Berita & pengumuman

Erti kasih sayang

20130523_071324

 

 

 

 

 

 

 

Perkenalkan Tommy dan Belle. Putih oren (atau dipanggil merah) adalah Tommy, kucing jantan. Belle, betina. Warnanya Blueberry. Warna yang saya suka.

Hadiah hari jadi untuk anak saya Damia. Abang-abang Damia ada hulur duit, jadi kucing ini jadi hak abang-abangnya juga.

Tommy agak lasak, malas mengambus najis dia dan selalu dalam keadaan comot. Sesuai dengan kelasakannya, Tommy suka keluar rumah dan pergi ke mana-mana dia suka. Balik dalam keadaan kotor.

Berbeza dengan Belle, lemah lembut dan pembersih. Jika Tommy berada di depannya pasti dijilat dan dibersihkan Tommy.

Tommy suka membuli Belle. Badan Tommy lebih besar, jadi ada tempat dia tidak boleh masuk. Bila Tommy mula membuli, Belle akan sembunyi di tempat Tommy tidak boleh masuk.

Kedua-duanya masih anak kucing, jadi seronok tengok mereka bermain. Kadang-kadang bermain-main dengan kami. Belle aktif dan suka bermain. Tommy agak malas. main sebentar sudah terjelir-jelir lidah kepenatan.

Mula-mula sampai ke rumah kami, kami lepaskan dalam rumah. Saya tidak suka mengurung kucing. Namun Si Tommy menyebabkan kami terpaksa kurung. Bila dia berak, dia pijak najisnya dan melekat di lantai. Menjadi tugas harian pula perlu membasuh lantai. Jadi di waktu malam kami akan kurung di sangkarnya.

kucing

 

 

 

 

 

 

 

 

 

30 Dis 2013, 2 hari selepas tarikh lahir Belle yang pertama, peristiwa tidak dijangka berlaku. Pagi ketika Subuh, suami saya membuka pintu untuk ke  masjid. Tommy tiba-tiba berlari ke depan pintu, seolah ingin memberitahu sesuatu. Belle tiada. Kucing-kucing ini terlepas dari sangkar.

Di luar rumah, jasad Belle telah keras di atas jalan. Selepas pulang dari masjid, suami saya maklum tentang Belle telah mati. Seperti tidak percaya. Saya anggap kucing-kucing ini sebahagian keluarga saya.

Saya keluar dan melihat Belle. Dia seperti tidur. Hanya nampak darah yang beku dihidungnya.

Kami tanam di depan rumah.

Itulah kali pertama Belle berada di luar rumah,  pergi tak kembali.

Tommy amat terkesan dengan kematian Belle. Dia menutup mata dan nampak seperti ada air mata. Tidak buka mata. Tidak mahu makan. Beberapa hari beginilah keadaannya. Biasanya dia mengiau sangat kuat. Tetapi tidak kedengaran giaunya. Ada kala dia berbunyi seperti Belle. Tidur beralas tempat makan seperti Belle. Kelakuannya agak pelik.

Tommy ambil  masa sebulan untuk pulih. Kucing, seekor haiwan juga punyai perasaan yang halus. Haiwan juga punyai sifat belas dan kasihan. Jika seorang manusia yang punyai akal hilang perasaan belas dan sanggup bertindak luar kemanusiaan, dia lebih teruk dari seekor haiwan.

tommy

 

 

 

 

 

 

* Tommy sedang tidur di hujung kaki saya ketika menulis ini…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *