Skip to content
Mamadamia Mamadamia.com

Versatile dengan Mama N Damia

  • Home
  • Produk
    • Bengkung
    • NR (Nona Roguy)
    • Produk bersalin
  • Blog
    • Anak
    • Ibu dan ayah
    • Makanan Sihat
  • Mengenai Kami
0
Mamadamia
Mamadamia.com

Versatile dengan Mama N Damia

March 15, 2024March 15, 2024

8 Kebaikan kolostrum susu ibu, susu awal penting untuk bayi

Kebaikan kolostrum susu ibu diketahui sangat memberi manfaat kepada bayi baru lahir. Ramai ibu tertanya-tanya kolostrum untuk apa? Mengapa ia baik untuk bayi baru lahir.

Isi Kandungan

  • Apakah itu kolostrum
  • Kebaikan kolostrum susu ibu
    • 1. Sistem Imun
    • 2. Kaya dengan protein, vitamin dan mineral serta rendah lemak dan gula
    • 3. Mengawal suhu badan
    • 4. Usus yang sihat
    • 5. Mudah dihadam
    • 6. Julap semulajadi
    • 7. Bayi belajar menyusu
    • 8. Bayi pramatang
  • Berapa banyak kolostrum yang diperlukan oleh bayi
  • Apakah peringkat susu ibu?
    • Kolostrum 
    • Susu peralihan 
    • Susu matang 
  • Apakah perbezaan antara kolostrum dan susu ibu?
  • Kesimpulan

Apakah itu kolostrum

Kolostrum mula dihasilkan semasa hamil. Hormon progesteron menurun dengan mendadak apabila bayi dilahirkan, iaitu apabila plasenta dikeluarkan dari rahim. Penurunan ini mencetuskan payudara anda untuk menghasilkan susu yang dipanggil kolostrum ini.

Kolostrum ialah susu awal yang dihasilkan dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran bayi. Ia berwarna kuning keemasan atau seperti warna telur kuning. Kolostrum ini dihasilkan dalam jumlah sedikit dan pekat sesuai dengan keperluan bayi. Kolostrum ini mula terhasil ketika mengandung. Kandungannya dipenuhi dengan sel darah putih yang dapat membantu membina sistem imun bayi serta melindung daripada penyakit.

Ketika zaman dahulu berlaku salah tanggap mengenai kolostrum. Ia dianggap kotor dan tidak sesuai untuk bayi. Oleh itu susu awal ini dibuang dan tidak diberikan kepada bayi. Selepas kajian dilakukan didapati kolostrum ini sebenarnya sangat penting untuk bayi dan perlu diberi untuk tempoh beberapa hari awal kelahiran tanpa campuran susu formula atau air untuk mendapat perlindungan.

Kebaikan kolostrum susu ibu

1. Sistem Imun

Bayi yang baru lahir mudah terdedah kepada jangkitan kerana sistem imun mereka masih belum kuat. Susu kolostrum bertindak membina pertahanan kepada sistem imun bayi. Kolostrum mengandungi sel darah putih yang menghasilkan antibodi (imunoglobulin A). 

2. Kaya dengan protein, vitamin dan mineral serta rendah lemak dan gula

Kandungan kolostrum kaya dengan protein dan mempunyai kandungan lemak dan gula yang rendah cukup mengikut keperluan bayi. Ia membantu mencegah masalah gula yang rendah pada bayi cukup bulan. Ia juga mengandungi beberapa vitamin penting, seperti vitamin A dan mineral seperti magnesium, tembaga dan zink. Vitamin dan mineral ini membantu penglihatan, imuniti dan kesihatan kulit bayi serta perkembangan jantung dan tulang bayi. 

3. Mengawal suhu badan

Selepas dilahirkan bayi perlu belajar menyesuaikan diri dengan suhu persekitaran yang baru. Kolostrum membantu bayi anda mengawal suhu badan, metabolisme, paru-paru dan peredaran darah dan paras gula dalam darah. Dengan ini mereka dapat menyesuaikan diri dengan dunia luar secepat mungkin. 

4. Usus yang sihat

Pengambilan kolostrum diperingkat awal akan membantu membentuk usus yang sihat. Usus ini dilapisi dengan khasiat susu kolostrum. Ini membantu mengelakkan bakteria berbahaya daripada diserap.

5. Mudah dihadam

Walaupun kolostrum pekat, ia mudah dihadam dan tidak menyebabkan masalah penghadaman. Ini kerana kandungan lemak dan gula adalah rendah.

6. Julap semulajadi

Ia juga dapat bertindak sebagai julap semulajadi. Ia dapat melawaskan pembuangan najis bayi. Ini membantu bayi anda mengeluarkan najis awal iaitu mekonium dan mengurangkan risiko berlakunya jaundis.

