Tip Bayi & Anak-anak

Perkenalkan makanan pejal

Minggu depan cukup 6 bulan baby Dafinah saya. Dah boleh mula makan makanan pejal. Tip hari ni berkenaan memperkenalkan makanan pejal pada bayi.

 

Kebetulan saya ada dapat daripada EnfaMama Club (MeadJohnson), booklet yang berguna untuk saya kongsi bersama. Boleh join secara percuma kelab-kelab begini. Semasa dari anak sulung, saya ada masuk kelab begini. Terbaru untuk Dafinah ni, ummm tak pasti mana diaorang dapat maklumat saya ada bayi. Tetapi tiada masalah, bagus pun dapat pelbagai info. Tengah tunggu free sample untuk susu saya, untuk ibu menyusu badan.

Dahulu, makanan pejal mula diperkenalkan pada usia 4 bulan. Melalui buku yang saya terima ini, kini mula pada usia 6 bulan. Di pasaran pun hanya dinyatakan untuk umur 6 bulan ke atas. Tujuan bermula 6 bulan adalah untuk mengelak masalah alergi pada bayi. Aha mesti ada mak kita kata, dulu 1 bulan je dah campur nestum, elok je besar. Memang membesar, namun tidak sihat. Saya pernah jumpa bayi 3 bulan alami masalah kulit jadi kemerahan. Soalan saya pada ibu dia, dah bagi makan ke? Memang pun dah bagi masa 1 bulan. Selain masalah alergi, boleh sebabkan masalah pada usus.

Mula perkenalkan makanan, perkenalkan dalam jumlah yang sedikit dahulu. Biasanya bayi tidak biasa dengan makanan pejal. Ada yang akan menolak. Mula dengan 1 sudu besar untuk 3 hari pertama, kemudian tambah 1 sudu besar lagi, sehingga ke beberapa sudu mengikut cadangan pemakanan. Makanan baru diberikan itu perlu 1 jenis sahaja untuk selama 4 hari. Kemudian baru perkenal jenis lain pula. Ini untuk mengetahui samada bayi ada masalah toleransi atau tak pada makanan tersebut. Tak perlu tambah garam atau gula.

Masalah memberi makanan pejal, bayi sering tidak mahu makan makanan yang selalu dimakan dan digemarinya selepas beberapa ketika. Tip mudah sahaja, sering tukar menunya setiap hari. Bayangkan kita makan nasi lauk kari ayam dan sayur kangkung sebulan. Tengok ayam dan kangkung pun nak termuntah, tak lalu nak makan dah.;)

Minggu depan saya akan kongsi lagi tip hidangan untuk bayi mengikut peringkat umurnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *