Mengurut adalah salah satu tradisi ketika dalam pantang bersalin untuk memulihkan badan. Urut tradisional dalam pantang bersalin berbeza dengan urutan yang lain. Cara mengurut tradisional melayu adalah berbeza antara urutan di spa, cara Thai atau cara moden lain.
Isi Kandungan
Apa itu Urut?
Mengurut telah lama wujud, sejak zaman purba lagi. Bukti arkeologi telah menunjukkan ia telah wujud di negara China, India, Korea, Rom dan Mesopotamia pada 2300 sebelum masihi lagi. Kemudian mengurut mula diperkenalkan di negara barat pada abad ke 18 dan 19 di Perancis. Ia salah satu cara perubatan untuk melegakan kesakitan. Sehingga ini masih ramai mengamalkannya seluruh dunia.
Teknik mengurut berbeza mengikut negara, budaya dan tujuan urutan. Secara asasnya urutan dilakukan untuk melembutkan otot-otot yang tegang, membantu pengaliran darah dan mengurangkan tekanan. Urutan dilakukan menggunakan jari, tangan, siku, kaki atau alat mengurut. Ada urutan hanya di muka seperti di spa kecantikan. Ada yang hanya urutan kaki dan ada urutan keseluruhan badan.
Tukang urut perlu mempelajari urat-urat, otot-otot dan bahagian urutan serta tujuannya. Ada teknik dan cara mengurut mengikut urat dan otot dibahagian badan. Tukang urut yang mahir, apabila sentuh badan pesakit sudah dapat jangka di bahagian mana yang sakit. Apabila dipegang bahagian berkenaan mereka dapat rasa urat yang tegang atau bengkak. Mereka telah dilatih untuk memeriksa dan tahu apa perlu dilakukan serta apa yang perlu dielakkan di bahagian berkenaan.
Tukang urut di sesetengah negara memerlukan mereka mempelajari secara profesional dan mendapatkan lesen untuk melakukan urutan. Ini bagi memastikan mereka yang benar layak sahaja melakukannya.
Urut Tradisional Melayu ibu dalam pantang
Semasa berpantang mengurut adalah salah satu amalan tradisi masyarakat melayu untuk ibu bersalin kembali sihat. Urut tradisional melayu mempunyai tekniknya tersendiri. Mengurut semasa pantang mempunyai kebaikan kepada ibu. Urutan ibu bersalin tidak sama dengan urutan biasa. Jadi berhati-hati apabila memilih tukang urut. Dapatkan khidmat tukang urut yang mahir untuk ibu dalam pantang bersalin.
Urutan dapat membantu memulihkan aliran darah, mengeluarkan angin dan melawskan pengeluaran darah nifas dan lendir dari rahim. Ia juga membantu menenangkan emosi dan meringankan tubuh yang lesu dan bisa otot. Urutan dapat mengelak sakit otot, sendi serta saraf di pinggang, betis, tumit dan lutut.
Urutan adalah menggunakan jari-jemari. Dengan menggunakan jari, mudah dapat mengesan urat dan otot yang bermasalah kerana jari lebih sensitif. Selain itu, penggunaan jari, urutan dibuat secara lembut kerana otot-otot jari tidak kuat seperti anggota badan lain. Tujuan mengurut adalah untuk melembutkan urat dan otot terutama untuk ibu dalam pantang. Jika dibuat dengan kuat ia hanya mencederakan dan menyakitkan badan.
Elak tukang urut yang menggunakan siku, lutut atau kaki semasa mengurut. Bahagian ini tidak sensitif jadi sukar untuk mereka kenal pasti jika ada masalah dan mungkin mengurut dengan kuat. Ia boleh menyebabkan bengkak dan kesakitan. Apabila mereka menggunakan bahagian badan ini untuk mengurut, jelas mereka ini bukan tukang urut mahir untuk ibu dalam pantang. Mungkin sesuai untuk situasi lain, bukan untuk ibu dalam pantang. Namun sebaiknya elak mereka yang mengurut cara begini.
Jenis urutan
Urutan perlu mengikut keadaan badan dan tempoh dalam pantang. Cara mengurut berbeza kerana keadaan badan yang masih belum pulih di awal pantang berbeza berbanding di hujung pantang yang beransur baik.
