Bunga-bungaan, selain cantik di pandang, ia turut mempunyai pelbagai manfaat kepada manusia. Bunga ros adalah bunga yang sering digunakan samada untuk hiasan, hadiah, wangi-wangian, makanan, aroma terapi dan juga sebagai kata-kata puitis. Khasiat bunga ros diketahui mempunyai pelbagai kebaikan.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ia selamat di makan dan minum. Di sesetengan tempat seperti di Timur Tengah, China dan India, bunga ros seringkali ditambah dalam makanan untuk perasa dan juga kerana khasiat kesihatannya yang bagus.
Isi Kandungan
Bunga Ros
Bunga ros dikatakan antara bunga yang tertua di dunia. Terdapat ratusan spesis bunga ros dan kebanyakannya berasal dari benua Asia. Ianya banyak ditanam kerana bunganya yang cantik. Bunga ros mempunyai pelbagai variasi warna seperti kuning, merah jambu, merah dan maroon. Bunga ros turut diwarnakan dengan pelbagai warna seperti biru, hijau dan unggu dengan teknik mencelup batang bunga ke dalam air berwarna. Air ini akan diserap maka terhasilkan pelbagai warna bunga.
Oleh kerana terdapat ratusan spesis bunga ros, ia juga berbeza-beza mengikut spesis bunga. Ada berbau harum dibuat pewangi dan sebagai arome terapi. Ada yang mengandungi vitamin C yang tinggi dan digunakan secara sumber untuk kesihatan.
Khasiat Bunga Ros
Bunga ros selamat untuk kegunaan manusia kecuali mereka yang mempunyai alahan terhadapnya. Khasiat bunga ros diketahui dapat membantu memulihkan badan, samada penggunaan secara dalaman atau luaran. Bunga ros ini boleh diproses menjadi minyak dan pati, serta digunakan untuk kecantikan, pewangi, untuk masakan dan untuk kesihatan.
Kecantikan kulit
Salah satu khasiast bunga ros yang terkenal adalah untuk kecantikan kulit. Ini kerana ia mengandungi bahan antiradangan yang membantu mengurangkan kerengsaan kulit. Selain itu, ia mempunyai bahan astrigen yang mengetatkan liang-liang dan menaikkan seri muka. Bahan antioksidanya pula melawan radikal bebas yang membantu menyembuhkan dan mengekalkan keseimbangan kulit serta membantu mengurangkan kedutan dan garis halus.
Di samping itu ia mengandung antibakteria semulajadi. Ia bertindak sebagai pembersih semula jadi untuk masalah rosacea dan jerawat. Malah ia dapat melembapkan kulit.
Pewangi dan Aroma Terapi
Baunya wangi semerbak dan ini menarik untuk dijadikan sebagai pewangi. Wangian ros cukup terkenal dan diminati ramai. Terdapat pelbagai pewangi yang dihasilkan dari bauan ros. Selain pewangi, ia juga digunakan untuk bauan dalam produk seperti sabun, losyen dan syampu.
Bunga ros ini juga digunakan sebagai aroma terapi. Baunya yang wangi dapat memberi ketenangan. Ia mengandungi flavonoid tumbuhan tertentu yang bersifat antikemurungan. Oleh sebab itu, ia dapat membantu mengatasi tekanan, kebimbangan dan kemurungan. Penggunaan aroma pati minyak ros bagus untuk menggalakkan keseimbangan emosi, meredakan ketegangan saraf serta bagus untuk merehatkan badan dan minda.
Masakan
Kebanyakan bunga ros selamat untuk dimakan atau diminum. Perlu berhati-hati jika mengandungi racun, kerana ia tidak selamat diambil. Bunga untuk dijadikan makanan ditanam dan dituai berbeza dengan bunga untuk kegunaan luaran. Jadi jangan sesekali makan sebarang bunga ros terutama untuk hiasan. Untuk kekal tahan lama dan cantik ia diletakkan bahan kimia. Oleh kerana itu, tidak semua jenis bunga sesuai untuk dimakan atau diminum.
