Tip Bayi & Anak-anak

Dyslexia, istimewa sejak mengandung

Membaca  beberapa kisah ibu kepada anak yang alami kelainan, kisahnya bermula sejak mengandung. Anak itu samada anak istimewa atau sakit. Ini mengingatkan kisah saya sendiri. Kisah anak dyslexia saya.

Anak ke 4, kelainan mula berlaku sebelum mengandung lagi. Ketika itu anak ke 3 baru berusia 10 bulan. Menyusu badan, jadi period baru datang. 2 bulan tepat pada waktu. Tiba-tiba bulan ke 3 tidak datang. Sangka saya, dah mengandung. Buat pemeriksaan sendiri di rumah. Negatif. Ketika itu fikirnya, mungkin masih awal jadi keputusan tak tepat.

Masuk bulan ke 2, buat lagi sekali, dan kali ini positif. Masa untuk mengesahan doktor. Terkejut bila doktor maklum, jantung belum nampak, jadi belum 6 minggu. Jadi betul lah keputusan negatif, saya belum mengandung. Baru sebulan mengandung, bukan 2 bulan.

Tarikh jangkaan bersalin dibuat ikut keputusan scan.

Sepanjang mengandung semua lancar. Masuk bulan ke 7, alami pendarahan. Tetapi tidak serius.

Saya buat temujanji untuk bersalin. Cadangnya secara induce. Namun pengalaman anak- anak lain, saya akan bersalin normal. Biasanya sehari sebelum bersalin, saya window shopping. Bukan suka-suka, tapi berjalan untuk memudahkan bersalin. Alhamdulillah semua menjadi.

Bila doktor buat pemeriksaan, sudah terbuka 4 cm. Doktor tanya tak rasa sakit ke. Jawab saya, tidak. Terus tolak ke bilik bersalin. Sesuatu luar jangkaan berlaku. Semasa doktor pecahkan air ketuban, rasa ada tangan bayi. Rupanya tangan terletak atas kepalanya.

Mungkin kena bersalin operate, doktor maklum saya. Tetapi tak mengapa, kita tunggu sejam lagi. Mungkin tangan naik semula. Sakit makin kuat. Doktor datang semula. Tangan makin turun. Jadi tiada pilihan.

Dalam keadaan sakit, tolak masuk ke bilik bedah. Masih ingat keadaan bilik tu, sangat sejuk. Menggigil. Tak pasti menggigil sejuk atau sebab takut. Tak jangka bersalin bedah, keluar ikut tingkap.

Akhirnya keluar bayi yang ditunggu. Nyaring sungguh suara. Tidak macam anak- anak lain. Kepalanya agak beza, nampak besar dan lonjong didahi. Tetapi selepas beberapa bulan, kepala jadi normal.

Ketika usia 8 bulan, sesuatu tak dijangka berlaku lagi. Anak-anak lain tidak alaminya. Dia demam. Selepas tidurkannya, saya keluar bilik. Kemudian masuk semula untuk tengok keadaannya. Ya Allah dia dah keras. Tak bergerak-gerak, mata terbeliak. Tak pasti berapa lama. Berkejar ke hospital. Sepanjang perjalanan macam tu keadaannya. Saya sangat panik. Mampu berdoa.

Hampir ke hospital, dia tiba-tiba muntah dan tersedar. Rupa-rupanya dia kena sawan. Bila sudah tahu keadaannya begitu, setiap kali demam saya berjaga-jaga. Kali kedua kena, ketika masuk usia 1 tahun. Sepanjang malam berjaga. Lap badannya untuk pastikan panas tidak naik mendadak.

Pagi tu saya amat mengantuk dan tertidur. Suami baru ke pejabat. Alhamdulillah sedang beri susu badan, jadi bila dia kejang, saya dapat rasa tiba-tiba dia tersentap. Terus angkat dan mandikan dia. Dia tersedar semula. Kebetulan suami tiba-tiba balik, tertinggal barang. Terus ke hospital.

Kali ke 3 sawan ketika usia 6 tahun. Saya mula leka kerana dah lama tak alami. Masa dia demam, saya lupa untuk lap badannya. Saya duduk disebelahnya. Tiba-tiba dia menjadi kejang. Angkat dan mandikan. Masih tidak ada perubahan. Suami pula dah ke masjid. Suami dah rasa tidak sedap hati, jadi dia bawa hp. Anak no 2 telefon ayahnya. Hanya mampu cakap, Daiyan, Daiyan dengan suara panik. Langkah seribu balik rumah. Terus ke hospital.

Sepanjang dalam kereta masih kejang. Ya Allah, takutnya. Ya Allah selamatkan anak ini. Sampai di hospital, baru dia sedar. Suhunya 38°c. Selang 1/2 jam naik ke 40°c. Terus bawa ke bilik air mandikan lagi.

Apa yang dialami ini, tidak berlaku pada anak-anak saya yang lain. Saya tidak jangka ini tanda-tanda sesuatu yang lebih besar ‘luar biasa’ yang akan saya ketahui.

Banyak air mata saya menitis kerananya. Di usia 6 tahun saya mengetahui dia alami dyslexia. Berat hati menerimanya. Sukarnya keadaan di sekolah. Perangainya juga berbeza dari kanak-kanak lain. Saya ambil keputusan untuk melatihnya sendiri. Cari ilmu. Saya lebih suka buat begini. Saya ingin kenali dan dekatinya, ingin memahaminya.

Perjalanannya masih jauh. Hanya doa yang mampu dititipkan agar Allah beri kekuatan pada diri ini dan moga Allah permudahkan perjalanan hidupnya. Moga diberikan kejayaan dunia dan akhirat. Amin…

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *