Bayi baru lahir tidak tahu bila waktu siang atau malam. Tentu jadi masalah kepada ibu ayah, bayi tidur siang tetapi berjaga malam pula. Bagaimana nak ajar bayi tidur malam.
Isi Kandungan
Berapa jam bayi tidur dalam sehari?
Bayi tidur berapa jam sehari? Bayi baru lahir tidur selama 14 ke 17 jam sehari. Mungkin ada yang lebih 17 jam. Bayi terjaga beberapa jam sekali apabila lapar. Bagi bayi yang menyusu susu ibu, bayi lebih kerapa terjaga setiap 2 ke 3 jam, manakala susu formula lebih lama iaitu 3 ke 4 jam. Susu ibu lebih mudah hadam jadi sebab itu bayi cepat lapar. Usah risau apabila bayi kerap bangun. Andai bayi tidur terlalu lama tanpa menyusu, anda perlulah mengejutkan bayi. Ia mungkin juga tanda-tanda jaundis.
Sepanjang berada di dalam kandungan ibunya suasana sentiasa gelap, jadi bayi tidak tahu bila waktu siang atau malam. Apabila dilahirkan, bayi baru lahir akan tidur mengikut kehendaknya. Mungkin lebih banyak berjaga siang atau mungkin lebih banyak berjaga malam. Sukar untuk kawal waktu tidur bayi di awal kelahiran. Namun selepas beberapa minggu, bayi boleh diajar bila perlu tidur dan bila berjaga.
Apakah cara agar bayi tidur malam bukan siang?
Berikut cara-cara tidurkan bayi agar bayi tidur malam dan tidur nyenyak. Bayi mungkin ambil sedikit masa untuk sesuaikan dengan suasana untuk tidur, jadi perlulah bersabar sebelum ia berkesan.
1. Bedung Bayi
Kaedah bedung bayi sesuai untuk menidurkan bayi baru lahir. Apabila dibedung, bayi terasa seperti masih di dalam kandungan ibunya, keadaan yang menyebabkan bayi rasa selesa. Bayi akan lebih mudah untuk tidur.
Bayi baru lahir masih belum mempunyai kawalan motor yang baik. Kesannya, akan berlaku tindakan refleks yang tersentak, pergerakan tangan dan kaki yang tidak sengaja semasa tidur. Pergerakan ini akan mengejutkan mereka dari tidur. Bedung bayi dapat mengurangkan masalah pergerakan ini.
Tip bedung bayi
- Gunakan kain bedung yang nipis dan tidak panas. Sebaiknya gunakan jenis kain kapas, campuran kapas, linen atau kain muslin.
- Pastikan saiz kain yang sesuai ketika membedung bayi. Jika terlalu pendek sukar untuk bedung dan akan sering terbuka.
- Jangan bedung berlapis-lapis kain. Bayi akan terlalu panas.
- Bedung dengan memberi ruang kepada punggung dan kaki bayi untuk bergerak. Jangan terlalu ketat. Dan jangan terlalu longgar, ia mudah terbuka.
- Bedung ketika bayi sedang tidur sahaja
- Berhenti bedung apabila bayi mula tidak selesa atau mula berguling iaitu kira-kira di usia 2 bulan
2. Suasana sebelum tidur
Persekitaran yang tenang dan selesa akan membantu bayi tidur dengan nyenyak. Sebelum tidur, tukar lampin bayi dan berikan susu. Selepas menyusu, sendawakan bayi. Jika tidur dalam keadaan perut kembung, bayi akan meragam dan tidak dapat tidur. Pakaikan pakaian yang sesuai ketika hendak tidur. Jika sejuk pakai baju yang tebal dan jika panas pakai baju nipis. Pakaian yang tidak sesuai, bayi tidak selesa dan sukar tidur.
Tutup lampu atau pasang lampu yang malap bagi mendapatkan suasana gelap malam untuk membiasakan bayi bahawa itu waktu untuk tidur. Pastikan suhu bilik tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.
3. Kurangkan tidur di siang hari
Semasa waktu siang kurangkan waktu tidur bayi. Beri rangsangan dan perhatian pada waktu siang. Anda boleh berinteraksi dengan cara pegang bayi, bermain-main dan bercakap dengan bayi. Selain itu, waktu siang dalam keadaan segar dan tidak mengantuk, ibu dapat memberi rangsangan dengan rasa kasih sayang. Bayi mungkin mudah tidur apabila mendapat perhatian dan kasih sayang semasa berjaga ini.
Ketika waktu malam elakkan berinteraksi dengan bayi semasa bayi berjaga untuk meyusu atau perlu menukar lampin. Walau anda rasa ingin bermain-main dengan bayi atau bercakap, elakkan. Ini memberi pesanan kepada bayi itu adalah waktu tidur dan tidak merangsang bayi untuk berjaga. Manakala siang adalah waktu untuk lakukan aktiviti. Lama-kelamaan bayi akan faham mengenai waktu siang dan waktu malam.
