Proses bersalin normal adalah proses semulajadi yang dilalui ramai ibu. Ianya berbeza mengikut ibu-ibu. Ada ibu yang mudah bersalin dan ada yang mengambil masa berjam-jam hingga hilang tenaga. Tip bersalin mudah dan dapat mengurangkan kesakitan ini boleh diamalkan untuk membantu ketika bersalin. Ada yang boleh dimulakan ketika hamil. Namun tip mungkin ia tidak sesuai untuk semua ibu. Ia bergantung kepada individu.
Isi Kandungan
Bersenam membantu bersalin mudah
Kekal aktif dengan bersenam ketika hamil dapat membantu bersalin mudah dan cepat. Ia juga membantu mengurangkan sakit belakang, masalah sembelit dan memperbaiki kesihatan anda dan bayi. Bersenam mengikut kemampuan badan. Setiap individu berlainan kemampuannya.
- Berjalan – Cara paling mudah bersenam adalah dengan berjalan. Berjalan membantu Bulan terakhir kehamilan banyakkan berjalan.
- Berenang – Berada dalam air memberi sokongan kepada badan anda. Ia sangat membantu jika mengalami sakit belakang.
- Latihan kekuatan (strength training) – Ini sesuai jika anda sudah biasa melakukannya. Ia adalah latihan mengangkat berat. Dapatkan nasihat berapa berat yang sesuai.
- Yoga – Boleh lakukan yoga namun elak senaman yang memerlukan anda berbaring
- Senaman Kagel – Senaman ini adalah untuk menguatkan otot lantai pelvis. Caranya adalah dengan melakukan kemutan seperti menahan kencing. Kemut sambil bilang sehingga 10. Lepaskan dan ulang semula sebanyak 8 kali. Ulang 3 kali sehari. Mudah dilakukan bila-bila masa semasa duduk.
Perkara-perkara yang perlu dielak
- Berhati-hati ketika melakukan senaman. Jika rasa pening, dengupan jantung yang laju, kepenatan atau sakit, berhenti dan berehat.
- Elak senaman yang memerlukan anda berbaring.
- Elak bersenam semasa cuaca panas dan kering.
- Elak sukan yang lasak dan merbahaya.
- Jika menghadapi masalah kesihatan, uri berada di bawah, kerap berlaku kontraksi atau berlaku pendarahan atau atas arahan doktor, anda dilarang bersenam.
Makanan mudahkan bersalin
Pemakanan turut membantu proses bersalin mudah dan cepat. Pastikan ambil makanan sebelum bersalin kerana bersalin memerlukan tenaga. Jika tidak makan, badan mudah letih dan lesu, apabila perlu meneran sudah tidak bertenaga. Sediakan kurma atau buah-buahan yang dapat beri tenaga segera. Pastikan anda minum secukupnya. Bawa bekal semasa dalam bilik bersalin.
Elak makanan yang tidak menyenangkan perut seperti makanan pedas atau terlalu manis ketika hampir bersalin. Ia mungkin akan menyebabkan cirit birit. Ketidakselesaan ini mengganggu proses bersalin. Mungkin menimbulkan ketidakpastian sudah masa untuk meneran atau tidak.
Semasa di bilik bersalin
Apa yang boleh dilakukan ketika di bilik bersalin untuk membantu proses bersalin mudah dan kurang kesakitan?
Ketika berada di wad atau bilik bersalin, jangan baring atau tidur di katil. Berjalan-jalan dalam bilik. Jika tidak mampu berjalan, boleh duduk. Ketika duduk, tundukkan badan ke hadapan dapat membantu mempercepatkan proses bersalin. Bayi akan ditekan turun ke bawah pelvis. Ini membantu proses meneran.
Semasa pemeriksaan bulanan berbincang dengan doktor mengenai pilihan untuk mengurangkan sakit. Terdapat beberapa ubat tahan sakit yang boleh diambil jika tidak mampu tahan kesakitan.
Pelajari teknik pernfasan dan visual untuk mengurangkan kesakitan. Cara ini dapat mengurangkan kesakitan tanpa perlu mengambil ubat. Pelajari teknik ini melalui kelas Antenatal.
Berborak-borak dengan teman samada ibu atau suami (jika dibenarkan masuk ke bilik bersalin). Ini akan mengalih tumpuan daripada kesakitan yang dialami.
Mempelajari teknik bersalin yang betul. Dengan teknik yang betul dapat mengelak meneran banyak kali dan lama. Ia menyebabkan keletihan dan kehabisan tenaga untuk meneran.
Tunggu sehingga terasa perlu meneran. Jangan meneran sebelum masanya. Jangan menjerit-jerit. Ianya membuang tenaga dan menyebabkan keletihan.
Ayat amalan ketika hamil
Amalkan ayat-ayat dalam surah berikut untuk memudahkan bersalin ketika hamil.
- Surah Ali-Imran ayat ke 38
- Surah As-Saffat ayat 100
- Surah Al-Anbiya ayat 189
- Surah Al Insyiqaq ayat 1 hingga 5
Ayat amalan ketika sakit bersalin
Semasa berda di dalam wad atau bilik bersalin, amal baca surah-surah berikut. Surah ini membantu mengurangkan kesakitan dan memudahkan proses bersalin.
- An-Nas
- Al-Falaq
- Al-Ikhlas
- Ayat kursi.
- Surah Yassin – suami boleh baca untuk mengurangkan kesakitan isteri.
Pengalaman Bersalin
Bersalin kali pertama saya berbaring di atas katil semasa melalui peringkat pertama. Kesakitan amat kuat sehingga beberapa kali meminta ubat penahan sakit. Ini menyebabkan saya mencari maklumat bagaimana untuk mengurangkan sakit ketika ini apabila hamil lagi. Ketika itu belum ada internet seperti sekarang. Sukar untuk mencari maklumat bagaimana untuk bersalin mudah dan kurangkan kesakitan.
Ketika bersalin anak-anak seterusnya, saya berjalan-jalan dan apabila tidak dapat menahan rasa sakit, saya duduk. Saya mula amalkan teknik pernafasan ketika ini. Berborak-borak dengan suami atau ibu saya untuk mengalih perhatian daripada kesakitan yang saya alami. Kali ini tidak perlu lagi mengambil sebarang ubat tahan sakit.
Bersalin anak terakhir, saya bersalin secara semulajadi sepenuhnya. Tiada ubat untuk menahan sakit, tiada drip untuk mempercepatkan kontraksi (drip oxytoxin) dan tiada episiotomi (potongan pada faraj). Sepanjang berada di bilik bersalin saya berjalan-jalan sehingga saat hampir bersalin. Apabila sudah tidak tahan sakit, saya duduk di tepi katil. Sambil duduk, badan saya bongkok ke hadapan. Tip ini diajar oleh doktor bagi percepatkan proses bersalin. Alhamdulillah proses bersalin mudah dan cepat serta kesakitan dapat dikurangkan. Dengan dua kali teran, bayi sudah keluar.