Membesarkan anak autisme ini memerlukan ilmu dan kefahaman kerana cara mereka berfikir berbeza daripada anak-anak biasa. Mereka lebih gemar berada dalam dunia sendiri dan seolah-olah tiada perasaan. Apakah punca autisme yang menyebabkan ia berlaku? Bolehkah perkara ini dielak? Teruskan pembacaan untuk lebih memahami mengenai autism.
Isi Kandungan
Anak Autisme
Semua ibu ayah impikan anak yang sihat dan membesar dengan normal. Namun bukan semua berlaku mengikut kehendak kita. Saya dikurniakan seorang anak autisme. Anak keempat saya seorang autistik yang kini berusia 17 tahun. Tidak dinafikan pada mulanya agak sukar menerimanya. Luluh hati bila dikhabarkan dia tidak normal. Risau kehidupannya di masa hadapan. Risau bagaimana jika kami ibu ayahnya tiada lagi. Adakah dia boleh meneruskan kehidupan yang sama seperti kami masih ada. Apakah peluang pekerjaannya. Beribu persoalan bermain di fikiran.
Perjalanan kehidupannya sejak dalam kandungan berlainan daripada adik beradiknya. Semasa mula mengandung, si kakak baru berusia 7 bulan. Masih menyusu badan jadi period tidak teratur. Selepas 2 bulan tidak period, saya sangka telah hamil 2 bulan. Apabila membuat pemeriksaan, rupanya baru 1 bulan. Masa itu agak risau juga sebab baru berpindah rumah dan lakukan macam-macam kerja termasuk mengecat rumah. Kebiasaannya semasa mengandung saya ambil perhatian bahan-bahan yang berada di keliling saya. Saya elak guna bahan-bahan kimia termasuk krim yang dipakai di kulit. Pernah baca ia memberi kesan kepada anak dalam kandungan.
Ketika itu, saya baru memulakan perniagaan, ditambah dengan anak-anak yang masih kecil dan suami sukar terima saya mengandung semula. Semua ini memberi tekanan kepada saya. Namun dalam keadaan sebegitu saya cuba sebaik mungkin menjaga kesihatan dan membuat pemeriksaan bulanan.
Apabila menghampiri tarikh bersalin, saya memilih untuk bersalin secara induce. Semasa pemeriksaan, rupa-rupanya berlaku bukaan serviks 3 cm jadi terus ditolak ke bilik bersalin. Kejutan tangan bayi pula berada di pintu rahim. Doktor maklum mungkin bersalin secara pembedahan. Akhirnya saya memilih bersalin pembedahan untuk elak sebarang risiko. Nampak kelainan pada rupa parasnya ketika lahir, berbeza berbanding abang-abang dan kakaknya. Lama-kelamaan beransur normal. Mungkin kerana kelahiran melalui pembedahan.
Ketika usianya 7 bulan, peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila dia demam. Dalam sekelip mata kena sawan, panas naik mendadak tanpa sedar. Itu sawan pertama di alami. Dan bermulalah episod serangan sawannya. Berlaku beberapa kali sehingga usia 6 tahun. Alhamdulillah akhirnya berhenti. Saya sedar banyak perbezaan dengan 3 orang anak saya yang lain. Tetapi tidak pernah terfikir ianya tanda dia seorang yang istimewa.
Dari segi perkembangan nampak normal. Merangkak, duduk dan berjalan sama seperti anak-anak saya yang lain. Cuma sukar memahami apa yang dia cakap. Seolah-olah menjadi satu ayat tanpa selang baris. Hanya di usia 3 tahun dia bercakap normal dan difahami. Cara bercakap seperti bahasa baku serta menyebut satu persatu.
Dia tidak suka berada dalam keadaan bising. Andai berada dalam kereta dan kami gelak ketawa dengan kuat dia akan marah. Dan dia mempunyai tabiat suka pusing keliling meja atau kerusi tanpa dia sedar. Usia 5 tahun dia mula bersekolah. Sehingga ke hujung tahun masih tidak kenal huruf apatah lagi membaca. Ketika ini saya semakin gusar.
Saya semakin sedar perbezaannya, dan kerap kali cuba dapatkan penjelasan daripada doktor kanak-kanak. Saya syak dia asperger. Ketika ini maklumat mengenai austism masih kurang. Doktor mengatakan anak saya normal. Disebabkan masih tidak puas hati, akhirnya saya bawa berjumpa pakar psikologi, semasa berusia 6 tahun. Di situ persoalan saya selama ini terjawab.
Apakah autisme?