Urutan pulih badan
Selepas bersalin, urutan yang dilakukan lebih kepada rawatan pulih badan untuk kesegaran badan. Ini dilakukan selama tiga hari. Urutan ini sudah tidak dilakukan kerana ramai ibu bersalin di hospital dan meninggalkan amalan ini. Ia lebih kepada membelai badan agar hilang ketegangan urat dan otot selepas bersalin.
Urutan 2 minggu pertama
Urut tradisional dimulakan untuk tempoh dua minggu pertama dengan urutan tidak menyentuh rahim. Sepanjang tempoh ini, semasa mengurut dilarang menekan, menolak atau sengkak rahim. Ini untuk memastikan luka dalaman pulih terlebih dahulu. Dalam keadaan masih luka, rahim tidak akan kecut dan kembali ke tempat asalnya. Jadi ketika ini rahim perlu dibiarkan tanpa diusik. Jika diusik ia hanya memburukkan keadaan rahim yang masih dalam keadaan lemah dan bengkak. Mungkin berlaku pendarahan. Secara mudah untuk faham, jika terdapat luka di jari yang mula mengering sekiranya ditekan, ia mungkin berdarah kembali.
Tukang urut akan mengenalpasti bagaimana keadaan ibu, dengan memeriksa denyutan nadi di hulu hati. Denyutan yang terasa kuat menunjukkan ibu dalam keadaan sihat dengan aliran darah yang baik. Denyutan yang lemah mungkin disebabkan darah tidak mengalir dengan baik dan darah nifas tidak keluar dengan sempurna.
Jika pemeriksaan di hulu hati terasa keras, ini menunjukkan terdapat banyak angin yang berkumpul di hati. Angin ini akan naik ke kepala dan boleh menyebabkan sakit kepala dan murung. Jika dibiarkan ini akan menyebabkan ‘meroyan’.
Urutan selepas 2 minggu
Selepas dua minggu bersalin, urutan perbidanan menaikkan rahim dilakukan. Dengan cara yang betul, rahim tidak perlu disengkak dengan kekuatan tukang urut. Dengan lembut sahaja sudah dapat dibetulkan. Tukang urut perlu memeriksa dahulu kedudukan rahim rendah atau tinggi, dan keadaan rahim samada masih kembang atau sudah kecut. Ini penting untuk memastikan keadaan sesuai atau tidak untuk urutan yang akan dilakukan. Urutan ini dilakukan sehingga 44 hari.
Cara urut tradisional ibu dalam pantang
Selama dua minggu pertama, lakukan urutan di bawah terlebih dahulu. Selepas dua minggu, baru dimulakan urutan di bahagian perut.
- Urutan akan dimulakan dengan bahu dan tulang belikat dahulu.
- Urut di bahagian leher dan dada.
- Ulang semula ke bahu dan tulang belikat
- Urut dibahagian leher hingga ke bahagian kepala.
- Urut di tangan ke jari-jemari.
- Urut di kaki
Ini adalah panduan apabila memilih tukang urut supaya jelas apa yang patut diketahui. Jangan cuba mengurut sendiri hanya dengan membaca tip. Pilih tukang urut yang mahir. Tukang urut tidak mahir menyebabkan badan semakin sakit. Dan lebih buruk lagi jika tersilap boleh mengakibatkan rahim terbalik atau beralih.
Jika tukang urut tidak mahir, mereka akan salah urut dan memburukkan keadaan. Berapa ramai yang mengaku pandai mengurut tetapi sebenarnya tidak tahu mengurut. Tidak pernah belajar dengan tukang urut mahir. Ini menjadi salah satu punca hilang kepercayaan orang untuk mengurut. Mereka mengganggap mengurut hanya memudaratkan. Kesukaran mendapat tukang urut mahir juga menyebabkan ibu dalam pantang meninggal amalan mengurut.
Mencari tukang urut yang dipercayai, pengamal cara urut tradisional melayu yang mahir, sila hubungi NR Spa (Nona Roguy). Mereka mempunyai pengalaman puluhan tahun mengurut ibu dalam pantang dan urutan-urutan lain.
*Rujukan – Ensiklopedia Perbidanan Melayu oleh Dato Sharifah Anisah Barakbah