Petua Cerai Susu Badan | Menceraikan susu badan adalah proses yang perlu dilakukan dengan sabar dan lembut. Apakah yang dapat memudahkan proses ini berlaku? Baca lebih lanjut artikel di bawah.
Isi Kandungan
Usia yang Sesuai untuk Cerai Susu Badan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan eksklusif sehingga bayi berusia 6 bulan dan meneruskan penyusuan sehingga usia 2 tahun atau lebih, selagi ibu dan anak mahu.
Setiap bayi adalah unik, jadi usia yang tepat untuk cerai susu badan berbeza-beza mengikut anak. Kebanyakan ibu mula menceraikan susu badan antara usia 1 hingga 2 tahun. Namun ada juga sehingga ke 3 atau 4 tahun.
Faktor Mempengaruhi Cerai Susu
- Kesediaan anak – menunjukkan tanda-tanda seperti kurang berkehendak untuk menyusu, makan pelbagai jenis makanan pejal dan minum dari cawan.
- Kesediaan ibu – keselesaan ibu, perlu bekerja semula, kehamilan atau faktor cara hidup
- Keputusan Bersama – Keputusan dibuat memberi keselesaan serta menjaga emosi buat ibu dan anak
Petua Cerai Susu Badan
Cara cerai susu ini dilakukan mengikut kesesuaian ibu dan anak.
Lakukan berperingkat
Kurangkan sesi penyusuan secara perlahan-lahan, kurangkan satu sesi penyusuan selama beberapa hari. Mulakan dengan menggantikan satu sesi penyusuan siang dengan botol susu atau makanan pepejal. Setelah bayi biasa dengan perubahan ini, kurangkan lagi sesi penyusuan. Lakukan sehingga tiada lagi sesi penyusuan.
Kurang tempoh penyusuan
Kurangkan tempoh penyusuan pada sesi penyusuan. Jika biasa menyusu selama 5 minit, hentikan selepas 3 minit.
Gantikan dengan botol susu atau Cawan
Perkenalkan botol susu atau cawan untuk menggantikan penyusuan. Ini membantu anak menyesuaikan diri dengan cara penyusuan yang baru.
Berikan Makanan Pepejal
Perkenalkan makanan pepejal yang sesuai mengikut umur bayi. Ini dapat membantu mengurangkan keperluan bayi untuk menyusu. Bagi anak yang melebihi 2 tahun yang makan makanan pejal tidak perlu lagi diberi susu formula jika mereka tidak ingin susu.
Alihkan Perhatian
Alihkan perhatian bayi dengan bermain atau melakukan aktiviti lain apabila mereka meminta untuk menyusu. Ini boleh membantu bayi lupa tentang keinginan untuk menyusu.
Ubah rutin
Ubah rutin harian berkaitann penyusuan. Elak duduk di tempat biasa menyusu. Jika biasa menyusu sebelum tidur ubah dengan alternatif lain seperti menepuk atau memeluk anak.
Pakai Pakaian yang Sukar Dicapai Bayi:
Pakai pakaian yang sukar bagi bayi untuk mendapatkan akses kepada payudara. Biasanya anak akan menyelak untuk menyusu. Kesukaran ini membantu mengurangkan keinginan mereka untuk menyusu.
Cara Cerai Susu Badan Waktu Malam
Cerai susu waktu malam lebih sukar berbanding waktu lain. Pada waktu ini anak telah terbiasa menyusu sehingga tertidur. Ia kadang adalah tabiat anak, bukan kerana lapar dan perlu menyusu. ‘Bonding’ ini sukar dipisahkan. Anak mungkin alami gangguan dan sukar tidur.
Cara cerai susu waktu malam memerlukan bantuan orang lain. Si ayah boleh bantu tidurkan anak tanpa ibu di sisi. Alih perhatian dan tukar rutin dengan bercerita atau bacakan buku cerita sebelum tidur.
Jika anak terjaga waktu malam, pujuk dan alih perhatian. Elak beri susu badan. Anak akan menangis, namun lama-kelamaan dia akan terbiasa dengan tabiat yang baru. Boleh minta suami pujuk anak untuk tidur semula. Sediakan keadaan tempat tidur yang selesa dan kelam untuk elak anak kerap bangun malam. Adakala ia terjaga bukan kerana lapar tetapi tidak selesa, suhu terlalu panas atau sejuk.
Kesan Cerai Susu Badan
Pada Ibu:
Mungkin akan berlaku tetidakselesaan atau bengkak pada payudara. Oleh itu, lakukan pengurangan penyusuan secara berperingkat agar pengeluaran susu berkurang secara beransur-ansur. Ini dapat mengurangkan ketidakselesaan ini. Perah susu apabila terasa penuh. Elak menunggu sehingga rasa sakit.
Perasaan sedih atau kehilangan. Ibu dan anak akan terasa ikatan sedikit renggang kerana semakin kurang sentuhan. Penyusuan sering menjadi masa ikatan bersama antara ibu dan bayi, jadi ia boleh mengganggu emosi. Beri masa untuk sesuaikan dengan keadaan baru.
Pada Bayi:
Anak akan menangis dan mengamuk. Perlu bersabar dan memujuk anak. Lakukan aktiviti yang dapat alih perhatiannya. Teruskan lakukan rutin sehingga anak mula dapat terima dan berubah. Jika anak nampak sukar menerimanya, perlahankan proses sehingga anak benar-benar bersedia. Berikan lebih banyak perhatian, pelukan, dan masa bermain untuk mengimbangi perubahan ini.
Apabila susu dikurangkan, pastikan anak mendapat cukup nutrien dari makanan pepejal dan susu formula atau susu segar.
Cara Tradisional Cerai Susu Badan
Cara biasa dilakukan adalah dengan meletakkan sesuatu yang tidak disukai anak pada puting. Sebelum penyusuan sapu pada puting sesuatu yang masam seperti asam jawa. Boleh juga menggunakan akar seruntun untuk disapukan ke puting. Rasanya pahit dan anak akan menolak untuk meneruskan penyusuan.
Kesimpulan
Memahami keperluan dan reaksi bayi serta menyediakan sokongan yang diperlukan akan membantu memastikan peralihan ini berjalan lancar. Lakukan dengan bersabar dan mengikut kesediaan bersama-sama anak.