Meroyan selepas bersalin merujuk kepada masalah kesihatan mental yang dihadapi ibu selepas bersalin. Ia juga dikenali sebagai ‘Baby Blues‘.
Isi Kandungan
Meroyan selepas bersalin
Dalam masyarakat melayu di Malaysia kemurungan selepas bersalin dipanggil meroyan. Meroyan selepas bersalin ini berlaku tidak kira apa bangsa di dunia ini. Ia adalah ketidakstabilan emosi selepas bersalin, menyebabkan ibu tertekan atau bertindak agresif.
Hampir 50 hingga 80% ibu selepas bersalin mengalaminya dalam tempoh beberapa minggu dan ada yang berpanjangan. Oleh kerana keadaan ini kerap berlaku ia dianggap seperti normal dan ibu-ibu jarang diberi perhatian untuk mengatasi masalah mereka. Ibu yang alami ini mampu bertindak di luar batas kemanusiaan. Terdapat kes-kes seperti mencederakan diri sendiri malah ada yang melibatkan bayi sehingga menyebabkan kematian.
Punca meroyan selepas bersalin
Selepas bersalin berlaku perubahan hormon yang mendadak. Estrogen dan progesteron menurun dengan mendadak dan memberi kesan terutama kepada kebanyakan ibu. Keadaan ini juga berlaku semasa perubahan hormon yang berlaku dalam kitaran prahaid, yang boleh mengganggu emosi.
Di samping itu, kehadiran bayi mengubah kehidupan ibu. Walaupun ibu rasa gembira dengan kehadiran orang baru, namun keadaan hidup mula berubah sepenuhnya. Tidak mendapat rehat dan tidur yang mencukupi, perlu menjaga bayi dan badan masih belum pulih sepenuhnya. Ini diburukkan lagi jika tiada sokongan daripada keluarga terutama suami. Ditambah pula bergelut dengan masalah hubungan dengan orang terdekat.
Jika ibu mengalami kemurungan sejak kehamilan ia boleh berlarutan sehingga selepas bersalin. Wanita yang mempunyai sejarah kemurungan atau ganggual bipolar akan lebih terdedah mengalaminya.
Amalan-amalan pantang yang tidak sesuai dan terlalu ketat seperti makan makanan tertentu sahaja, tidak boleh mandi dan keinginan hendak segera kembali ke bentuk asal memburukkan keadaan. Dalam keadaan tertekan perlu pula ikuti amalan yang tidak baik serta tidak mendapat khasiat pemakanan yang diperlukan.
Dalam perbidanan melayu, meroyan dinyatakan berpunca dari penjagaan pantang yang tidak betul dan salah satunya berpunca daripada pengeluaran darah nifas yang tidak sempurna. Masih ada darah yang tertinggal menjadi racun dalam rahim, dan akhirnya masuk ke darah. Ini mengakibatkan badan menjadi lemah dan sakit membawa kepada kemurungan. Keadaan ibu meroyan, boleh jadi penyebab gangguan kepada emosi yang tidak stabil, ketegangan urat, menjadi pucat dan lesu, berasa seram sejuk, gatal kulit dan lebih teruk menjadi garang dan bengis sehingga lupa diri.
Tanda-tanda meroyan atau kemurungan
Tanda-tanda awal telah bermula semasa mengandung. Ibu alami stress dan masalah emosi yang tidak dapat dirawat sebelum bersalin. Tanpa rawatan keadaan ini akan berlarutan selepas bersalin.
Tanda-tanda kemurungan selepas bersalin ini mungkin nampak sama seperti kemurungan biasa. Ibu yang tidak alami kemurungan juga akan alami beberapa tanda yang sama.