Perkataan “autisme” mula digunakan oleh pakar psikologi yang bernama Eugen Bleuler untuk mengambarkan keadaan pesakitnya pada tahun 1911. Pesakitnya suka menyendiri dan tidak mahu bersosial. Perkataan autisme ini berasal dari perkataan yunani “Autos” yang bermaksud sendiri. Autisme bermaksud kekaguman kepada diri sendiri dan berada di dunianya sendiri.
Gangguan Spektrum Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) ialah gangguan neurologi yang menjejaskan fungsi normal otak dari segi perkembangan sosial, komunikasi dan corak tingkah laku seseorang. Mereka ini mengalami masalah untuk berkomunikasi, bermain, suka memencilkan diri serta gemar melakukan tindakan yang tidak wajar berulangan. Istilah gangguan spektrum autisme digunakan, kerana gejala boleh berlaku dalam pelbagai kombinasi dan ia boleh berlaku secara ringan hingga agak teruk.
Autisme lebih banyak berlaku kepada lelaki berbanding dengan perempuan. Nisbahnya adalah seramai 4 lelaki kepada 1 perempuan. Autisme boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan taraf pendidikan.
Walaupun autisme tidak mempunyai penawar, pendidikan dan pemahaman yang meluas tentang keadaan ini membantu kita memberikan sokongan dan perhatian yang bersesuaian. Kita dapat memahami cara terbaik untuk berkomunikasi dengan mereka dan membangunkan lingkungan yang inklusif bagi setiap individu.
Memahami punca autisme dan faktor yang mempengaruhinya
Untuk memahami punca autisme, adalah penting untuk menyelidiki penyebab dan faktor risiko yang menyebabkan ia berlaku.
Genetik
Salah satu puncanya adalah faktor genetik. Lebih kurang 40% autisme berlaku kerana genetik ibu dan ayah. Namun terdapat ibu ayah yang tiada autisme tetapi mempunyai anak autisme. Ia turut dipengaruhi oleh perkara-perkara lain.
Epigenetik
Menurut kajian, punca autisme berlaku kebanyakannya berpunca dari faktor persekitaran. Epigenetik iaitu perubahan kepada genetik yang berlaku kesan dari persekitaran dan tingkah laku. Apabila wanita mengandung, persekitaran dan tingkah laku semasa mengandung, boleh mengubah epigenetik bayi. Apakah diet pemakanan ibu. Samada ibu mengalami komplikasi atau tidak semasa mengandung. Keadaan ini mungkin menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapat penyakit tertentu.
Tekanan Perasaan
Tekanan perasaan semasa mengandung juga boleh mempengaruhi keadaan anak dalam kandungan. Terdapat bukti mengatakan tekanan perasaan ibu mungkin merupakan faktor penting punca autisme. Perkembangan personaliti awal pada kanak-kanak dipengaruhi oleh keadaan ibu semasa mengandung. Tekanan perasaan yang dialami ibu akan menjejaskan perkembangan saraf anak.
Sistem Imun Ibu
Sistem imun ibu akan mengekalkan persekitaran bebas patogen dan tidak berlaku keradangan kepada janin yang sedang membesar. Walau bagaimanapun, apabila berlaku gangguan kepada sistem imun ibu semasa kehamilan, ia boleh menyebabkan kesan yang buruk kepada janin. Ia dikatakan menjadi salah satu punca berlaku autisme.
Persekitaran
Selain itu, faktor alam sekitar juga menjadi antara penyebabnya. Jika berada di dalam persekitaran yang tercemar dan terdedah dengan bahan kimia yang berbahaya, bahan-bahan ini akan memasuki badan dan sampai ke janin yang dikandung. Ia menyebabkan perkembangan janin terganggu dan merosakkan janin. Ia juga mungkin menjadi punca pelbagai penyakit lain juga.
Kesimpulan
Dengan mengetahui punca autisme ini serba sedikit dapat mengurangkan risiko melahirkan anak autisme dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada anak. Kehamilan adalah tempoh yang penting dalam memastikan tumbesaran janin yang sihat. Jaga diet pemakanan dan amalkan gaya hidup yang sihat.
Namun andai ditakdirkan, dikurniakan anak istimewa ini, pasti ada hikmahnya. Saya sendiri banyak berubah kerana anak istimewa ini, berusaha menjadi ibu yang baik buat anak-anak saya. Banyak mengajar saya erti kesabaran. Syukur dengan kurniaan ini. Untuk masa hadapannya, berdoa semoga anak saya ini dipermudahkan urusan dan diberi kehidupan yang baik.