Ibu akan terkejut apabila rambut gugur selepas bersalin dengan keterlaluan. Keguguran rambut yang berlaku selepas bersalin adalah perkara normal. Usah risau. Jum baca apa yang berlaku.
Isi Kandungan
Perrtumbuhan rambut normal
Dalam keadaan biasa rambut akan gugur ketika disikat atau dicuci. Secara purata rambut gugur lima puluh ke seratus helai sehari. Rambut gugur ini akan diganti dengan rambut baru. Jumlah rambut normal adalah sebanyak 80,000 sehingga 120,000 helai rambut.
Terdapat sekitar 100,000 folikel rambut di kulit kepala. Setiap folikel terdapat akar rambut. Sel ini diperbuat daripada protein. Daripada sel protein inilah terbentuk rambut. Rambut akan memanjang sehingga satu tempoh ia akan mati. Rambut yang tumbuh di bawahnya akan menolak rambut mati, menyebabkan rambut itu gugur.
Tiga fasa pertumbuhan rambut.
- Fasa pertumbuhan (Anagen) – 2 ke 6 tahun. Ketika fasa ini 85% ke 90% rambut akan tumbuh dan memanjang.
- Fasa segenerasi separa (Catagen) – bermula selepas fasa pertumbuhan. Folikel rambut mengalami regresi dan kehilangan kira-kira satu perenam daripada diameter asal. Ia berakhir sehingga 10 -14 hari
- Fasa rehat (Telogen) – berakhir sehingga 2 – 3 bulan. Rambut akan gugur, dalam lingkungan 10% ke 15% rambut.
Faktor pertumbuhan rambut
Pertumbuhan rambut dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti di bawah.
- Genetik – genetik seseorang itu menentukan jenis rambut dan berapa cepat rambut dapat tumbuh.
- Jantina – rambut lelaki lebih cepat tumbuh berbanding dengan rambut perempuan
- Umur- antara umur 15 ke 30 tahun, rambut tumbuh dengan cepat sebelum tumbuh dengan perlahan. Pada tahap umur tertentu folikel sudah tidak berfungsi dan menyebabkan rambut menipis dan berkurangan.
- Nutrisi – kekurangan nutrisi mengakibatkan rambut kurang khasiat dan menjadi tidak sihat
Kenapa berlaku rambut gugur selepas bersalin?
Selepas memahami proses pertumbuhan rambut, jadi apa yang terjadi kepada rambut semasa hamil dan selepas bersalin. Kehamilan menyebabkan rambut berada dalam fasa pertumbuhan (anagen) yang lebih lama dan kurang dalam fasa berehat (telogen). Ini kerana hormon estrogen ibu yang sedang hamil meningkat dan memanjangkan tempoh rambut memanjang. Jadi ketika hamil rambut akan menjadi lebih lebat dari biasa.
Selepas bersalin, berlaku perubahan kepada hormon estrogen. Hormon akan mula menurun kembali ke asal seperti sebelum hamil. Apabila berlaku perubahan ini, rambut yang telah lama berasa di fasa pertumbuhan iaitu anagen akan ke fasa rehat iaitu telogen. Jika dalam keadaan normal, ia telah pun berada di fasa rehat lebih awal. Ini menyebabkan rambut gugur selepas bersalin dengan lebih banyak. Ini adalah keguguran yang normal bagi ibu selepas bersalin. Keguguran yang keterlaluan ini akan berhenti selepas tempoh enam bulan. Rambut akan kembali tumbuh seperti biasa dalam masa enam ke dua belas bulan selepas bersalin.
Namun tidak semua alami rambut gugur selepas bersalin. Ada segelintir ibu tidak mengalami sebarang perubahan.
Apa perlu dibuat ketika rambut gugur?
Anda tidak mampu elak rambut gugur selepas bersalin. Ketika tempoh ini rambut tetap gugur. Apa yang boleh dilakukan?
- Potong rambut pendek. Ini turut memudahkan penjagaan rambut, terutama dengan kehadiran bayi baru.
- Jangan sikat ketika rambut masih basah dan gosok kulit kepala dengan kuat semasa bersyampu. Ini menyebabkan rambut lebih mudah gugur kerana ketika ini akar rambut lembut.
Syampu dan perapi sering digunakan untuk mencuci rambut dan memberi kesan kepada pertumbuhan rambut. Cara penggunaan yang betul membantu rambut tumbuh dengan lebih baik
- Pengunaan syampu anti keguguran atau herba yang melebatkan rambut mampu membantu mempercepatkan rambut tumbuh semula.