7. Bayi belajar menyusu

Penghasilan kolostrum yang sedikit dan perlahan memberi manfaat kepada bayi untuk belajar menyusu, menghisap, menelan dan bernafas. Oleh kerana ia pekat, bayi hanya memerlukan sedikit sahaja.

8. Bayi pramatang

Khasiat susu kolostrum ini sangat berguna bagi bayi lahir pramatang. Ia membantu perkembangan bayi pramatang membesar dengan sihat.

Kebaikan kolostrum susu ibu

Berapa banyak kolostrum yang diperlukan oleh bayi

Kolostrum dihasilkan pekat dan sedikit. Bayi baru lahir memerlukan 1 ke 2 sudu kecil kolostrum sekali menyusu. Oleh itu bayi akan kerap menyusu, 8 ke 10 kali sehari. Kolostrum itu mencukupi. Ibu usah risau bayi tidak cukup susu. Kerap menyusu bukan tanda tidak cukup susu tetapi sebab ianya mudah dihadam. Apabila berlaku salah tanggap bahawa bayi tidak cukup susu, bayi akan diberi susu formula. Jika ini berlaku, sayang bayi telah terlepas mendapat kebaikan kolostrum susu ibu ini. Apabila telah dicampur dengan susu formula lapisan perlindungan tidak dapat dibentuk.

Apakah peringkat susu ibu?

Selepas kira-kira tiga atau empat hari, kolostrum akan bertukar kepada susu peralihan. Apabila ini berlaku payudara akan terasa pejal, lembut dan penuh. Pada ketika ini bekalan susu telah meningkat dan telah bersedia untuk memenuhi keperluan bayi yang semakin membesar. Perut bayi telah membesar dan minum lebih banyak susu. Seterusnya susu ini akan bertukar menjadi susu matang. Ia terjadi apabila badan telah stabil untuk menghasilkan lebih banyak susu.

Terdapat tiga peringkat susu ibu yang berbeza

Kolostrum 

Susu pertama yang dihasilkan dalam tempoh empat hari kelahiran.

Susu peralihan 

Bermula kira-kira empat hari selepas kelahiran dan sehingga dua minggu. Kandungan susu peralihan mengandungi tahap lemak, laktosa dan vitamin larut air yang tinggi. Ia mengandungi lebih banyak kalori daripada kolostrum.

Susu matang 

Susu yang dihasilkan selepas tempoh dua minggu sehingga penyusuan dihentikan. Susu ini terdiri daripada 90% air dan 10% daripada karbohidrat, protein, dan lemak yang diperlukan untuk pertumbuhan dan tenaga.  Kandungan air yang tinggi diperlukan untuk memastikan bayi anda terhidrasi. 

Susu matang ini terbahagi kepada dua iaitu susu awal dan susu akhir.

  • Susu awal (Foremilk) – Susu ini dihasilkan semasa permulaan penyusuan dan mengandungi air, vitamin dan protein.
  • Susu akhir (Hindmilk) – Susu ini dihasilkan selepas keluaran awal susu. Ia mengandungi tahap lemak yang lebih tinggi dan dan lebih mengenyangkan. Ia diperlukan untuk penambahan berat badan.
Peringkat susu ibu

Apakah perbezaan antara kolostrum dan susu ibu?

Kolostrum ialah susu awal yang terhasil sebaik bayi dilahirkan.  Ia berubah selepas beberapa hari menjadi susu peralihan. Semasa tempoh ini, masih terdapat sejumlah kecil kolostrum dalam susu ibu.

Terdapat perbezaan yang jelas antara kolostrum dan susu ibu. Kandungan kolostrum mempunyai dua kali lebih banyak protein. Selain itu, kandungan zink di dalam kolostrum mempunyai empat kali lebih banyak berbanding susu biasa. Kolostrum lebih rendah lemak dan gula supaya lebih mudah dihadam. Dari segi warna, ia kuning keemasan manakala susu biasa berwarna putih dan ianya lebih pekat.

Kesimpulan

Kolostrum susu awal yang sangat penting dalam kehidupan awal bagi memastikan bayi sihat dan dapat membina sistem pertahanan yang mampu melawan penyakit. Pastikan bayi mendapat kolostrum ini.

Post navigation

Previous post
Next post

Kategori Produk

  • Bengkung bersalinBengkung44 products
  • Nona RoguyNR (Nona Roguy)88 products
  • Produk BersalinProduk bersalin44 products

Kategori Blog

Bayi dan anak
Anak
Panduan ibu dan ayah
Ibu dan ayah
Makanan Sihat
Makanan Sihat

  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok

Product

Blog

Terms and Conditions

Privacy Policy

Cookie Policy

Shipping Policy

Contact Us

About Us

©2024 Mamadamia.com | WordPress Theme by SuperbThemes
Cleantalk Pixel