Tip Penyusuan

Kebaikan Susu Ibu

Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga berumur 6 bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur 2 tahun. Di dalam Al Quran surah Al-Baqarah ayat 233 ada dinyatakan kepentingan penyusuan sehingga berumur 2 tahun.

Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi kerana ia mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan otak bayi. Ianya mudah hadam dan sentiasa tersedia pada suhu yang tetap. Susu ibu pada peringkat awal adalah cair untuk menghilangkan dahaga, kemudian susu akhir adalah susu yang pekat untuk mengenyangkan bayi. Berbeza dengan susu formula yang sama kadar kepekatannya. Bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya dari lahir sehingga 6 bulan yang pertama mempunyai tumbesaran yang baik dan sihat

Susu ibu memberi perlindungan kepada bayi. Kolostrum, susu ibu permulaan yang dikeluarkan pada hari pertama sehingga ke hari ketiga mengandungi antibodi (IgA) yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan alahan. Dahulu, kolostrum dibuang kerana dianggap kotor. Susu ibu dapat mengurangkan risiko pencemaran dibandingkan dengan penyusuan secara lain.

Penyusuan dapat mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak, membantu mengecutkan rahim dan mengelakkan tumpahan darah, mengurangkan risiko mendapat kanser payudara dan ovari dan mempercepatkan proses pengurangan berat badan jika disertai dengan senaman. Penyusuan ibu sepenuhnya boleh menjarakkan kehamilan

Sebaik sahaja bayi dilahirkan anda patut memegang bayi anda dengan rapat. Sentuhan kulit bayi dan anda dalam masa 1 jam yang pertama selepas kelahiran selama sekurang-kurangnya 10 minit akan mengeratkan hubungan anda. Ini penting untuk memulakan proses pengeluaran susu rootingreflex (mencari-cari payudara) dan gerak balas hisapan kuat dalam masa 1 hingga 2 jam pertama. Bayi paling peka pada keadaan sekelilingnya pada ketika ini. Bagi ibu, hubungan ini mendorong rasa kasih sayang bagi meneruskan penyusuan lebih lama

Susuilah bayi anda dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga ia berusia 6 bulan yang pertama. Susu ibu mengandungi cukup air. Tiada minuman dan makanan tambahan diperlukan oleh bayi sebelum ia berumur 6 bulan. Bayi anda tidak memerlukan puting tiruan atau pacifier. Susuilah bayi anda kerap sekurang-kurangnya 8 hingga ke 12 kali dalam sehari termasuk penyusuan malam. Susu ibu mudah hadam jadi bayi akan kerap lapar. Susu mengikut keperluan bayi, bukan mengikut sukatan tertentu seperti menyusu sebelah payudara sahaja dan berhenti. Jika bayi masih lapar teruskan ke payudara yang kedua pula. Pastikan bayi mendapat susu akhir yang pekat untuk pastikan dia kenyang.

Makanan pelengkap hanya perlu diberikan apabila anak anda mencecah umur 6 bulan. Bagi memastikan tumbesaran yang baik teruskan penyusuan susu ibu sehingga anak anda berumur 2 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *