Ada masa rasa tertekan namun tidak punyai ruang untuk melepaskan tekanan dek kerana kekangan masa dan kewangan. Cara self healing di rumah, boleh dicuba.
Isi Kandungan
Cara Self Healing di Rumah
Sebagai seorang ibu, adalah penting untuk menjaga kesihatan mental, emosi, dan fizikal. Lebih-lebih lagi ketika mengandung. Stres ketika mengandung memberi kesan dan mungkin bahaya kepada ibu dan bayi. Apabila seorang ibu sihat, dia mampu untuk menjaga kesejahteraan keluarga, mengurus rumah tangga dan memberikan perhatian serta kasih sayang yang mencukupi kepada anak-anak. Kesihatan fizikal dan mental yang baik juga membolehkan seorang ibu memberikan teladan positif kepada ahli keluarga lain, membentuk persekitaran yang bahagia dan harmoni.
Selain itu, kesihatan yang baik membantu ibu untuk menghadapi tekanan harian dengan lebih baik dan membuat keputusan yang bijak dalam pengurusan keluarga.
Berikut adalah beberapa cara rawat jiwa dan minda yang boleh dilakukan di rumah bagi membantu ibu-ibu
1. Ruang ‘Me Time‘
Sediakan satu ruang atau sudut ‘me time’ di rumah. Ruang ini digunakan untuk menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan harian. Ruang ini menjadi tempat untuk berehat, bermeditasi, membaca atau sekadar meluangkan masa sendirian.
Berikut adalah beberapa cara untuk mencipta ruang healing di rumah.
Pilih Lokasi yang Sesuai
- Pilih tempat yang jauh dari bunyi bising atau gangguan, seperti bilik tidur atau sudut di ruang tamu
- Pastikan lokasi tersebut mempunyai pengudaraan yang baik dan pencahayaan semula jadi jika boleh.
Gunakan Perabot yang Selesa
- Letakkan kerusi berlengan, bantal besar atau kusyen yang selesa untuk duduk atau berbaring.
- Gunakan permaidani kecil untuk memberi keselesaan dan membentuk dekorasi yang cantik.
- Jika tiada cahaya semulajadi, pilih lampu meja atau lampu lantai dengan cahaya lembut untuk mewujudkan suasana yang selesa dan tenang. Elakkan menggunakan cahaya yang terlalu terang
- Barang-barang ini boleh dibeli secara online. Banyak pilihan pada harga berpatutan.
Hias dengan Tumbuhan Hijau
- Tumbuhan hijau boleh membawa rasa tenang dan menyegarkan ke dalam ruang. Pilih tumbuhan yang mudah dijaga seperti sukulen atau lidah buaya.
- Letakkan tumbuhan di sudut atau di atas meja kecil untuk menambah elemen alam semula jadi.
Mainkan Muzik Lembut atau Pasang Al Quran dan Zikir
- Sediakan pemain muzik atau pembesar suara kecil untuk memainkan muzik lembut, seperti muzik alam atau muzik instrumental atau mendengar alunan Al-Quran dan zikir, yang dapat menenangkan minda.
- Boleh menggunakan aplikasi telefon pintar atau peranti yang sedia ada di rumah.
2. Aktiviti Healing yang Sesuai
Meluangkan masa untuk diri sendiri adalah penting bagi kesejahteraan fizikal dan mental, terutama bagi seorang ibu yang mungkin sibuk dengan pelbagai tanggungjawab harian. Aktiviti healing yang boleh dibuat adalah seperti membaca, menulis, melukis, berkebun dan aktiviti senitangan bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan, tetapi juga dapat meningkatkan kreativiti dan memberikan ruang untuk refleksi diri. Berikut aktiviti me time yang boelh dilakukan
Membaca
- Pilih Buku yang Digemari. Pilih buku-buku yang menarik minat, sama ada fiksyen, non-fiksyen, buku motivasi, atau novel ringan.
- Tetapkan Masa Membaca. Sediakan masa khusus setiap hari, walaupun hanya 15-30 minit, untuk membaca. Ini boleh dilakukan pada waktu pagi sebelum anak-anak bangun atau pada waktu malam sebelum tidur.
