Tip Bayi & Anak-anak

Memandikan Bayi

Kebiasaan bayi baru lahir tidak perlu dimandikan 2 kali sehari. Cukup mandi pada waktu pagi sahaja dan petang badan boleh dilap. Selepas sebulan atau lebih boleh mandikan 2 kali sehari.

Ada sesetengah ibu yang takut memandikan bayi baru lahir menggunakan besen mandi bayi. Bayi kelihatan lembik dan licin terutama selepas disabun. Bayi juga tidak selesa mandi dalam besen. Anda boleh lapkan badannya dengan span. Jika ingin mandi juga menggunakan besen mandi, besen boleh dilapik dengan pelapik getah untuk mengelakkan licin ketika memegang bayi dalam besen. Atau cari besen mandi yang mempunyai tempat untuk membaringkan bayi. Jadi kerja memandikan bayi lebih mudah. Anda tidak perlu memegang bayi.

Bagi mereka yang telah biasa boleh memandikan di tab/sinki dapur. Ibu saya dulu memandikan anak-anak saya (dan anak-anak saudara saya) di sinki sahaja. Sinki kami ada air panas dan sejuk. Mudah ibu saya memandikan tanpa perlu sediakan besen. Tapi saya memang tidak berani buat begitu.

Persediaan memandikan bayi.

Sebelum mandikan bayi, pastikan barang di bawah telah disediakan
– Sabun
– Kain flannel
– tuala bayi
– kapas untuk telinga/hidung jika perlu
– losyen, minyak sapuan pada perut
– baju, seluar, lampin, barut bayi (jika perlu)

Jika anda mandi di tempat lain dan memakai pakaian di tempat lain, sediakan di tempat yang betul. Anda tidak mahu ketika sedang memandikan bayi, tertinggal sabun atau selesai memandikan bayi tiada tuala. Jangan tinggalkan bayi anda keseorangan jika tertinggal barang. Bawanya sekali.

Sediakan air mandian, campurkan air panas dan air sejuk. Rasa dengan tangan anda dahulu sama ada air itu terlalu panas atau tidak. Jika tidak pasti boleh beli termometer untuk mandi bayi. Jangan sekali-kali letakkan bayi tanpa memeriksa suhu air. Dan sediakan air bersih di dalam bekas lain untuk bilasan terakhir bayi.

Mandikan bayi

Mulakan dengan membasuh muka dan kepala. Bilas dengan menggunakan kain flannel yang dibasahkan atau menjirus dengan tangan anda. Bersihkan mata dan hidung bayi. Pastikan sabun/shampoo tidak terkena mata bayi. Kemudian bersihkan bahagian badan yang lain. Sabun dengan menggunakan tangan anda, ia lebih mudah. Kemudian bilas dengan air dan sebelum diangkat bilas dengan air bersih dalam bekas lain tadi. Pastikan anda memegang bayi dengan cermat. Angkat bayi dan balutkan badannya dengan tuala yang lembut untuk mengeringkannya. Jika tali pusatnya belum tertanggal, pastikan ia dikeringkan dengan bola kekapas sehingga kering.

Boleh sapukan losyen ke seluruh badan bayi anda. Tetapi sebenarnya tidak perlu disapu kecuali kulit bayi kering atau terdapat ruam yang sedikit. Minyak bayi kurang digunakan kerana ia mungkin akan menyebabkan ruam. Kebiasannya bagi orang melayu menyapu minyak (seperti minyak telon, yuyi atau NR minyak mustajab)pada perut bayi dan memakaikan barut bayi untuk mengelak kembung perut.

Bedak bayi talcum perlu dielak kerana berbahaya kepada paru-paru. Bedak bayi dari tepung jagung (cornflour) adalah lebih selamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *