Bolehkah susu ibu rosak? Susu ibu seperti minuman dan makanan biasa, ia akan rosak. Apakah tanda susu ibu rosak dan basi? Dan apa kesan bagi susu rosak kepada bayi?
Isi Kandungan
Penyediaan susu agar susu tidak rosak
Dalam menyediakan perahan susu, amalkan kebersihan sebelum dan selepas perahan susu. Pastikan peralatan yang digunakan hendaklah betul-betul bersih untuk mengelak berlaku pencemaran.
Tip semasa perahan susu dan jagaan peralatan adalah seperti berikut:
- Cuci tangan dengan bersih sebelum melakukan perahan.
- Cuci pam, botol dan peralatan yang digunakan dengan bersih. Pastikan bahagian yang bersambung dibuka dan dicuci semuanya.
- Selepas dicuci keringkan dengan membiarkannya kering sendiri. Penggunaan tuala dikhuatiri memindahkan kekotoran atau bakteria ke botol susu.
- Berus untuk mencuci pam dan botol dibersihkan selepas digunakan.
- Steril botol susu dan pam sekurang-kurangnya seminggu sekali. Boleh lakukan setiap hari terutama jika anak lahir pramatang. Steril dilakukan dengan merendam botol di dalam air panas.
- Tukar botol susu yang telah rosak dan berkulat. Tukar botol setiap 4 ke 6 bulan.
- Sediakan susu cara yang betul untuk diberikan kepada bayi
Susu ibu yang diperah mempunyai tempoh ketahanan bergantung kepada cara simpanan susu ibu. Pastikan cara simpanan yang betul untuk elak susu menjadi rosak. Memandangkan susu mempunyai tempoh tertentu, pastikan susu diletak tarikh dan dilabel dengan baik. Jika telah melebihi tempoh, buang susu. Ini mengelak daripada tersilap memberi susu yang telah tamat tempoh dan mungkin rosak.
Kenalpasti susu ibu
Susu ibu walaupun seperti susu formula, namun ia mempunyai perbezaan pada bau dan rasa. Untuk kenalpasti, bau dan rasa susu ibu yang baru diperah. Ini memudahkan untuk mengetahui bau dan rasa susu. Tak perlulah bau dan rasa setiap kali perah. Bau dan rasa susu ibu mungkin boleh berubah bergantung kepada beberapa keadaan. Ia mungkin berubah mengikut pemakanan ibu, ubat yang diambil, cara simpanan dan tempat simpanan.
Warna susu ibu juga akan berbeza. Susu ibu boleh berwarna putih, keputih-putihan, kebiruan atau kekuningan. Jika ada seperti merah cair, ia mungkin tanda darah. Ia boleh jadi tanda puting luka dan berdarah.
Susu ibu mengandungi lemak dan air. Jika dibiarkan, ia akan terbahagi kepada dua lapisan. Lapisan lemak akan berada di atas dan lapisan berair berada di bawah. Ini bukan tanda susu telah rosak.
3 Tanda susu ibu rosak
1. Bau susu
Untuk kenalpasti susu rosak atau telah basi, bau susu berkenaan. Jika bau berlainan, bau tidak menyenangkan, bau masam atau tidak seperti bau biasa, itu tanda susu telah rosak. Namun bau susu ini mungkin telah dipengaruhi oleh makanan ibu.
2. Rasa susu
Mungkin susu tidak berbau ketika rosak. Periksa dengan merasa susu itu. Jika rasa masam buang susu walaupun bau tiada perubahan.
3. Lapisan tidak bercampur apabila digoncang
Perahan susu ibu yang disimpan akan membentuk dua lapisan, iaitu lapisan air dan lemak. Apabila lapisan ini tidak larut dan bercampur selepas digoncang, itu tandanya susu telah rosak. Susu yang elok akan bercampur lapisan air dan lemak ini apabila digoncang.
Kesan bagi susu rosak pada bayi
Sistem penghadaman bayi masih lemah. Disebabkan ini, bayi sering menghadapi masalah apabila menyusu susu formula. Keadaan ini jarang berlaku dengan penyusuan susu ibu. Ia hanya berlaku jika ibu makan makanan yang menyebabkan alahan kepada bayi. Jadi pemberian susu rosak akan memberi kesan kepada bayi.
Susu rosak yang diberikan kepada bayi boleh mendatangkan mudarat kepada bayi. Bayi yang diberi susu basi boleh menyebabkan keracunan makanan kepada bayi. Bayi akan alami cirit birit dan muntah. Keadaan ini sama seperti orang dewasa.
Selain itu, ia menyebabkan bayi kembung perut, sakit perut dan kekejangan. Bayi akan alami masalah penghadaman. Disebabkan badan bayi masih belum kuat, ia merbahaya kepada bayi terutama bayi yang hadapi masalah kesihatan atau lahir pramtang. Dapatkan rawatan dengan segera.