Tentu ibu ayah teruja apabila mengetahui hamil anak kembar. Bolehkah anda tahu tanda hamil kembar?
Isi Kandungan
Bagaimana kembar boleh terjadi
Kehamilan kembar berlaku apabila berlaku lebih dari satu persenyawaan. Hamil anak kembar terjadi apabila berlaku persenyawaan satu telur dan dibahagi kepada 2 atau lebih. Ia juga boleh terjadi apabila dua atau lebih telur berlaku persenyawaan dengan sperma yang berbeza.
Faktor hamil kembar
Kehamilan kembar semakin kerap terjadi sekarang berbanding masa lampau. Ini kerana beberapa faktor yang berlaku. Suatu ketika dahulu banyak bergantung kepada faktor keturunan. Namun dengan kemajuan ilmu perubatan, hamil anak kembar bukan suatu yang mustahil lagi.
Keturunan
Seorang wanita lebih berkemungkinan untuk mengandung kembar jika mempunyai keturunan kembar. iaitu sama dia adalah kembar, mempunyai adik-beradik kembar. Mereka mampu menghasilkan lebih daripada satu telur pada satu masa. Kebiasaannya akan berlaku kembar seiras.
Umur ibu
Ibu dalam lingkungan 30-an dan 40-an mempunyai tahap hormon estrogen yang lebih tinggi daripada wanita yang lebih muda. Ini bermaksud ovari mereka mampu menghasilkan lebih daripada satu telur pada satu masa.
Bilangan kehamilan sebelumnya
Lebih kerap kehamilan yang telah dilalui oleh seorang ibu, lebih tinggi kemungkinannya untuk mengandung anak kembar.
Bangsa
Wanita Afrika mempunyai kadar kelahiran kembar tertinggi, manakala wanita Asia paling rendah.
Rawatan kesuburan
Kini terdapat pelbagai bantuan untuk hamil bagi mereka yang sukar hamil. Terdapat prosedur perubatan bertujuan dapat merangsang ovari dengan menggunakan ubat subur untuk menghasilkan telur. Dengan rawatan ini, beberapa telur dihasilkan setiap ovulasi. Ini boleh menyebabkan berlaku kehamilan kembar. Biasanya kembar yang dilahirkan adalah kembar tidak seiras.
IVF
IVF adalah singkatan dari ‘In vitro fertilization’ iaitu proses pengambilan telur dari rahim si ibu dan sperma ayah, kemudian disenyawakan di makmal. Persenyawaan dilakukan di luar rahim. Kemudian apabila embrio telah terbentuk ia dipindahkan ke rahim wanita. Ini adalah salah satu bantuan perubatan yang dijalankan untuk mereka yang sukar hamil secara semualajadi disebabkan masalah kesihatan. Jumlah embrio yang disuntik boleh lebih dari satu. Jika beberapa embrio berjaya berkembang ia akan menghasilkan bayi kembar.
Tanda-tanda hamil kembar
Tanda-tanda hamil kembar adalah serupa dengan tanda hamil janin tunggal. Tanda biasa yang dialami adalah alahan, keletihan, kerap buang air, payudara menjadi lembut dan bengkak. Mungkin tiada tanda atau kelainan berbanding hamil anak tunggal. Untuk mengetahui samada hamil anak kembar atau tidak perlulah membuat imbasan ultrasound untuk pengesahan. Melalui pemeriksaan ini, dapat dilihat terdapat dua atau lebih janin. Ia boleh dikesan seawal 6 ke 7 minggu.
Walaubagaimanapun, naluri keibuan atau gerak hati mungkin dapat rasai kelainan semasa hamil. Apakah tanda-tanda itu?
Alahan atau morning sickness yang melampau
Kehamilan anak kembar akan meningkatkan kadar hCG lebih tinggi berbanding mengandung anak tunggal. Kadar yang tinggi ini boleh menyebabkan alahan yang teruk. Loya dan muntah secara berlebihan sehingga memerlukan bantuan cecair dimasukkan ke badan.
