Penyakit kaki tangan dan mulut atau Hand Foot Mouth Disease, atau nama singkatannya HFMD kerap berlaku kepada kanak-kanak dibawah umur 10 tahun. Ia lebih berisiko jika dihidapi oleh kanak-kanak di bawah usia 6 tahun. Penyakit ini boleh berlaku kepada semua golongan samada remaja dan orang dewasa.
Isi Kandungan
Punca HFMD
Penyakit ini berpunca daripada virus kumpulan enterovirus yang tergolong di dalam keluarga picornavirus, kebanyakan jangkitan adalah disebabkan oleh virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71).
Penyakit ini mudah merebak secara sentuhan secara langsung dengan pesakit samada melalui air liur, hingus, najis atau cecair lepuh pesakit. Ia juga boleh berjangkit melalui udara apabila pesakit bersin dan batuk.
Tanda jangkitan
Selepas dijangkiti, kanak-kanak akan mengalami beberapa tanda-tanda jangkitan HFMD. Berikut tanda-tandanya.
- Demam
- Sakit tekak
- Tidak selera untuk makan
- Ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.
- Mungkin mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah dan cirit birit.
Jika berlaku jangkitan virus EV71 boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi seperti encephalitis dan myocarditis.
Tempoh inkubasi jangkitan berlaku dalam tiga ke lima hari sebelum menunjukan tanda penyakit HFMD. Ketika ini kanak-kanak mungkin alami demam dan sakit tekak. Semasa tempoh ini ia berisiko tinggi merebak kepada orang lain. Selepas keluar tanda, ia akan kekal selama beberapa hari sehingga beberapa minggu. Hanya selepas tanda-tanda ini hilang, ianya tidak berisiko untuk merebak.
Lepuh yang berlaku di lidah dan dalam mulut menyebabkan rasa sakit dan ini mengakibatkan kanak-kanak tidak mahu makan dan minum. Mereka mungkin hanya akan makanan sejuk seperti aiskrim.
Kebanyakkannya mengalami gejala ringan dan akan sembuh dalam lima ke tujuh hari.
Rawatan
Tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan atau mengurangkan tempoh penyakit. Ubat-ubatan seperti paracetamol mungkin membantu mengurangkan kesakitan. Ia juga mungkin membantu kanak-kanak makan dan minum. Selain itu, doktor mungkin memberi ubat sakit tekak dan semburan tekak untuk memulihkan kesakitan di tekak. Untuk anak yang telah berusia lebih 6 tahun boleh berkumur dengan ubat kumur untuk mengurangkan sakit tekak.
Semasa ini, perhatikan pengambilan makanan dan minuman anak-anak. Berikan makanan yang lembut seperti bubur atau kentang hancur. Galakkan anak-anak mengambil air yang mencukupi. Boleh beri aiskrim. Jika kurang air berisiko mengalami dehidrasi.
Perhatikan keadaan anak-anak, jika berlaku keadaan di bawah segera bawa jumpa doktor
- Demam masih tidak baik selepas 3 hari
- Tanda-tanda masih tidak berkurang selepas 10 hari
- Anak mempunyai masalah sistem imunisasi yang lemah
- Tanda-tanda jangkitan yang serius dan teruk
- Tidak mahu makan dan minum
- Anak-anak kecil terutama di bawah 6 bulan
- Mengalami tanda dehidrasi seperti mulut kering, air kencing berwarna pekat dan kurang kencing.
Pencegahan
Tanda-tanda jangkitan yang jelas hanya diketahui selepas beberapa hari. Ketika ini jangkitan telah mula merebak kepada kanak-kanak lain. Ia lebih mudah merebak kepada kanak-kanak yang tinggal di pusat asuhan. Jadi langkah pencegahan perlu dilakukan untuk mengawal panyakit berlaku dan merebak.
Kebanyakkan berpunca daripada kebersihan. Kanak-kanak kurang cakna mengenai kebersihan dan tidak pandai menjaga diri sendiri. Orang dewasa dan penjaga hendaklah mengambil berat mengenainya serta mengajar kanak-kanak tentang kebersihan dan mengamalkannya juga. Perkara ini mudah berlaku di pusat asuhan kerana terdapat ramai kanak-kanak. Jika amalan kebersihan dipatuhi sepenuhnya penyakit HFMD ini dapat dielak.
Langkah-langkah yang boleh diambil
- Jaga kebersihan dan pastikan tempat kanak-kanak sentiasa dibersihkan. Bilik air perlu kerap dibersihkan.
- Ajar kanak-kanak mengenai kebersihan. Apakah amalan dan cara menjaga kebersihan yang betul.
- Kerap basuh tangan anda dan kanak-kanak dengan air dan sabun.
- Basuh tangan dengan bersih selepas menukar lampin bayi dan pastikan lampin dibuang dengan sempurna di dalam tong sampah bertutup. Jangan tinggalkan merata-rata.
- Tutup mulut dengan tuala atau tisu ketika batuk atau bersin untuk mengawal penyebaran kuman.
- Elak berkongsi tuala atau peralatan makanan seperti cawan, sudu dan garfu.
- Cuci peralatan tempat tidur dan pakaian yang kotor menggunakan air panas.
- Jika anak-anak tidak sihat seperti demam dan batuk, elak hantar ke pusat asuhan.
Jika berlaku jangkitan di pusat asuhan, arahan penutupan selama 10 hari akan diberikan untuk mengawal dari terus merebak dan sebagai langkah pembasmian kuman di tempat berkenaan.