Penyediaan susu badan untuk bayi perlu disediakan dengan betul. Jika hantar kepada pengasuh, ajar cara sediakan susu badan kepada pengasuh jika dia tidak pernah melakukannya.
Saya pernah alami kesilapan tidak mengajar pengasuh bagaimana menyediakan susu ibu cara yang betul. Saya sudah belikan alat untuk panaskan susu untuk memudahkan kerjanya. Ditambah pula tidak faham kepentingan penyusuan susu ibu, keadaan lebih sukar. Akibatnya dia minta susu formula dengan mengatakan bayi saya menolak susu badan.
Isi Kandungan
Berapa lama susu ibu atau EBM boleh disimpan?
Apa itu susu EBM? Ini istilah dalam bahasa inggeris yang bermaksud perahan susu ibu, Expressed Breast Milk.
Untuk simpanan susu, sebaiknya disimpan mengikut sekali sukatan yang perlu diberikan untuk elak pembaziran. Jika susu telah dipanaskan, ia tidak dapat disimpan lagi. Berapa lama susu ibu bertahan selepas diperah? Tempoh simpanan susu ibu terbahagi kepada 3 bergantung kepada cara simpanan
1.Susu ibu segar – baru diperah (Fresh EBM)
Susu ibu yang segar dan masih belum diberi kepada bayi dapat bertahan selama 4 jam jika berada di suhu bilik. Jika berada di bilik berhawa dingin ia dapat bertahan sehingga 8 jam. Jika pam di pejabat untuk dibawa pulang, pastikan tidak melebihi tempoh ini untuk memastikan susu tidak rosak. lebih selamat sediakan beg sejuk (cooler bag) untuk menyimpan susu
2. Susu ibu yang disimpan dalam peti sejuk dan tidak bekukan (Chilled EBM)
Susu ibu dapat bertahan selama 3 hari. Jika masih belum digunakan, simpan ke tempat sejuk beku agar boleh tahan lebih lama.
3. Susu ibu yang dibekukan (Frozen EBM)
Jenis peti sejuk mempengaruhi ketahanan susu ibu yang disimpan secara sejuk beku. Terdapat 3 jenis peti sejuk untuk simpanan sejuk beku.
- Peti sejuk 1 pintu – susu ibu bertahan selama 2 minggu. Ia tidak dapat tahan lama.
- Peti sejuk 2 pintu (iaitu peti sejuk biasa dan peti sejuk beku pintu berasingan) – susu ibu bertahan selama 3 bulan
- Deep frezer (peti sejuk beku sahaja) – susu ibu bertahan selama 6 bulan.
Cara sediakan susu badan untuk bayi
Cara panaskan susu ibu
Sebelum susu diberi kepada bayi, periksa dahulu keadaan susu. Pastikan susu tidak rosak atau basi.
Bagi susu ibu yang segar, ia boleh terus diberikan kepada bayi. Susu ibu yang disimpan di dalam peti sejuk(chiller) perlu dipanaskan terlebih dahulu.
Manakala untuk susu sejuk beku, keluarkan dari peti sejuk beku dan letakkan di bahagian bawah (chiller) terlebih dahulu selama 7 ke 12 jam. Jangan keluarkan dari tempat sejuk beku dan biar cair di suhu bilik.
Panaskan air di dalam periuk sehingga sedikit panas dalam 38 C iaitu suhu badan manusia. Anggarannya kita masih boleh mencelup jadi didalamnya. Jangan guna air terlalu panas, ia akan merosakan nutrisi dan khasiat yang terdapat di dalam susu.
Tutup api dan masukkan botol susu di dalam periuk berisi air itu. Biarkan 10 minit. Sekali-sekala goncang supaya susu sekata suhunya. Selepas dipanaskan periksa suhu susu. Titis di atas tangan untuk memeriksa suhu susu.
Selain cara di atas, susu juga boleh dipanaskan mengggunakan warmer iaitu pemanas susu. Alat ini lebih mudah digunakan kerana suhu dilaras dan dikawal dengan sendiri. Masukkan air ke dalam warmer dan tekan butang untuk memanaskan susu.
Jika susu masih sejuk, ulang panaskan semula. Biasanya bayi kurang gemar susu sejuk dan akan menolaknya. Jika terdapat dua lapisan susu, goncangkan sebelum diberi kepada bayi. Lapisan ini terjadi kerana susu mengandungi lapisan air dan lemak, menyebabkan ia terbahagi dua lapisan. Goncang juga bertujuan agar panas susu sekata.
Elak panaskan guna microwave atau air terlalu panas. Ia akan merosakkan kandungan nutrisi susu ibu. Dengan menggunakan microwave, kepanasan adalah tidak sekata. Dikhuatiri ada susu yang terlalu panas dan boleh menyebabkan melecur ketika bayi menghisapnya.
Berapa lama susu ibu bertahan selepas dipanaskan?
Susu ibu yang telah dipanaskan dan diberikan kepada bayi hanya boleh bertahan selama 1 jam. Selepas 1 jam susu perlu dibuang.
Susu ibu yang telah dicairkan juga tidak boleh disimpan semula. Oleh itu pastikan menyimpan mengikut kuantiti diperlukan sahaja. Dalam keadaan beku sukar untuk mengasingkannya dan perlu dicairkan sekaligus.
Panduan ajar cara sediakan susu badan untuk pengasuh
Minta untuk beberapa hari pengasuh perhatikan keadaan bayi. Bila waktu tidur dan bangun. Apabila sudah boleh buat anggaran, susu ibu boleh dipanaskan terlebih dahulu. Ini untuk atasi bayi kelaparan dan menangis tetapi susu masih sejuk. Keadaan akan menjadi kelam kabut. Apabila susu sejuk yang diberi bayi akan menolak susu. Jika bayi masih belum bangun melepasi waktu tidur, kejutkan bayi untuk memberi susu ibu.
Jika susu beku, pastikan telah dicairkan di peti sejuk bawah terlebih dahulu untuk diberikan kepada pengasuh. Ibu juga boleh sediakan pemanas untuk memudahkan pengasuh memanaskan susu ibu. Jika tiada, ajar cara memanaskan susu ibu menggunakan air suam. Goncang susu semasa dipanaskan agar susu sekata panasnya.