Saiz perut
Saiz perut atau baby bump yang jelas kelihatan walau masih di awal kehamilan. Perut kelihatan lebih cepat membesar.
Keletihan yang melampau
Keletihan seperti tidak dapat dikawal. Mudah penat dan perlu berehat. Di peringkat awal kehamilan, ibu mungkin rasa penat yang berlebihan berbanding mengandung bayi tunggal.
Rasa pergerakan bayi trimester pertama
Selalunya pergerakan bayi mula dirasai semasa trimester kedua. Namun jika pergerakan itu dapat dirasai lebih awal, ia mungkin tanda kehadiran anak kembar.
Mempunyai beberapa faktor hamil kembar
Jika berdasarkan senarai faktor penyebab kembar, anda memenuhi lebih daripada 1 faktor tersebut, ia berkemungkinan besar untuk hamil kembar.
Jika dapat rasa kelainan sebaiknya lakukan pemeriksaan imbasan ultrasound awal untuk kepastian. Hamil kembar berisiko tinggi untuk keguguran. Jadi jika dikesan lebih awal, penjagaan rapi dapat dilakukan.
Pengalaman admin semasa mengandung anak kembar, ia telah dikesan pada minggu ke 5 kehamilan kerana wujud 2 kantung. Ketika itu berlaku pendarahan, rujuk kepada doktor pakar dan tanpa disedari sedang hamil kembar. Sebelum itu ada lakukan rawatan untuk endometriosis jadi tidak sangka dapat hamil dan kehamilan itu berganda pula.
Pemeriksaan kesihatan
Apabila ibu dikenal pasti mengandung anak kembar, ibu berisiko tinggi menghadapi komplikasi sepanjang kehamilan. Doktor mungkin akan menjalankan pemeriksaan yang lebih kerap.
Doktor akan membuat pemeriksaan imbasan ultrasound untuk mengesahkan kehadiran dua atau lebih janin. Ketika ini doktor juga dapat mengesan samada berkongsi uri dan kantung atau berlainan. Perkongsian uri dan kantung adalah lebih berisiko berbanding uri dan kantung berlainan.
Doktor akan menasihatkan mengenai nutrien dan nutrisi yang perlu diambil. Mungkin ada tambahan suplemen yang akan diberi.
Pemeriksaan bulanan penting untuk memastikan perkembangan bayi tidak mengalami masalah dan mengurangkan risiko kelahiran pramatang.
Proses kelahiran bayi kembar
Proses kelahiran bayi kembar boleh berlaku secara normal melalui faraj jika posisi kepala kedua bayi berada di bawah. Begitu juga jika kepala bayi pertama berada pada posisi di bawah dan bayi bayi kedua songsang. Namun jika terdapat komplikasi doktor akan menasihatkan agar bersalin secara pembedahan.
Melalui pemeriksaan antenatal doktor akan memantau keadaan ibu dan bayi. Jika ibu menghadapi masalah kesihatan, bayi dalam keadaan songsang atau salah seorang atau kedua-dua janin mengalami kekurang oksigen, pembedahan adalah cara bersalin terbaik untuk ibu dan bayi.
Ibu yang mengandung anak kembar dinasihatkan bersalin di hospital, bukannya di rumah. Ini kerana mungkin berlaku komplikasi ketika bersalin seperti masalah uri, bayi songsang atau alami tumpah darah semasa dan selepas bersalin. Bayi juga berisiko dilahirkan pramatang yang mungkin memerlukan bantuan segera sejurus dilahirkan.
Risiko mengandung anak kembar
Tempoh normal kehamilan bagi seorang bayi adalah sekitar 40 minggu. Walau bagaimanapun, kehamilan untuk kembar biasanya tidak sampai 40 minggu. Ia mungkin hanya sekitar 38 minggu atau lebih awal. Risiko berlaku kelahiran pramatang adalah tinggi kerana badan ibu mungkin tidak dapat menampung keperluan bayi.
