Bagaimana ingin tahu tanda bersalin? Adakah itu tanda palsu atau perlu segera ke hospital?
Proses kelahiran berlaku dalam tiga peringkat. Mereka yang bersalin normal, peringkat pertama bermula sebelum ke hospital. Ada yang tidak sedar sedang melalui permulaan peringkat pertama. Semasa ini berlakunya bukaan serviks dua ke tiga sentimeter. Namun selepas beberapa ketika akan mula rasa tidak selesa, atau mula mendapat tanda bersalin.
Isi Kandungan
Apakah 3 tanda bersalin?
Apabila telah sampai waktunya, anda akan mendapat tanda-tanda bersalin. Tanda-tanda bersalin itu samada berlaku kontraksi, turun darah dan keluar air ketuban. Sebelum mendapat tanda sebenar, anda sudah mula alami Braxton Hick, iaitu tanda kontraksi palsu. Kontraksi palsu terjadi apabila kontraksi terasa semakin kerap tetapi tidak tetap. Kontraksi sebenar akan berlaku secara tetap. Lendiran daripada vaginal semakin meningkat dan perasaan keibuan anda dapat merasai perlu membuat persiapan dan rasa saat kelahiran bayi yang ditunggu semakin hampir.
Kontraksi
Kontraksi adalah jangka masa antara otot-otot rahim tegang dan kembali tenang. Otot-otot rahim adalah otot yang paling besar dalam badan wanita. Agak sukar untuk tentukan bila kontraksi sebenar akan berlaku. Tanda kontraksi seperti alami kejang atau tegangan atau sakit di belakang yang dibawa ke hadapan. Perut mengeras, jika ditekan perut terasa keras. Tujuan kontraksi ini adalah untuk mengeluarkan bayi dengan cara bahagian atas rahim menegang dan menebal sementara serviks dan bahagian bawah rahim meregang dan menjadi lembut untuk bukaan sepenuhnya.
Apabila bukaan serviks mula terbuka adalah tiga ke empat cm mungkin akan mula merasai kontraksi. Ketika ini kontraksi mungkin setiap setengah jam. Jarak kontraksi akan semakin singkat, setiap dua puluh minit, kemudian berubah setiap sepuluh minit. Sela akan menjadi semakin singkat. Apabila berlaku setiap seminit, ia telah masuk ke peringkat kedua, iaitu saat kelahiran bayi.
Tempoh bukaan serviks berbeza mengikut individu. Tempoh peringkat pertama iaitu bukaan serviks sepenuhnya bagi mereka yang bersalin kali pertama, berlaku dalam 8 ke 14 jam. Ada yang mengambil masa sehingga 24 jam. Namun ada juga berlaku edngan cepat dalam tempoh 2 ke 3 jam. Tempoh ini biasanya akan menjadi semakin singkat untuk kelahiran anak yang berikutnya.
Kontraksi berlaku dalam sela waktu yang memberi masa untuk ibu dan bayi berehat. Untuk mengira sela waktunya, kontraksi dikira bermula saat datang rasa tegang dan perut mengeras, kemudian tenang dan kemudian datang semula kesakitan. Sela datang semula kesakitan ini adalah jangka untuk kiraan sela berlaku kontraksi. Kontraksi yang berlaku semakin kerap menunjukan tanda akan bersalin. Jika tanda itu hilang, itu hanya tanda palsu.
Tanda kemungkinan kontraksi yang betul.
- Kontraksi berlaku dalam sela masa yang tetap kemudian semakin kerap. Permulaannya berlaku setiap 30 minit. Lama-kelamaan semakin singkat berlaku setiap 20 minit dan kemudian semakin singkat sehingga berlaku setiap 1 minit.
- Kontraksi terasa semakin kuat dan semakin lama. Apabila berlaku terasa sukar untuk bercakap atau berjalan
- Berehat dan berbaring masih terasa sakit. Kontraksi palsu akan hilang apabila berehat.
- Rasa sakit di belakang dan di depan. Kontraksi palsu hanya sakit di bahagian depan. Sakit ini tidak hilang apabila bergerak atau ubah kedudukan.
Turun darah
Tanda bersalin seterusnya adalah turun darah. Anda mungkin menyedari terdapat darah yang keluar melalui faraj. Darah ini pekat, berwarna cokelat, merah jambu atau warna merah darah. Darah ini bertindak menutup saluran serviks selama bayi berada dalam kandungan. Ia menghalang bakteria daripada masuk ke rahim. Apabila pintu rahim mula terbuka, ia menyebabkan darah ini pecah dan keluar.
