Isteri yang mengandung mengapa pula suami alahan semasa isteri mengandung. Apa yang terjadi? Ini dinamakan sindrom Couvade. Ingin tahu lebih lanjut, teruskan membaca perkongsian artikel ini.
Isi Kandungan
Suami Alahan Semasa Isteri Mengandung
Kebanyakan ibu hamil akan alami alahan kehamilan seperti loya, muntah dan mabuk. Ini adalah perkara normal yang berlaku. Namun agak ganjil apabila si suami pula yang alaminya. Ia benar-benar berlaku. Ini dinamakan sindrom Couvade.
Apa itu sindrom couvade?
Sindrom Couvade, juga dikenali sebagai “simpatetik kehamilan,” adalah keadaan di mana suami mengalami simptom-simptom yang menyerupai kehamilan. Walaupun tidak hamil, mereka boleh mengalami gejala seperti mual, muntah, peningkatan berat badan, keletihan, perubahan selera makan, sakit perut, dan sakit belakang. Dan tidak mengejutkan jika suami pula lebih teruk daripada keadaan isteri.
Suami berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan tetapi mengalami gejala kehamilan. Simptom Couvade ini mungkin berlaku berbeza-beza bagi setiap individu dan biasa terjadi pada trimester pertama dan ketiga kehamilan. Gejala berkaitan kehamilan yang dialami ini akan hilang dan jika berlarutan akan hilang dengan kelahiran bayi itu. Jika perlu dapatkan rawatan daripada doktor.
Tanda Sindrom Couvade
Berikut antara tanda umum sindrom ini yang mungkin berlaku kepada lelaki:
Loya, muntah dan sakit ulu hati
Isteri loya dan muntah bersama-sama suami. Siapa nak layan siapa sekarang? Di awal kehamilan, ibu akan alami gejala kehamilan seperti loya, muntah dan sakit ulu hati. Ini menyebabkan hilang selera makan. Dan simpton ini kerap dialami oleh suami yang alami sindrom Couvade ini.
Kegelisahan dan keletihan
Jika perwatakan suami seorang yang tenang, perubahan ketara yang berlaku, suami akan alami kegelisahan dan tidak senang duduk. Suami akan mudah rasa keletihan.
Perubahan berkaitan keinginan seksual
Ia boleh jadi tiada keinginan bersama isteri atau boleh jadi lebih terangsang. Ada sesetengahnya akan terangsang melihat perubahan badan pasangan yang sedang hamil. Namun ada juga yang menjadi terlalu letih untuk melakukan hubungan. Mungkin timbul kerisauan persetubuhan yang dilakukan akan menyakiti bayi dalam kandungan.
Pertambahan berat
Bukan sahaja berat ibu hamil yang bertambah, jangan terkejut berat suami juga akan bertambah. Suami mungkin terikut selera isteri yang makan dengan banyak. Rasa bimbang akan menyebabkan kortisol meningkat dan menyebabkan badan menghantar tanda lapar. Terasa ingin makan. Namun sebenarnya bukan kerana lapar tetapi kebimbangan.
Kesakitan
Kesakitan pada bahagian belakang, sakit kepala, kejang kaki, sakit gigi dan pelbagai kesakitan lain melibatkan gejala simpati kehamilan antara gejala turut dialami suami.
Perubahan Emosi
Suami mengalami sindrom Couvade akan mengalami perubahan emosi beberapa kali dalam sehari. Perubahan emosi ini selain perubahan hormon kepada ibu hamil, bagi lelaki ia boleh berlaku disebabkan sistem saraf.
Mengidam
Si isteri mungkin tidak mengidam tetapi suami mengidam pula. Keadaan terbalik berlaku. Apabila stress, hormon testosteron menurun dan meningkatkan hormon estrogen.
Insomnia
Suami mungkin alami insomnia. Sukar tidur dan menjadi masalah menyebabkan rasa keletihan. Keadaan ini jika berlaku secara berterusan akan membawa kepada masalah perhubungan.
Penyebab Sindrom Couvade
Psikologi dan Emosi
Empati yang Mendalam: Suami mungkin mempunyai empati yang kuat terhadap pasangannya yang hamil, yang membawa kepada manifestasi fizikal dari tekanan emosi dan psikologi yang mereka rasakan.
Kecemasan dan Tekanan: Menghadapi perubahan yang datang dengan kehamilan, seperti tanggungjawab baru dan kebimbangan tentang masa depan, boleh menyebabkan tekanan yang ditunjukkan melalui gejala fizikal.
Perubahan Hormonal
Beberapa kajian menunjukkan bahawa lelaki boleh mengalami perubahan dalam tahap hormon seperti kortisol dan prolaktin semasa pasangannya hamil, yang boleh menyumbang kepada gejala sindrom Couvade. Ia boleh menyebabkan hormon testosteron menurun dan meningkatkan hormon estrogen.
Faktor Sosial dan Budaya
Dalam sesetengah budaya, kehamilan dianggap sebagai pengalaman yang dikongsi bersama dan ini boleh membawa kepada manifestasi gejala kehamilan pada suami.
Cara Mengatasi Sindrom Couvade
Pendidikan dan Kesedaran
Mengetahui tentang sindrom Couvade dan memahami bahawa ia adalah keadaan yang diakui secara perubatan boleh membantu suami merasa lebih tenang dan kurang bimbang tentang gejala yang mereka alami.
Komunikasi
Berbincang secara terbuka tentang perasaan dan pengalaman dengan pasangan dapat membantu mengurangkan tekanan dan memperkuat ikatan emosi.
Pengurusan Tekanan
Punca utama berlaku adalah kerana tekanan. Urus dengan melakukan teknik ketenangan seperti senaman boleh membantu mengurangkan tekanan dan mengurus simptom fizikal. Amalkan berzikir dan membaca Al-Quran untuk lebih tenang.
Kaunseling atau Terapi
Mendapatkan bantuan daripada profesional seperti kaunselor atau ahli psikologi boleh membantu suami memahami dan mengurus perasaan mereka dengan lebih baik.
Menyokong Pasangan
Mengambil peranan aktif dalam proses kehamilan, seperti menghadiri temujanji doktor dan kelas kelahiran bersama iateri, boleh membantu suami merasa lebih terlibat dan mengurangkan rasa cemas.
Kesimpulan
Sindrom Couvade adalah keadaan yang menonjolkan hubungan emosi dan psikologi yang kuat antara suami dan isteri semasa kehamilan. Walaupun ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan, memahami sebab-sebab di sebaliknya dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya boleh membantu suami menjalani pengalaman ini dengan lebih baik.
Sokongan dan komunikasi yang baik antara pasangan adalah kunci utama dalam menangani sindrom ini. Perancangan yang baik serta sikap saling memahami pastinya dalam membantu mengurangkan tekanan dalam peralihan menempuhi alam keibubapaan. Selain itu, penjagaan kesihatan diri kepada bakal ibu bapa, khususnya ibu hamil adalah sangat penting.