingkah laku dan emosi
Mereka mungkin menunjukkan tingkah laku yang luar biasa atau pergerakan badan yang stereotaip. Gerakan stereotaip adalah tingkah laku motor berulang dan tidak mempunyai fungsi melakukannya. Ia boleh mengganggu aktiviti harian serta menyebabkan kecederaan.
Antara ciri-ciri tersebut seperti mengibas tangan, memutar objek dan melompat tanpa tujuan. Terdapat juga kanak-kanak autisme yang mencederakan diri sendiri dengan menggigit dan menghantuk kepala ke dinding. Selain itu, mereka juga boleh menunjukkan emosi tanpa sebab seperti ketawa, menangis dan menjerit.
Sukar untuk beralih daripada satu aktiviti ke aktiviti lain serta sukar menerima perubahan persekitaran. Ramai individu dengan ASD suka berada tempat yang sama dan menjadi kecewa apabila persekitaran mereka berubah.
Kemahiran kognitif
Kognitif adalah berkaitan dengan aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menafsir, memahami konsep dan menyelesaikan masalah. Autisme sering dikaitkan dengan perkembangan kognitif yang lewat berbanding kanak-kanak usia sebaya. Oleh kerana itu, pemikiran atau tindak-tanduk mereka dilihat tidak selari dengan usia, usia 7 tahun tetapi perwatakan seperti 4 tahun.
Mereka sukar memahami konsep-konsep tertentu terutamanya konsep abstrak seperti emosi. Sukar mereka memahami perasaan orang lain. Oleh kerana itu mereka ini sering dilabel tiada perasaan dan tidak mengendahkan orang lain. Di sebabkan ini juga mereka lebih gemar bersendirian.
Sensori atau deria
Tindak balas luar biasa terhadap rangsangan deria. Seseorang yang mempunyai ASD mungkin boleh jadi terlalu sensitif atau kurang sensitif terhadap bunyi, sentuhan, bau, rasa atau visual.
Mereka yang mempunyai kekuatan visual, mendapati lebih mudah untuk memproses maklumat yang dibentangkan dalam format visual, sekali gus mengimbangi kekurangan deria pendengaran. Manakala mereka yang sensitif pada deria pendengaran sukar berada dalam keadaan bising dan hiruk pikuk. Ia menyebabkan mereka mudah terganggu dan berasa sangat tidak selesa.
Penilaian Awal
Masuk ke alam sekolah, di sekolah kerajaan, pihak sekolah akan menilai anak yang dilihat berlainan dan memerlukan bantuan. Selepas mendapat persetujuan ibu bapa anak-anak ini akan dirujuk kepada hospital yang berkaitan. Kebiasaannya ia akan memakan masa sehingga setahun untuk mendapat temujanji.
Kemudian doktor akan membuat penilaian dan memaklumkan samada anak mempunyai keperluan khas atau tidak. Anak-anak mungkin mengalami autism, dyslexia, ADHD. Ada kala ia berkaitan dengan masalah deria seperti penglihatan atau pendengaran, tiada kaitan dengan masalah neurologi atau otak.
Andaikata anda telah dapat kenalpasti terdapat kelainan pada anak sejak awal, sebelum memasuki sekolah, lakukan pemeriksaan segera. Lebih awal lebih bagus, dapat membantu anak secepat yang mungkin. Melakukan intervensi awal membantu anak autisme mempelajari bagaimana ingin berhadapan dengan kehidupan yang normal.
Intervensi Awal Autisme
Intervensi awal autisme telah dibukti keberkesanannya melalui penyelidikan di peringkat antarabangsa. Intervensi awal bertujuan untuk mengenal pasti dan menyediakan sokongan awal yang berkesan kepada kanak-kanak dan golongan muda dalam menghadapi kehidupan harian dan serta dapat membesar secara normal.
Intervensi awal berfungsi mencegah berlaku masalah atau dapat menanganinya dengan segera semasa ia berlaku. Ia juga membantu untuk memupuk kemahiran peribadi, meningkatkan kemahiran sosial dan emosi anak-anak sebelum melangkah ke alam kehidupan dewasa.
Pendekatan Intervensi Awal
Pendekatan intervensi menumpukan kepada 4 aspek utama perkembangan kanak-kanak iaitu perkembangan fizikal, kognitif, tingkah laku dan sosial serta emosi mereka.
Perkembangan Fizikal
Membantu memperbaiki pertumbuhan fizikal anak
Perkembangan Kognitif
Mengasah kemahiran bertutur dan bahasa, kebolehan membaca dan menulis serta kefahaman tentang penyelesaian masalah. Dengan ini mereka dapat berkomunikasi dengan baik dan memahami apa kehendak orang lain.
Perkembangan Tingkah laku
Keupayaan kanak-kanak memantau dan mengawal tingkah laku mereka. Kemampuan ini membantu mereka membentuk hubungan yang baik dengan orang lain. Mereka tidak rasa kekok untuk berada di khalayak ramai.
Perkembangan Sosial dan Emosi
Memberi kesedaran mengenai keperluan emosi diri sendiri dan juga emosi orang lain. Ia merangkumi kebolehan mengurus rasa negatif dalam diri anak itu dan dapat membentuk hubungan yang positif dengan orang lain. Dalam jangka masa panjang ia mampu mengurangkan masalah kemurungan dan masalah mental.
Pusat Autisme
Buat masa sekarang hanya terdapat satu pusat autisme untuk anak berusia 4 ke 6 tahun dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Kebanyakan yang lain adalah pusat autisme persendirian. Andai berkemampuan, boleh kunjungi pakar psikologi atau pusat intervensi persendirian untuk membuat pemeriksaan. Caj yang dikenakan agak mahal namun lebih cepat berbanding perlu menunggu giliran untuk membuat temujanji di hospital kerajaan.
Pemata Kurnia
Permata Kurnia adalah satu program di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia khas untuk anak autisme. Ia sebuah pusat intervensi awal komprehensif untuk memenuhi keperluan kanak-kanak autisme serta keluarga mereka. Buat masa sekarang hanya terdapat 1 sekolah khas permata kurnia terletak di Sentul, Kuala Lumpur.
Nasom
National Autism Society of Malaysia iaitu Nasom merupakan badan pertubuhan amal dalam membantu autisme. Ia merupakan antara pusat autisme yang terbesardi Malaysia. Ibu pejabat terletak di Selangor dan mempunyai beberapa cawangan di Selangor dan Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat juga beberapa cawangan di bandar lain seperti di Bayan Lepas, Butterworth, Alor Setar, Ipoh, Kerteh, Kuantan dan Kota Kinabalu.
Kesimpulan
Andai anak-anak anda mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan dapatkan pemeriksaan lanjut. Ada ibu bapa yang berada dalam keadaan penafian. Jelas anak-anak mempunyai ciri-ciri autisme tetapi tidak ambil sebarang tindakan. Mereka tidak mahu menerima kekurangan anak mereka. Kesannya anak ini akan membesar tanpa bantuan dan bakal menghadapi masalah apabila besar kelak.
Sekiranya tindakan awal diambil, anak mungkin dapat menjalani kehidupan normal. Inilah tindakan yang terbaik patut dilakukan oleh ibu ayah. Tentu sekali kita ingin tinggalkan anak dalam keadaan dia mampu berdikari dan menguruskan diri dengan baik.