- Guna syampu ‘volumizing. Syampu jenis mengandungi bahan seperti protein yang melapisi rambut, menjadikan rambut kelihatan lebih tebal.
- Gunakan perapi untuk rambut halus. Ia mengandungi formula yang lebih ringan yang tidak akan membebankan rambut.
- Elakkan jenis syampu berperapi. Syampu ini mengandungi perapi yang membebankan rambut dan menjadikannya lembut
- Elakkan “perapi intensif.” Perapi ini berat dan membebankan rambut
Cara rawatan rambut gugur
Terdapat petua rambut lebat dan kembali sihat yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Petua ini mudah dilakukan dan kos adalah rendah. Lakukan dua ke tiga bulan sehingga mula nampak hasil. Ia terbukti berkesan jika dilakukan dengan berdisplin. Tidak perlu beli produk-produk yang mahal atau melakukan rawatan di spa. Hasilnya mungkin mengambil masa berbanding produk atau rawatan di spa. Bahan-bahan semulajadi ini selamat digunakan dan tidak risau kesan-kesan sampingan.
Petua mengalakkan pertumbuhan rambut
- Petua 1 – Sapu minyak kelapa di kulit kepala dan rambut. Biarkan selama 30 minit. Pukul sebiji telur dan lumurkan ke kulit kepala dan rambut. Balut dengan tuala dan biar selama 20 minit. Selepas itu syampu untuk membersihkannya. Lakukan dua ke tiga kali seminggu.
- Petua 2 – Kelemumur juga boleh menyebabkan keguguran. Ia menutup folikel rambut yang menyebabkan ia tersumbat. Oleh kerana itu, hilangkan terlebih dahulu kelemumur yang menutupi folikel rambut. Gunakan limau nipis untuk menghilangkan kelemumur selama dua minggu. Gosok limau nipis ke kulit kepala dengan lembut. Selepas kelemumur hilang, gunakan santan kelapa untuk menyuburkan rambut. Santan perlu dilumurkan ke kulit kepala dan keseluruhan rambut. Balut rambut dengan tuala dan biar setengah jam. Biarkan ia berminyak dan meresap. Kemudian bilas dan syampu.
- Petua 3 – Ambil beberapa helai daun bunga raya dan lidah buaya. Basuh kemudian kisar daun bunga raya dan lidah buaya sehingga hancur. Lumur atas kulit kepala dan rambut. Biarkan selama sejam. Lakukan dua kali seminggu.
- Petua 4 – Guna kacang hijau. Kacang hijau direndam semalaman. Tapis dan ambil airnya, sapu atas kulit kepala sambil urut secara perlahan-lahan.
Petua rambut lebat di atas boleh diamalkan salah satu atau beberapa petua sehingga nampak kesannya. Teruskan amal petua ini berterusan untuk menjaga kesihatan rambut. Rambut akan kekal cantik dan hitam, lewat menjadi uban.
Proses rambut gugur selepas bersalin adalah normal. Jangan terlalu stres memikirkannya. Jika stres ia hanya memburukkan keadaan lagi.
Peningkatan umur akan menyebabkan rambut gugur mengambil masa lebih lama untuk tumbuh. Semasa bersalin di usia lebih muda, rambut lebih mudah tumbuh semula. Berbeza ketika semakin berusia kerana ketika ini faktor usia menyebabkan rambut tumbuh dengan pelahan dan folikel kurang berfungsi. Jadi selari dengan peningkatan umur, keadaan pertumbuhan rambut tidak lagi sama. Ibu akan mengadu rambut tidak kembali tumbuh seperti asalnya.
Adakah boleh jadi botak?
Rambut gugur selepas bersalin tidak akan menyebabkan rambut botak. Rambut akan tumbuh dan lebat semula. Namun jika rambut tidak tumbuh dan menjadi botak, ia mungkin tanda-tanda penyakit lain tidak berkaitan dengan keadaan ibu selepas bersalin.
Penyakit Alopecia Areata iaitu rambut gugur sehingga menyebabkan botak, adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh sistem imun badan. Ia menyerang folikel badan dan menyebabkan keguguran rambut. Ia juga menyebabkan keguguran kepada bulu mata dan bulu kening. Dapatkan rawatan untuk memulihkannya.
Selain itu, botak juga mungkin disebabkan masalah genetik. Jika mempunyai keturunan yang menghadapi masalah keguguran rambut sehingga botak, anda juga mungkin mengalaminya.