- Gabungkan dengan Ruang ‘Me Time’. Membaca di ruang me time di rumah, seperti yang telah dibincangkan, akan meningkatkan pengalaman membaca dan membuatkan anda lebih fokus dan tenang.
- Gunakan Buku Audio: Jika anda sukar mencari masa untuk membaca, buku audio boleh menjadi alternatif yang baik. Anda boleh mendengar buku kegemaran semasa melakukan kerja rumah atau semasa memandu.
Menulis
- Jurnal atau Diari Harian. Luangkan masa untuk menulis jurnal atau diari harian. Tulis luahan perasaan, fikiran atau perkara yang berlaku dalam hari berkenaan. Ini boleh jadi cara untuk melepaskan tekanan dan memahami perasaan anda dengan lebih baik.
- Menulis Cerita Pendek atau Puisi. Jika anda suka berimaginasi, cuba tulis cerita pendek atau puisi. Ini bukan sahaja meluahkan kreativiti tetapi juga memberi keseronokan.
- Buat Senarai Terima Kasih. Setiap hari, tuliskan tiga perkara yang anda syukuri. Ini membantu meningkatkan rasa syukur dan kebahagiaan dalam kehidupan seharian.
- Blog atau Media Sosial. Jika anda suka berkongsi pandangan atau pengalaman, tulis blog atau gunakan media sosial sebagai platform untuk berkomunikasi dengan dunia luar.
Melukis
- Mulakan dengan Sketsa Mudah. Tidak perlu menjadi artis profesional untuk melukis. Mulakan dengan sketsa atau lukisan mudah seperti bunga, landskap, atau corak abstrak. Apa yang penting adalah proses, bukan hasilnya.
- Buku Mewarna Dewasa. Buku mewarna dewasa yang mempunyai reka bentuk rumit boleh membantu mengurangkan tekanan dan memberikan ketenangan. Mewarna adalah aktiviti yang menenangkan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.
- Melukis dengan Cat Air: Cat air mudah digunakan dan memberikan hasil yang cantik. Luangkan masa untuk bereksperimen dengan warna dan teknik yang berbeza.
- Ikuti Kelas Seni Dalam Talian. Jika anda ingin belajar lebih lanjut tentang melukis atau seni, terdapat banyak kelas seni dalam talian yang boleh diikuti pada masa lapang. Ini boleh menjadi cara yang baik untuk mengasah kemahiran dan bertemu dengan orang lain yang mempunyai minat yang sama.
Berkebun
- Terapi Berkebun. Berkebun adalah cara yang bagus untuk berhubung dengan alam dan menikmati udara segar. Aktiviti berkebun dapat menjadi terapi yang menenangkan, membantu mengurangkan tekanan, dan memberikan kepuasan apabila melihat tanaman berkembang.
- Projek Kecil. Mulakan dengan projek kecil seperti membuat taman mini di balkoni atau sudut halaman. Ini boleh menjadi cara yang menyeronokkan dan mudah diuruskan untuk memulakan berkebun.
3. Terapi Minda Mindfulness (Kesedaran Penuh)
Terapi minda menggunakan mindfulness adalah cara yang sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan, meningkatkan kesejahteraan emosi dan mencapai ketenangan dalaman. Mindfulness adalah amalan memberi perhatian sepenuhnya atau fokus kepada sesuatu aktiviti tanpa terganggu oleh fikiran lain. Ia melibatkan kesedaran terhadap perasaan, pemikiran, dan persekitaran sekitar. Ia dapat merawat jiwa dan minda dengan menumpukan perhatian kepada perkara yang perlu tanpa bebanan fikiran.
Cara Mengamalkan Mindfulness
- Kawalan Pernafasan. Luangkan beberapa minit setiap hari untuk memberi tumpuan kepada pernafasan. Duduk dengan selesa, tutup mata, dan fokus kepada nafas masuk dan keluar. Ini membantu untuk menenangkan minda dan meningkatkan kesedaran terhadap saat ini.
- Meditasi Kesedaran. Cari tempat yang tenang, duduk dengan postur yang selesa dan fokus pada pernafasan, fikirkan udara sedut dan dihembus keluar. Jika fikiran mula melayang, perlahan-lahan bawa perhatian kembali kepada pernafasan. Mulakan dengan sesi pendek, seperti 5-10 minit, dan tingkatkan secara beransur-ansur.