Antara tanda awal kemurungan selepas bersalin ialah menangis tanpa sebab, terlalu sensitif, tidak sabar, terlalu risau, lesu, penat, alami gangguan tidur samada insomnia (kurang tidur) atau mungkin hipersomnia (terlalu banyak tidur), tiada motivasi untuk menjaga bayi yang baru lahir, tidak berminat melakukan aktiviti harian dan kesedihan yang berterusan. Jika dibiarkan, perkara akan menjadi serius dan timbul perasaan negatif seperti rasa tidak berguna, syak wasangka yang berlebihan, obsesif dan lebih teruk pemikiran untuk membunuh diri.
Kemurungan selepas bersalin biasa mula terjadi pada minggu ke 4 sehingga ke 6 selepas bersalin. Individu yang alami ini akan mula bertindak pelik, berhalusinasi, bercakap tidak jelas dan melakukan tindakan impulsif. Dalam keadaan yang melampau ibu mungkin bertindak membunuh diri atau membunuh bayi mereka.
Rawatan meroyan
Dapatkan rawatan segera apabila mengalami tanda-tanda. Sebaiknya ibu kenalpasti dan maklumkan jika mula mempunyai tanda-tanda meroyan ini. Maklumkan kepada doktor atau ahli keluarga yang dapat membantu. Apabila mengalami perasaan yang negatif luahkan perasaan pada mereka yang dapat membantu. Elak bercakap dengan mereka yang memandang rendah keupayaan anda sebagai ibu dan menganggap anda lemah atau sengaja mengada-adakan cerita.
Selain ibu itu sendiri, orang terdekat seperti suami atau ahli keluarga, perhatikan keadaan ibu ini. Adakala ibu tidak sedar mereka sedang alami kemurungan. Jangan abaikan dan anggap ia adalah normal. Dapatkan rawatan awal sebelum melarat. Beri sokongan dan kata-kata semangat.
Dalam keadaan yang teruk doktor akan memberi rawatan lanjut dan ubat untuk menenangkan ibu. Ubat ini biasanya hanya akan memberi kesan dalam masa beberapa minggu untuk mengawal keadaan ibu.
Dalam ilmu perbidanan melayu, untuk rawatan meroyan ibu disyorkan mengamalkan mengambilan herba-herba yang tinggi kandungan antioksida dan antiradangan. Ia bertujuan membersihkan badan terutama rahim dari sisa racun agar darah kembali bersih. Secara tradisional disarankan pengambilan halia, serai, jerangau dan rempah ratus yang berkaitan. Pengambilannya juga dapat membantu mengimbangi hormon serta melegakan sakit urat dan saraf. Selain itu, mandian herba yang mengandungi daun bidara, daun keladi meroyan/kemoyan daun durian dan daun bunga raya putih digunakan sebagai mandian sepanjang rawatan.
Pencegahan
Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Sejak awal kehamilan jaga kesihatan fizikal dan mental. Dapatkan makanan berkhasiat agar badan sihat. Tanam dalam fikiran agar tidak fikir berlebihan atau risau keterlaluan. Kawal apa yang boleh dikawal dan elak memikirkan perkara yang tidak dapat dikawal.
Bantu ibu dengan memberikan ruang untuk berehat secukupnya. Ahli keluarga bantu menjaga bayi. Jangan dibebankan pula dengan perkara lain seperti kerja rumah atau kerja pejabat. Bantu lakukan kerja rumah dan pastikan rumah dalam keadaan kemas dan bersih.
Sepanjang berpantang, amalkan makanan yang berkhasiat dan seimbang agar badan cepat pulih. Beri masa untuk badan kembali langsing, usah terlalu memikirkan ingin segera langsing apabila habis pantang. Beri masa 6 bulan atau lebih agar tidak terlalu membebankan.
Kesimpulan
Andaikata ibu mengalami meroyan atau kemurungan, dapatkan rawatan segera. Jika tidak dirawat ia akan berlanjutan menghadapi masalah mental. Ibu akan sentiasa penat dan emosi tidak stabil. Lebih buruk lagi ia boleh menyebabkan kecelakaan.