Pulmonary Embolism (PE) antara salah satu komplikasi yang mungkin berlaku semasa mengandung atau selepas bersalin. Ia terjadi apabila berlaku darah beku semasa mengandung atau selepas bersalin, dan ia menyekat aliran darah di dalam paru-paru. Ia amat bahaya dan menjadi salah satu penyebab punca kematian ibu mengandung atau ibu dalam pantang.
Isi Kandungan
Punca darah beku semasa mengandung dan selepas bersalin
Semasa mengandung risiko meningkat sehingga 5 kali ganda untuk mengalami pembekuan darah kerana semasa ini badan meningkatkan pengeluaran darah. Darah menjadi lebih pekat. Rahim yang mengembang dan membesar pula akan menekan saluran darah di bahagian bawah. Aliran darah menjadi kurang lancar dan tersekat. Biasanya darah beku mula terbentuk di kaki. Ia menyebabkan kaki bengkak dan berlaku penyakit deep vein thrombosis.
Sekiranya tidak segera dirawat, darah beku ini mungkin akan pecah. Darah beku semasa mengandung yang terjadi ini akan bergerak mengikut aliran darah dan apabila tiba di paru-paru ia akan menyebabkan saluran darah tersumbat. Lebih kurang 1 hingga ke 2 orang daripada 1000 ibu mengalaminya. Kenali tanda-tanda awal PE agar langkah pencegahan dapat diambil.
Siapakah yang berisiko tinggi?
Sejarah
Ibu yang mempunyai sejarah samada diri sendiri atau sejarah keluarga mengalami pembekuan darah, vena varikos, atau trombosis urat berisiko tinggi untuk mengalami embolisme pulmonari semasa hamil dan selepas bersalin. Oleh itu, jika mempunyai sejarah, pastikan anda memaklumkan doktor tentang sebarang sejarah penyakit ini.
Berat badan
Berat badan ibu, semasa mengandung dan semasa kelahiran turut menjadi punca berlaku PE ini. Wanita dengan BMI melebihi 30 mempunyai peningkatan risiko untuk embolisme pulmonari. Lebih tinggi BMI lebih tinggi risiko.
Usia
Risiko adalah lebih tinggi kepada ibu yang berusia 35 tahun atau lebih. Walaupun pernah bersalin dan tidak mengalaminya, apabila hamil pada usia 35 tahun ke atas, risiko meningkat untuk mengalaminya.
Kehamilan kembar
Kehamilan kembar lebih berisiko berbanding kehamilan tunggal.
Kesan kontraksi
Kontraksi yang kuat semasa bersalin juga mempunyai kesan yang kuat pada urat di pelvis dan boleh menyebabkan kerosakan kecil pada urat, meningkatkan risiko pembentukan darah beku.
Bersalin secara pembedahan
Bersalin secara pembedahan juga meningkatkan risiko mengalami darah beku. Selepas pembedahan, ibu tidak dapat terus bergerak. Pergerakan adalah terhad. Ibu bersalin normal dapat bangun dan bergerak dalam masa beberapa jam selepas bersalin. Kesan daripada kurang pergerakan, aliran darah tidak bergerak secara normal. Ini menjadi punca darah beku selepas bersalin.
Penyakit
Ibu yang alami penyakit seperti pre-eklampsia atau penyakit yang menyebabkan kelikatan darah mempunyai risiko penyebab darah beku.
Tanda Pulmonary Embolism
Ibu mungkin mengalami PE semasa hamil tetapi sukar untuk mengesan PE ketika ini. Ini kerana peredaran darah berubah dengan ketara sepanjang kehamilan. Gejala-gejala yang berlaku sama seperti gejala kehamilan. Oleh itu adalah penting untuk memberitahu doktor jika mempunyai sejarah penyakit ini agar langkah-langkah awal dapat diambil dengan menjalankan ujian pengimejan, ujian darah atau ujian-ujian lain untuk mengesan kehadiran darah beku.
Antara gejala-gejala yang harus diperhatikan adalah seperti berikut :
- Sesak nafas yang berlaku secara tiba-tiba
- Sakit dada yang semakin teruk dan terasa seperti alami serangan jantung
- Pening, sakit kepala atau pengsan kerana kehilangan tekanan darah secara tiba-tiba
- Sakit atau kak bengkak
- Peluh secara berlebihan
- Bibir dan kuku kebiruan
- Kebimbangan tanpa sebab
- Mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan sakit pada betis ketika berjalan.
Gumpalan darah yang besar akan mengurangkan bekalan oksigen ke paru-paru dengan ketara. Ia menyebabkan darah ke paru-paru tersekat.
Mencegah dan Merawat
Secara umumnya, rawatan pulmonary embolism, wanita hamil akan diberi ubat untuk mencairkan darah, bertujuan untuk mengurangkan keupayaan darah untuk membeku.
Langkah-langkah mencegah adalah lebih baik dari merawat. Ia boleh dilakukan dengan penjagaan sebelum hamil dan berterusan sehingga selepas bersalin.
Penjagaan sebelum dan semasa hamil
Langkah awal boleh dimulakan sebelum hamil, dengan mengamalkan diet dan bersenam, serta mencapai berat badan yang ideal. Sebelum hamil dapatkan berat BMI yang idea di antara 18.5 sehingga 25. Jika BMI melebihi 30 cuba turun sehingga 25. Penurunan berat badan bukan sahaja baik untuk mencegah pembekuan darah malah ia bermanfaat untuk masalah lain seperti diabetes dan darah tinggi.
Sepanjang hamil teruskan penjagaan dengan amalan diet dan senaman yang sesuai. Dan pastikan berat semasa hamil meningkat mengikut saranan pakar.
Penjagaan selepas bersalin
Selepas bersalin, ibu digalakan untuk bangun dan berjalan secepat mungkin untuk menggalakkan pengaliran darah yang baik. Namun jangan lakukan sendirian. Dalam keadaan lemah, anda mungkin terjatuh.
Bagi wanita yang bersalin melalui pembedahan, mengambil masa yang lebih lama untuk mula berjalan. Badan masih lesu dan lemah selepas pembedahan. Cuba bangun dan bergerak apabila mula mendapat tenaga. Doktor mungkin memberi ubat untuk mencairkan darah jika ibu berisiko mendapat PE.
Minum air secukupnya dan amal diet yang sihat semasa berpantang. Elak amalan berpantang yang tidak sesuai seperti dilarang minum air mencukupi atau hanya benarkan makan ikan kering perlu dihindari.
Pemakaian stoking selepas bersalin, iaitu amalan yang sering dilakukan semasa berpantang baik untuk mengawal pembekuan darah. Ia dapat mengurangkan kaki menjadi sejuk. Kaki sejuk memburukan lagi peredaran darah.
Kesimpulan
Hanya 0.1% ibu mengandung atau ibu dalam pantang mengalaminya dan kurang diketahui mengenainya. Oleh itu rami yang ambil ringan. Namun ia amat bahaya apabila mengalaminya dan menjadi punca kematian ibu semasa mengandung dan selepas bersalin. Semak adakah anda berisiko mengalaminya dan tanda-tanda pulmonary embolism agar ia dapat dicegah lebih awal. Maklumkan kepada doktor jika anda berisiko mengalaminya dan minta buat pemeriksaan lanjut.