Tip Suami Isteri

Masak tugas seorang isteri?

Tertarik saya untuk tulis topik ini selepas membaca blog seorang suami tentang isterinya. Dari seorang yang tidak tahu masak, kini pandai masak dan berkongsi resepi pula. Cuma ada sedikit komennya, siapa yang tidak tahu masak dan tidak ingin belajar dizaman teknologi yang memudahakan, dia pemalas. Ummmm…

Kebanyakakan suami suka isteri yang boleh memasak, lebih beruntung andai pandai memasak. Beza ya boleh memasak dan pandai memasak. Boleh masak pun sudah dikira bagus. Berapa ramai yang masih tidak boleh masak.

Mungkin ada benarnya dilabel pemalas tetapi perlu diperhalusi lagi. Andai punyai pembantu, punyai masa dan tidak sibuk, namun masih tidak mahu belajar masak, itu benar seorang pemalas. Ramai isteri yang bekerja sekarang. Biasanya hanya punyai waktu di hari cuti.

Beri peluang isteri untuk belajar masak dengan membantu isteri membuat kerja-kerja rumah. Beri bantuan menjaga anak-anak. Dan jangan lupa kata-kata semangat.

Mula belajar masak, masakan tidak menjadi, hangus, masin atau tidak sedap adalah perkara biasa. Jadi jangan pula menjatuhkan semangat isteri. Membandingkan masakan isteri dan ibu sendiri juga boleh menguris hati isteri.

Sebenarnya inilah juga diri saya suatu ketika dahulu. Tidak tahu masak. Sangat memahami perasaan seorang yang tidak tahu masak.

Setiap kali masak, saya rasa masakan tidak sedap. Ummm memang tidak sedap pun. Namun saya cuba juga masak. 1 jenis lauk saja saya tahu masak, sambal. Ketika itu belajar masak ambil resepi dalam buku saja. Tidak seperti sekarang boleh tonton youtube.

Balik ke rumah mak mertua, saya ada posisi tetap. Tukang potong bawang, sayur dan tukang kacau lauk atas dapur. 🙂 Bertahun-tahun begitulah keadaan saya. Jika ada menantu lain, mak mertua akan suruh menantu lain yang masak. Dah tahu saya tak pandai masak, tak adalah pula saya nak kecil hati. Terfikir, mesti panik kalau saya disuruh masak dan makin panik memikirkan ada ke orang nak makan. Lega disuruh orang lain.

Tanpa saya sedari, dari situ saya belajar untuk memasak, memerhati ramuan dan cara masak. Saya mula cuba masak sendiri di rumah. Masak kari, asam pedas, masak lemak, lemak cili padi, rendang dan kuah lodeh. Tempoh belajar ambil masa 10 tahun.

Kini bila masak, saya hanya campak-campak, tidak perlu disukat. Jarang masakan saya tidak menjadi. Dengan teknologi sekarang, menonton youtube, banyak lagi masakan yang saya belajar. Saya belajar sesuatu yang saya rasa mustahil untuk saya lakukan.

Jangan terkejut, masak nasi lemak, nasi ayam, nasi beriani bagi saya suatu yang mustahil dulu. Apatah lagi masak kek. Kalau dapat buat kek, menjadi pula, skil yang sangat tinggi tu.

Alhamdulillah sesuatu yang dulu mustahil kini mudah dibuat. Suami dan anak-anak hanya perlu beritahu menu apa nak dimakan.

Saya ambil masa 10 tahun untuk pandai masak. Pandai masak kek selepas 14 tahun. Dah boleh buat kek harijadi untuk anak-anak. Buat biskut, baru beberapa bulan ni menjadi. Dulu buat biskut, tak pernah menjadi. Jadi bila raya, biasanya ‘biskut tunjuk’ je.

castle2

Kek paling canggih yang pernah dibuat untuk birthday anak

Perlu mula lakukannya, perlu ada langkah pertama yang tidak boleh lagi di ‘gostan’. Kritikan? Simpan rasa kecil hati dalam hati, anggap itu cabaran. Bila menjadi dan sedap, menjadi pujian pasti terasa puas hati.

Niat kerana Allah. Moga kepayahan belajar masak, kepayahan memasak, kepayahan terpaksa telan walau tidak sedap, kesedihan bila anak tidak mahu makan apa kita masak, masakan yang menjadi, semuanya ladang pahala kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *