Apakah pemeriksaan antenatal atau pre? Apa yang dilakukan semasa pemeriksaan antenatal? Pemeriksaan ini bermanfaat kerana ia memantau perkembangan ibu dan juga bayi dalam kandungan.
Isi Kandungan
Pemeriksaan antenatal semasa mengandung
Pemeriksaan antenatal adalah ujian saringan berkala yang dilakukan pada ibu mengandung bagi memastikan ibu dan bayi sihat sepanjang kehamilan. Ia dilakukan oleh doktor atau bidan. Pemeriksaan bulanan ibu mengandung dilakukan setiap 4 minggu dan kekerapan akan bertambah setiap 2 minggu pada minggu ke 28. Minggu ke 36 pemeriksaan dilakukan pada setiap seminggu. Kekerapan ini mungkin berubah mengikut keadaan ibu.
Pemeriksaan mengandung kali pertama, maklumat mengenai ibu direkod, iaitu haid, sejarah perubatan lampau dan terkini, sejarah peribadi, sejarah kehamilan sebelum dan gaya hidup. Kemudian dijalankan beberapa ujian untuk memeriksa kesihatan. Untuk lawatan pemeriksaan pertama, sebaiknya dilakukan sebaik disahkan mengandung. Kalau boleh jangan lewat dari minggu ke 12.
Pemeriksaan berkala yang dijalankan termasuk ujian darah, ujian air kencing dan imbasan ultrasound. Di samping itu, perbincangan tentang kebimbangan yang mungkin dialami mengenai kehamilan, masalah kesihatan dan ubat-ubatan serta suplemen. Terdapat ujian disyorkan untuk semua ibu mengandung, manakala ada ujian hanya untuk ibu yang berisiko tinggi dan menghadapi masalah.
Mengapa perlu lakukan pemeriksaan antenatal
Kesihatan ibu mengandung perlu dipantau untuk memastikan sepanjang kehamilan tidak berlaku risiko komplikasi. Sekiranya terdapat risiko langkah awal dapat diambil dengan segera untuk menanganinya. Semasa pemeriksaan ini ibu akan dinasihatkan tentang pemakanan dan senaman yang sesuai dan selamat. Sebaiknya semasa hamil amalkan gaya hidup yang baik untuk kesihatan ibu dan juga bayi.
Ujian saringan antenatal
Berikut adalah ujian saringan antenatal yang biasa dilaksanakan di Malaysia.
Ujian darah
Ujian darah dijalankan bagi mengenal pasti jenis darah, faktor Rh, anemia, jangkitan HIV, Hepatitis dan Sifilis serta imuniti terhadap penyakit seperti Rubella dan cacar air. Pemeriksaan darah ibu juga dilakukan untuk mengukur protein plasma berkaitan kehamilan iaitu A (PAPP-A) dan human chorionic gonadotropin (hCG) bagi memastikan bayi tidak mengalami gangguan kromosom.
Pemeriksaan tekanan darah dan berat
Setiap kali lawatan pemeriksaan, tekanan darah dan berat diambil. Ini penting untuk memantau tekanan darah yang tinggi akan memberi kesan kepada perkembangan bayi. Darah kurang mengalir ke uri untuk disalurkan kepada bayi. Ia boleh menyebabkan kelahiran pra-matang.
Selain itu ibu juga berisiko menghidapi pre-ekslampsia. Ia amat merbahaya kepada ibu mengandung dan mengancam nyawa ibu.
Berat dipantau agar tidak naik terlalu banyak. Berat yang naik berlebihan mungkin menyebabkan bayi terlalu besar. Timbul komplikasi semasa bersalin. Begitu juga jika berat menurun, dipantau agar tidak memudaratkan bayi.
Imbasan ultrasound (ultrabunyi)
Penggunaan ultra sound digunakan untuk pemeriksaan bayi. Ultrasound memberikan maklumat visual tentang janin di dalam kandungan. Doktor atau bidan akan memantau perkembangan bayi.