Kesihatan
Bunga ros mempunyai kandungan flavonoid, vitamin C dan E serta mineral seperti kalsium, besi dan fosforus. Ia dapat yang meningkatkan imuniti badan. Flavonoid mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan. Ini kerana ia bersifat antioksidan, antiradang, antikanser dan antivirus. Khasiat bunga ros yang pelbagai ini, menjadikan ia sebagai salah satu makanan kesihatan yang baik untuk diambil.
Apakah Teh Rose Bud?
Teh rose bud adalah teh yang diperbuat daripada putik bunga ros. Bunga ros ini bukan sahaja digemari kerana aroma bunga yang harum, tetapi juga untuk kerana nilai perubatannya. Hari ini, teh rose bud menjadi salah satu minuman di seluruh dunia sebagai minuman yang menyegarkan dan meningkatkan kesihatan badan.
Teh ros ini menggunakan ros berwarna merah jambu atau merah. Bunga ros yang ditanam secara organik lebih baik kerana dapat mengekalkan rasanya selain lebih lebih selamat. Penggunaan racun akan mengubah rasa teh ros ini. Bunga ros ini dikeringkan menggunakan teknik tertentu dan masih mengekalkan rasa dan khasiatnya.
Rose bud tidak sama dengan rosehip. Rose hip adalah buah yang dihasilkan selepas kelopak gugur.
Asal Usul Teh Ros
Sejarah teh ros telah bermula beribu-ribu tahun sejak zaman Dinasti Tang di China. Orang Cina telah lama menghormati bunga ros kerana kecantikan dan keharumannya. Mereka mula menanam bunga ros khusus untuk pengeluaran teh serta memanfaatkan sebatian terapeutik semula jadinya.
Semasa Dinasti Tang, teh mawar atau Teh Ros seperti yang dikenali hari ini, hanya diminum oleh golongan bangsawan dan istana. Ia dianggap sebagai simbol kemewahan, untuk majlis-majlis khas dan perhimpunan penting. Aromanya yang lembut dan bersifat menenangkan, teh ros menjadi kegemaran di kalangan golongan elit.
Seiring dengan waktu, populariti teh ini merebak melangkaui lingkungan istana diraja. Ia menjadi minuman yang digemari di kalangan rakyat jelata. Teh ros ini akhirnya menjadi sebahagian daripada budaya Cina.
Khasiat Teh Ros
Bahan dalam bunga ros ini mempunyai antioksidan yang tinggi. Minum teh ros dapat melindungi tubuh daripada kesan negatif yang disebabkan oleh pengoksidaan. Kandungan vitamin dan mineral terkandung didalamnya juga mempunyai manfaat kepada badan.
Berikut khasiat teh ros yang perlu anda tahu.
Meningkatkan Imuniti
Teh ros mengandungi vitamin C, nutrien penting yang terkenal dengan sifat meningkatkan sistem imun badan. Pengambilan vitamin C yang mencukupi adalah penting untuk mengekalkan sistem imun yang kuat dan mempertahankan diri daripada penyakit. Menambahkan teh ini pada rutin harian anda boleh membantu menguatkan pertahanan semula jadi badan anda.
Tambahan pula, teh ini juga kaya dengan antioksidan, yang memainkan peranan penting dalam meneutralkan radikal bebas berbahaya dalam badan. Radikal bebas ini boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan kerosakan pada sel, yang membawa kepada pelbagai masalah kesihatan. Dengan mengambil teh ros, anda boleh membekalkan badan anda dengan dos antioksidan yang kuat, membantu melindungi daripada kerosakan sel dan meningkatkan imuniti keseluruhan.
Kesihatan Penghadaman
Teh ros telah digunakan secara tradisional untuk menggalakkan kesihatan penghadaman. Sebatian semulajadinya boleh membantu melegakan sistem penghadaman, mengurangkan senak dan kembung perut. Minum teh selepas makan boleh meningkatkan penghadaman dan memperbaiki keseluruhan usus. Ia juga digunakan sebagai ubat julap semula jadi.