Darah ini mungkin keluar sedikit-sedikit atau mungkin akan semakin bertambah. Darah ini mungkin juga telah mula keluar dua ke tiga minggu sebelum masa untuk bersalin sebenar. Ada juga hanya mengalami beberapa jam sebelum bersalin. Darah ini juga mungkin keluar jika selepas melalui pemeriksaan vaginal atau persetubuhan.
Air ketuban
Ketika hamil, rahim mengandungi cecair amniotik untuk melindungi bayi yang dikandung. Biasanya air ketuban ini sebanyak 800 ml. Apabila air ketuban ini keluar dan pecah, ini merupakan tanda bersalin. Jika air ketuban pecah sebelum minggu ke 37 kehamilan, ini mungkin tanda bersalin awal dan tidak cukup bulan.
Air ketuban yang keluar berbeza mengikut individu. Pastikan juga itu bukan air kencing, kerana di akhir kehamilan adakala mengalami kebocoran air kencing atau lendiran daripada faraj. Apabila air ketuban pecah, anda akan rasa air keluar dengan banyak dan berterusan serta tidak boleh dikawal. Ada ibu yang merasa seperti ‘pop’ sebelum air ketuban pecah.
Apabila air ketuban telah pecah, sedikit atau banyak, ia membuka ruang kepada kuman dan infeksi. Semakin panjang jangka masa air ketuban telah pecah, semakin berisiko bayi mendapat jangkitan.
Apabila air ketuban pecah, pakai pad untuk pelindungan. Jika air ketuban keluar terlalu banyak gunakan tuala tangan. Ini memudahkan untuk ke hospital. Mungkin juga perlu alas kenderaan anda. Pemakaian pad juga memudahkan anda melihat warna air ketuban. Warna air ketuban adalah jernih kekuningan. Mungkin juga terdapat sedikit darah.
Naluri keibuan
Mungkin ada ibu yang tiba-tiba rasa perlu melakukan persediaan kelahiran bayi. Anda mungkin secara tiba-tiba rasa hendak berkemas, membersihkan rumah seolah sebagai penyediaan bayi akan lahir. Naluri ini mungkin menjadi tanda anda bakal bersalin tidak lama lagi. Namun naluri ini tidak semestinya betul. Kadang-kadang hanya perasaan sendiri yang teruja nak sambut bayi.
Dalam keterujaan berkemas, jangan lakukan keterlaluan. Simpan tenaga, mana tahu anda benar-benar akan bersalin.
Pengalaman Penulis
Tanda bersalin saya berbeza-beza. Semasa anak sulung saya hamil anak kembar. Sejak minggu ke tiga puluh tiga saya telah mengalami kontraksi. Ketika ini saya perlu ambil pil menahan kontraksi bagi mengelak bersalin tidak cukup bulan. Selang beberapa minit akan rasa perut mengeras. Kemudian perut lembut semula. Pada mulanya tidak mengetahui itulah kontraksi untuk bersalin. Bila cukup tiga puluh tujuh minggu, air ketuban dipecahkan dan saya bersalin secara normal.
Ketika bersalin anak ketiga, saya alami kontraksi diikuti turun darah. Saya sudah merasai kontraksi setiap lima minit. Kemudian diikuti dengan turun darah. Darah keluar dengan banyak.
Semasa bersalin keempat, saya membuat temujanji dan merancang untuk bersalin secara induce. Ketika pemeriksaan, bukaan sudah empat cm tetapi tidak rasa kesakitan. Saya terus dibawa ke bilik bersalin. Mula terasa sakit kontraksi bila air ketuban dipecahkan.
Pengalaman anak terakhir, saya mengalami angin dan terasa pedih hulu hati. Kebetulan beberapa minggu sebelum itu, saya mengalami pedih ulu hati. Untuk menghilang pedih ulu hati, saya mengambil pil. Namun selepas mengambilnya, masih tidak hilang juga. Selang beberapa jam saya rasa mungkin ini masa untuk saya ke hospital. Dalam perjalanan saya baru saya sedari kontraksi berlaku setiap sepuluh minit.
Setiap anak, tanda mungkin berbeza. Anda sebagai ibu, perasaan keibuan akan mengetahui bila tiba masanya.