Selain itu, ibu mengalami alahan, loya dan muntah yang teruk yang mungkin perlu diberi cecair melalui darah. Berisiko menghidap kencing manis semasa hamil, tekanan darah tinggi (preeclampsia), cecair amniotik yang berlebihan atau air ketuban pecah awal, yang membawa kepada kelahiran bayi yang pramatang. Ia juga berisiko mengalami pendarahan.
bBagi kelahiran pramatang, bayi berisiko mempunyai berat yang rendah dan memerlukan bantuan terutama jika lahir sebelum paru-paru matang. Bayi mungkin dimasukkan ke dalam incubator.
Ia juga penting untuk mengetahui sama ada kembar anda berkongsi uri. Perkongsian uri bermakna mereka berkongsi bekalan darah daripada ibu. Jika perkongsian bekalan darah tidak sama rata, perkembangan bayi berlaku tidak seimbang. Salah seorang bayi mungkin menerima kurang khasiat berbanding kembarnya. Ini boleh menyebabkan komplikasi kepada bayi berkenaan.
Kembar yang berkongsi kantung pula berisiko mengalami tali pusat terbelit. Ini akan memutuskan bekalan darah mereka. Oleh kerana itu, kembar yang berkongsi uri dan kantung perlu menjalani pemeriksaan antenatal yang lebih kerap. Mungkin disyorkan agar anak kembar anda bersalin lebih awal jika menghadapi masalah uri dan kantung ini.
Jenis kembar
Kembar boleh jadi kembar seiras atau kembar tidak seirasa bergantung kepada cara persenyawaan.
Kembar seiras
Ia terjadi apabila persenyawaan satu telur dan satu sperma, membentuk satu embrio yang membahagi dua atau lebih. Kembar seiras mungkin berkongsi satu uri dan kantung yang sama. Ia juga mungkin membentuk satu uri dan dua kantung yang berasingan. Kembar seiras akan membentuk jantina yang sama. Mereka mempunyai genetik dan ciri fizikal yang sama. Biasanya kembar seiras lebih dari dua jarang berlaku.
Kembar tidak seiras
Ia terjadi apabila dua atau lebih sperma menyuburkan dua atau lebih telur dalam satu kitaran. Ini menghasilkan kantung dan uri yang berasingan untuk setiap bayi. Kembar ini mungkin sama jantina dan mungkin berlainan jantina. Ciri fizikal mungkin sama dan mungkin juga berbeza. Dari segi DNA, mereka mempunyai DNA seperti adik-beradik yang berlainan umur.
Kembar siam
Kembar siam atau kembar bercantum amat jarang berlaku. Ia dikenali sebagai kembar siam berasal dari kembar bercantum yang terkenal dilahirkan di Thailand pada tahun 1811. Sebenarnya kembar siam telah wujud lebih lama sebelum itu lagi.
Ia hanya berlaku apabila embrio kembar seiras tidak membahagi sepenuhnya. Terdapat bahagian tertentu yang bercantum dan tidak terpisah ketika proses pembahagian. Badan bayi bercantum dan mungkin berkongsi organ penting. Biasanya cantuman terjadi di bahagian dada dan perut. Namun ada yang berlaku di kepala. Ia menyebabkan masalah kepada bayi kembar ini. Kematian semasa dilahirkan kerap dilaporkan berlaku. Bayi kembar siam akan dipantau dan jika sesuai akan dilakukan pembedahan untuk memisahkan bayi ini.
Kesimpulan
Kini kehamilan anak kembar kerap berlaku dengan bantuan perubatan. Sekiranya anda teringin mempunyai anak kembar, boleh dapatkan nasihat doktor. Namun perlu diingati, walaupun ia mungkin menyeronokkan, ia datang dengan risiko seperti kemungkinan berlaku kembar siam, kelahiran pramatang dan masalah komplikasi lain. Selain itu, tanggungjawab penjagaan yang lebih berat semasa mengandung mahupun semasa penjagaan bayi serta kos juga meningkat lebih berbanding seorang bayi.