4. Tetapkan rutin sebelum tidur
Seawal usia 6 minggu, mula lakukan rutin waktu tidur untuk bayi. Tujuannya adalah untuk memberi isyarat kepada bayi bahawa sudah hampir waktu tidur dan bayi bersedia untuk tidur. Boleh lakukan apa sahaja rutin yang sesuai.
Berikut beberapa perkara yang boleh anda lakukan sebagai rutin harian sebelum bayi tidur. Rutin ini hendaklah santai dan menenangkan.
- Bawa bayi ke bilik tidur dan letak di atas katil.
- Tukar lampin
- Berikan susu
- Membedung bayi
- Padam lampu atau pasang lampu malap
- Baca buku cerita
- Dodoikan dengan lagu kanak-kanak atau berzikir.
Apabila mula letak bayi di atas katil, elak mengangkat semula tanpa sebab. Biasakan ia biasa dengan tidur terus di katil. Lakukan setiap sehingga bayi faham itu adalah waktu tidur dan dapat tidur dengan mudah dan nyenyak.
5. Tetapkan jadual tidur
Dalam masa bebrapa minggu pertama, agak sukar untuk menetapkan waktu tidur bayi dengan teratur. bayi akan bangun dan tidur mengikut waktunya sendiri. Anda boleh ajar dengan menetapkan waktu bila bayi perlu mula tidur.
Tetapkan bila bayi perlu tidur. Contoh pada pukul 9 malam. Setiap hari pada pukul 9 bersedia untuk tidurkan bayi. Lakukan aktiviti rutin sebelum tidur. Pada mulanya bayi tidak akan tidur mengikut waktu ini. Teruskan sehingga bayi terbiasa dan tidur dengan mudah.
6. Tunggu dan lihat sebelum layan bayi
Apabila bayi terjaga di waktu malam, biarkan seketika. Beri peluang untuk bayi menenangkan diri dan mungkin ia akan tidur semula. Adakala bayi terjaga dan tidak memerlukan apa-apa. Hanya perhatikan keadaannya terlebih dahulu. Tunggu sehingga anda rasa ia perlukan anda, menangis tidak berhenti, bayi mungkin lapar atau perlu menukar lampin.
Elak perkara ini
Cara dan petua ini membantu bayi untuk tidur. Namun ada perkara yang perlu dielakkan
Salah sangka
Berfikir ianya mudah dan akan terus berjaya. Keadaan seorang bayi tidak sama dengan seorang bayi lain. Mungkin nampak kesan segera kepada bayi lain tetapi tidak kepada bayi anda. Perlu bersabar dan kekal positif. Elak berfikir negatif dan memburukkan keadaan dengan memarahi bayi pula.
Dukung atau pegang bayi
Ramai yang dukung atau megang bayi untuk menidurkan bayi. Andai bayi diajar sejak awal tidur dengan cara ini, kelak akan sukar untuk mengubahnya. Setiap kali hendak tidur, ia akan minta didukung atau dipegang. Jika tidak, ia tidak mahu tidur. Ini lebih memenatkan. Setiap kali terjaga anda perlu lakukannya sehingga bayi tertidur semula. Bayi tidak belajar cara menenangkan dirinya sendiri.
Biarkan bayi berjaga sepanjang siang hari
Mungkin anda sangka jika bayi berjaga sepanjang siang hari mereka akan mengantuk pada waktu malam. Ini cara yang salah. Apabila bayi terlalu penat kerana tidak cukup tidur, ia akan meragam dan lebih sukar untuk tidur. Pada waktu malam ia lebih kerap terjaga dan menangis.
Lakukan aktiviti sebelum tidur
Mungkin anda fikir hendaka bermain-main terlebih dahulu dengan bayi sebelum itdur. Elak aktiviti atau perkara yang aktif atau terlalu merangsang. Bayi akan susah untuk tidur kerana terangsang dengan aktiviti itu. Ia juga memberi pesanan yang salah kepada bayi, itu waktu bermain.
Makan minum ibu menyusu badan
Makanan dan minuman ibu yang menyusu badan mempengaruhi keluaran susunya. Bagi ibu yang memberi susu badan, elak minuman berkafein. Ia akan turut memberi kesan kepada bayi, sukar untuk tidur.
Kesimpulan
Bayi boleh dilatih untuk tidur malam dan tidur dengan nyenyak. Berikan masa untuk bayi mempelajarinya dan anda perlu bersabar. Apabila bayi mula dapat sesuaikan, kerja anda akan menjadi mudah. Bayi tidur malam dan anda juga dapat berehat sama.