Pemeriksaaan ultrasound dilakukan untuk memeriksa kedudukan plasenta, panjang serviks, jumlah cecair amniotik, saiz dan perkembangan bayi serta mengesan sebarang kelainan pada janin. Ia juga akan memeriksa beberapa keadaan kesihatan.
Semasa imbasan ultrsound, anda mungkin dapat mendengar degupan jantung bayi. Ultrasound ini juga bermanfaat untuk mengetahui jika mengalami kehamilan berganda iaitu kembar
Ujian pranatal bukan invasif (NIPT)
Ini adalah ujian darah yang boleh dilakukan seawal 12 minggu. Ujian saringan ini dilakukan untuk memeriksa sama ada janin mengalami gangguan kromosom seperti sindrom Down (Trisomi 21), sindrom Edward (Trisomi 18), Sindrom Patau (Trisomi 13) dan gangguan genetik yang lain. Ujian juga boleh menentukan jantina bayi.
Amniosentesis
Amnisentesis dijalankan jika ibu berisiko melahirkan anak yang cacat, iaitu berusia 35 tahun ke atas dan mempunyai sejarah keluarga. Ia digunakan untuk memeriksa samada bayi yang dikandung berisiko mengalami kecacatan. Ia dilakukan antara minggu ke 15 hingga ke 20. Doktor menggunakan air ketuban di dalam rahim untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bayi.
Ujian air kencing
Ujian air kencing dilakukan untuk menilai jika terdapat jangkitan pundi kencing atau buah pinggang, paras protein dan diabetes. Tahap protein yang lebih tinggi mungkin menandakan terdapat jangkitan saluran kencing atau penyakit buah pinggang. Ia juga untuk memantau jika mengalami preeklampsia, ia bertambah buruk jika turut mengalami tekanan darah tinggi
Jika jangkitan pundi kencing tidak dirawat ia boleh menyebabkan kelahiran pramatang
Ujian glukosa
Biasanya dilakukan semasa trimester kedua iaitu antara minggu 24 dan 28, ujian glukosa membantu mengenal pasti diabetes ketika hamil. Ujian mungkin dilakukan lebih awal jika paras glukosa tinggi dalam air kencing semasa lawatan bulanan atau berisiko tinggi untuk mendapat diabetes ketika hamil. Jika berisiko rendah, mungkin tidak perlu lakukan ujian ini.
Pemantauan janin untuk kehamilan lebih bulan
Sekiranya tempoh mengandung telah melepasi 42 minggu, ia adalah kehamilan lebih bulan atau postmaturity. Pemantauan janin dilakukan bagi mengesan perubahan dalam degupan jantung bayi. Ia mungkin tanda gangguan pada janin atau kekurangan oksigen.
Secara keseluruhan, pemantauan janin pada peringkat akhir kehamilan memastikan perkembangan janin dan membantu mengesan sebarang tanda gangguan pada janin.
Pemeriksaan gigi ibu mengandung
Penjagaan gigi dan gusi adalah penting semasa mengandung. Mengandung menyebabkan perubahan hormon yang meningkatkan risiko alami penyakit gusi. Alahan mungkin menyebabkan kurang menjaga kebersihan gigi dan memburukkan keadaan. Ibu mungkin alami epulis iaitu ketumbuhan atau benjolan pada gusi.
Ia boleh menjejaskan kesihatan bayi. Sebarang penyakit termasuk pergigian boleh memberi risiko terhadap kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan.
Pemeriksaan gigi ibu mengandung perlu lah memaklumkan doktor, ibu sedang hamil dan elak lakukan x-ray. Sebaiknya jaga kebersihan gigi sejak awal agar tidak timbul masalah pergigian.
Kesimpulan
Penjagaan ketika hamil jangan di ambil mudah. Ia seolah rutin yang berulang, namun ia memberi manfaat kepada ibu apatah lagi bayi dalam kandungan. Pemantauan berkala ini dapat mengurangkan risiko dan mengelak kejadian yang tidak diingini.