- Mindful Walking (Berjalan dengan Kesedaran). Semasa berjalan, fokus kepada setiap langkah, perasaan kaki menyentuh tanah dan persekitaran sekitar. Amalan ini membantu fokus kepada setiap pergerakan.
- Fokus ketika Makan. Luangkan masa untuk menikmati makanan, perhatikan rasa, tekstur, dan aroma makanan. Ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman makan tetapi juga membantu dalam penghadaman.
- Fokus dengan Aktiviti Harian. Beri perhatian apabila melakukan aktiviti harian seperti mandi, memasak, atau membersihkan. Fokus pada pergerakan, sensasi, dan proses setiap tugas.
4. Aromaterapi
Aromaterapi adalah juga merupakan terapi minda yang boleh dicuba. Biasnya ia melibatkan penggunaan minyak pati haruman untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental. Aroma ini boleh mempengaruhi mood, mengurangkan tekanan dan membawa perasaan tenang.
Cara Menggunakan Aromaterapi
- Difusi Minyak Pati. Gunakan diffuser untuk menyebarkan aroma minyak pati di dalam bilik. Minyak seperti lavender, chamomile dan bergamot diketahui dapat mengurangkan tekanan dan kebimbangan. Gunakan pada waktu pagi untuk memulakan hari atau pada waktu malam untuk membantu tidur.
- Mandian Aromaterapi. Tambahkan beberapa titis minyak pati seperti lavender atau melati ke dalam air mandi. Mandi aromaterapi dapat memberikan rasa tenang dan relaks, membantu meredakan otot yang tegang.
- Urutan dengan Minyak Pati. Campurkan beberapa titis minyak pati dengan minyak pembawa (seperti minyak kelapa atau minyak badam) dan urut ke kulit. Urutan ini boleh membantu melegakan ketegangan otot dan meningkatkan perasaan relaks.
- Semburan Aromaterapi. Buat campuran air dan beberapa titis minyak pati dalam botol semburan. Sembur untuk menyegarkan ruang atau tempat tidur untuk suasana yang menenangkan.
- Mandian herba. Penggunaan mandian herba bukan terhad ketika berpantang sahaja. Khasiat daun-daun yang digunakan selain menghilangkan stres, ia juga bagus untuk melancarkan pengaliran darah, membuang angin, mengurangkan sakit otot dan membuang toksin dalam badan.
5. Rutin Kecantikan dan Penjagaan Diri
Aktiviti healing seterusnya adalah dengan meluangkan masa untuk menjaga kecantikan dan penjagaan diri. Ini boleh dijadikan aktiviti me time ini dengan membelai dan merawat kulit, rambut dan kuku. Rutin kecantikan yang konsisten dapat meningkatkan keyakinan diri, memberikan rasa tenang dan menjadikan seseorang merasa lebih baik tentang diri mereka sendiri.
Penjagaan yang betul adalah asas untuk kulit yang sihat dan berseri. Ini termasuk langkah-langkah untuk membersihkan, melembapkan, dan melindungi kulit wajah. Selain itu lakukan rutin mingguan. Untuk kulit wajah, lakukan pengelupasan atau lulur untuk membuang sel mati.
Di samping cuci rambut 2 ke 3 kali seminggu, rawatan rambut boleh dilakukan sendiri dengan menggunakan bahan seperti telur, minyak kelapa, daun bunga raya atau lidah buaya. Boleh guna resepi menggunakan bahan semulajadi yang boleh didapati di rumah.
Jadikan ia sebagai satu rutin. Selain sebagai aktiviti healing, melihat hasil yang memberansangkan akan memberi kepuasan kepada diri sendiri. Jika diabaikan, terasa kurang cantik dan tidak menarik akan menyebabkan timbul pula perasaan rendah diri.
Kesimpulan
Cara self healing di rumah ini mudah dilakukan. Walau sesibuk mana menguruskan keluarga, jangan lupa pada diri sendiri. Beri luang dan ruang untuk diri sendiri. Cubalah cara hilangkan stres di rumah ini. Semoga ianya membantu.