Selain itu, polifenol yang terdapat dalam teh ros telah terbukti mempunyai sifat anti-radang, yang boleh membantu mengurangkan keradangan dalam saluran penghadaman. Ini boleh memberi manfaat terutamanya untuk individu yang mengalami keadaan seperti gastritis atau sindrom usus besar (IBS).
Kardiovaskular
Penyelidikan menunjukkan bahawa ia mungkin mempunyai kesan positif terhadap kesihatan jantung. Ia mengandungi antioksidan yang membantu melawan radikal bebas berbahaya, yang boleh menyebabkan masalah kardiovaskular. Selain itu, ia juga boleh membantu mengekalkan tahap tekanan darah yang normal.
Tambahan pula, kajian menunjukkan bahawa pengambilan teh secara berkala boleh meningkatkan fungsi saluran darah dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Flavonoid didapati memberi kesan positif terhadap pengaliran darah dan boleh membantu mencegah pembentukan bekuan darah.
Jadi, khasiat teh ros bukan sahaja memberi ketenangan, tetapi ia juga menyediakan pelbagai manfaat kesihatan yang membantu kesejahteraan hidup. Menjadikan teh ros sebagai minuman harian adalah cara mudah tetapi berkesan untuk menjaga sistem imun anda, kesihatan pencernaan dan kesihatan kardiovaskular.
Membantu masalah senggugut
Antara lain kegunaan teh ros adalah semasa datang bulan. Minum teh dikatakan membantu mengurangkan kekejangan. Apabila berlaku senggugut, ia dapat melegakan dan mengurangkan kesakitan. Ia juga membantu dari segi fizikal dan emosi.
Membantu pertumbuhan rambut
Terdapat kajian yang dijalankan mendapati bahawa bunga ros mengurangkan pengoksidaan lipid dan protein dalam sel rambut. Ia boleh menghalang rembesan sebum. Tahap sebum yang rendah boleh mengelakkan masalah kegatalan dan kulit kepala berminyak. Ellagitannin dan epigallocatechin gallate dalam ros boleh menghalang keguguran rambut dan keadaan seperti dermatitis seborrheic. Oleh itu, minum teh ros dapat membantu mengatasi rambut gugur. Ia mungkin berguna untuk ibu yang alami keguguran rambut selepas berpantang.
Kesan sampingan minum teh ros
Biasanya ia tidak menyebabkan kesan sampingan kepada kebanyakan orang. Namun bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap bunga ros akan mengalami masalah. Bunga ros tidak mempunyai debunga yang banyak seperti sesetengah bunga yang mengakibatkan alahan yang teruk. Namun mereka yang alah boleh mengalami gejala seperti bersin, gatal atau sesak nafas.
Oleh kerana ia mengandungi Vitamin C, pengambilan berlebihan akan menyebabkan kesan seperti loya, muntah, kejang perut dan sakit kepala. Setiap yang baik jika diambil berlebihan akan mendatangkan mudarat. Ambil seperti yang disarankan.
Bagaimana cara sedia teh ros
Teh ini mempunyai rasa bunga yang halus dengan sedikit rasa manis, menjadikannya minuman yang menyegarkan dan digemari. Ia boleh diminum panas atau sejuk, bergantung pada pilihan.
Cara sedia teh ros ini juga mudah. Sama seperti menyediakan teh biasa. Rendam bunga ros di dalam air panas selama 5 ke 10 minit. Tapis dan minum. Teh ros boleh menggunakan ros segar atau ros yang dikeringkan. Dalam keadaan sekarang lebih mudah menggunakan ros kering yang dijual. Agak sukar untuk mendapatkan ros segar dan ia tidak tahan lama.
Ia boleh juga dihidangkan dengan sepotong lemon atau setangkai daun pudina untuk meningkatkan rasa. Masukkan kurma merah untuk rasa lebih manis. Ros ini boleh juga dicampur dengan bunga atau teh lain seperti bunga lavender atau chamomile.
Teh ini boleh diminum setiap hari 1 ke 2 cawan. Namun jangan minum secara berlebihan untuk elak kesan sampingan.