Apakah ultrasound?
Ultrasound adalah imbasan yang menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk mengkaji struktur dalaman badan. Gelombang bunyi yang dipantulkan atau ‘gema’ kemudian diterjemahkan ke dalam imej dua dimensi atau kadangkala tiga dimensi pada skrin. Ujian ultrasound untuk ibu mengandung digunakan semasa kehamilan untuk memeriksa perkembangan bayi serta kesihatan ibu.
Isi Kandungan
Kegunaan ultrasound untuk ibu mengandung
Imbasan ultrasound dilakukan semasa pemeriksaan antenatal bagi memantau pertumbuhan dan perkembangan bayi di dalam kandungan ibu. Imbasan ini dapat mengesahkan kehamilan dan usia janin. Ia turut dapat membantu mengesan jika terdapat sebarang kelainan atau kecacatan kepada bayi. Jika terdapat sebarang kelainan, pemeriksaan lanjut akan dilakukan.
Imbasan ultrasound tidak 100 peratus tepat. Namun ia sangat berguna sebagai langkah awal mengesan kelainan dan dapat diberi konsultansi atau rawatan dengan segera.
Kegunaan ultrasound yang digunakan boleh dibahagikan mengikut trimester, iaitu 3 fasa perkembangan
- Trimester pertama – imbasan ini boleh mula dilakukan seawal 6 minggu atau mungkin lebih awal bergantung kepada keadaan. Dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan digunakan untuk memeriksa sama ada embrio berkembang di dalam rahim bukan di dalam tiub fallopio, mengesahkan bilangan embrio dan mengira usia kehamilan serta bayi. Ia juga dapat memberi anggaran tarikh jangkaan bersalin berdasarkan perkembangan janin.
- Trimester kedua – pada trimester ini ia digunakan untuk memeriksa perkembangan struktur janin seperti tulang belakang, anggota badan, otak dan organ dalaman. Saiz dan kedudukan plasenta/uri juga diperiksa. Plasenta yang berada di pangkal rahim iaitu plasenta previs berisiko menyebabkan berlaku pendarahan semasa hamil. Ketika ini jantina bayi mula dapat dikesan dengan jelas.
- Trimester ketiga – selepas 30 minggu digunakan untuk memeriksa bahawa bayi terus membesar pada kadar normal. Kedudukan plasenta atau uri diperiksa. Ia adalah untuk memastikan ia tidak menyekat serviks iaitu bahagian pangkal rahim. Jika ia berlaku ibu mungkin tidak dapat melahirkan anak secara normal.
Prosedur ultrasound
Gelombang ultrasound dihasilkan oleh transduser, di mana ia boleh memancarkan gelombang ultrasound dan mengesan gema ultrasound yang dipantulkan kembali. Transduser menghantar pancaran gelombang bunyi ke dalam badan. Gelombang ini dipantulkan kembali ke transduser melalui sempadan antara tisu. Apabila gema ini mengenai transduser, ia menghasilkan isyarat yang dihantar ke pengimbas ultrasound. Menggunakan kelajuan bunyi dan masa setiap gema, pengimbas mengira jarak dari transduser ke sempadan tisu. Jarak ini digunakan untuk menghasilkan imej dua dimensi tisu dan organ.
Gel disapu pada perut anda bertujuan untuk memberikan sentuhan lebih baik serta mengelak poket udara antara kulit dan pengimbas. Apabila terdapat poket udara, ia akan menghalang gelombang ultra sound masuk ke badan. Pengimbas digerakkan di atas perut. Sebaik sahaja menyentuh perut, gambar akan terpancar di monitor bersebelahan. Pengimbas akan digerak-gerakkan ke kiri, kanan, atas dan bawah untuk membuat pemerhatian keadaan janin. Ukuran janin akan diambil untuk melihat perkembangan.
Sebaik sahaja ultrasound selesai, lap gel dengan tisu untuk mengeringkannya.
Adakah ujian imbasan ultrasound ini selamat?
Ultrasound secara amnya dianggap selamat dan tidak menghasilkan sinaran mengion seperti yang dihasilkan oleh sinar-x (X-ray). Kesan ultrasound pada bayi dan ibu adalah tidak merbahaya dan tidak mempunyai komplikasi atau kesan sampingan. Ia adalah prosedur yang selamat, tidak menyakitkan dan tidak invasif. Ramai ibu bapa menganggap ultrasound sebagai peluang untuk melihat anak mereka yang belum lahir, dan mungkin mengetahui jantinanya.
Selepas melakukan imbasan untrasound, tiada langkah berjaga-jaga perlu diambil. Anda boleh terus lakukan kerja harian seperti biasa. Namun alatan ini perlu beroperasi dalam had yang telah ditetapkan. Jadi penggunaannya perlu diawasi dan hanya untuk tujuan perubatan.
Kesimpulan
Ultrasound berguna untuk ibu mengandung memantau dan mengetahui kesihatan dirinya dan bayi yang dikandung. Dengan melakukan imbasan, andai terdapat kelainan, komplikasi atau isu kesihatan, ia dapat diketahui segera dan dapat mengambil langkah seterusnya. Usah risau isu keselamatan samada pada ibu dan bayi.