Puasa ibu menyusu anak | Ibu yang menyusu anak memerlukan makanan dan minuman yang mencukupi untuk memastikan bekalan susu cukup untuk bayi. Apabila berpuasa, makanan dan minuman berkurangan. Cukupkah susu untuk bayi?
Isi Kandungan
Puasa Ibu Menyusu Bayi di bulan Ramadan
Puasa ibu menyusu mungkin lebih mudah berbanding puasa ketika mengandung bagi sesetengah ibu. Namun ia tetap memenatkan dan memberi kesan kepada ibu dan bayi. Dalam keadaan perlu memberi susu dan menjaga bayi, ditambah pula jika mempunyai anak-anak lain yang masih kecil.
Ramai ibu yang mampu berpuasa ketika menyusu anak. Berpuasa tidak mengurangkan susu ibu. Namun ada ibu alami susu semakin berkurangan menghampiri petang atau rasa kepenatan. Di dalam Islam dibenarkan berbuka puasa jika ibu menghadapi masalah kepada dirinya dan anak yang disusuinya. Ia adalah keringanan kepada ibu menyusu yang diberikan dalam Islam.
Jika perlu berbuka, ada cara berbuka puasa. Ibu boleh berpuasa seperti biasa, tetapi apabila terasa tidak mampu berpuasa atau bayi ada masalah, baru berbuka puasa. Tidak dibenarkan tidak berpuasa dengan sengaja melainkan atas nasihat doktor.
4 Tip ketika puasa ibu menyusu
1. Tip pemakanan ibu menyusu
Pemakanan ibu menyusu adalah yang paling utama perlu dijaga. Pemakanan ibu ketika berpuasa memastikan khasiat susu ibu dapat terus diberikan kepada bayi. Ia juga penting untuk memastikan kesihatan ibu berada dalam keadaan baik.
Waktu bersahur dan berbuka waktu penting untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Ibu perlu displin makan makanan yang diperlukan badan terutama ketika berbuka. Ketika ini pelbagai juadah berbuka nampak sangat menyelerakan dan semua ingin dimakan.
Displinkan diri mengambil makanan mengikut keperluan. Makanan hendaklah seimbang iaitu mengandungi karbohidrat, protein, vitamin dan mineral yang seimbang untuk badan. Amal peraturan pemakanan suku, suku, separuh iaitu suku dari sumber karbohidrat, suku dari sumber protein dan separuh dari sumber sayur-sayuran dan buah-buahan.
Elak ambil makanan manis. Jika ambil makanan manis berlebihan, cepat rasa kenyang tetapi kurang berkhasiat dan tidak memenuhi keperluan badan. Ia juga meningkatkan gula dalam darah. Mula-mula rasa bertenaga namun kemudian jadi terlalu penat apabila gula dalam darah menurun.
Elak makan terlalu banyak ketika berbuka. Selepas berbuka ambil snek atau makanan ringan sepanjang malam sebelum tidur. Pastikan bangun ketika bersahur dan makan. Jika kurang berselera sediakan hidangan yang ringkas tetapi penuh berkhasiat.
Jika berat ibu kurang, sebelum masuk bulan puasa, boleh membuat persediaan dengan mengambil lebih makanan untuk tambahan lemak dalam badan menghadapi puasa.
2. Minuman
Seterusnya mengenai minuman. Minum air mencukupi sepanjang malam lebih kurang 2 ke 3 liter air. Elak minum sebanyak mungkin ketika berbuka. Jika minum terlalu banyak, hanya menyebabkan kerap kencing dan lebih menyusahkan. Mungin menyebabkan rasa lebih haus.
Minum sedikit demi sedikit dalam sela waktu dari berbuka sehingga waktu tidur. Dan minum 1 ke 2 cawan air di waktu sahur. Jika berjaga malam menyusu bayi, boleh juga minum air ketika ini. Letakan botol air disebelah katil agar mudah diminum apabila terjaga.
Elakkan minuman manis ketika berbuka. Apa-apa yang manis tidak memberi faedah. Kurangkan minuman dan makanan manis. Jika boleh elak lebih baik.
3. Kekerapan menyusu
Teruskan penyusuan seperti biasa. Apabila susu diberikan kepada bayi dan dikosongkan, ia akan menghasilkan semula susu. Usah risau jika kerap menyusu, susu akan berkurangan. Tekanan emosi hanya mengurangkan bekalan susu.
4. Suplemen
Boleh dapatkan suplemen untuk memberi tenaga kepada ibu semasa berpuasa. Dapatkan nasihat pakar suplemen apa yang sesuai. Jika tidak yakin jangan cuba tip-tip atau cara-cara yang tidak pasti. Ada tip sesuai dengan seseorang dan mungkin tidak sesuai dengan orang lain.
Tanda-tanda ibu menyusu tidak boleh terus puasa
- Ibu alami pening, sakit kepala, demam atau muntah
- Ibu rasa penat dan keletihan. Cuba berehat dan jika masih sama ia tanda tidak mampu berpuasa lagi.
- Kurang kencing, warna air kencing gelap dan berbau
- Ibu rasa menggeletar dan berpeluh. Ini tanda gula dalam darah berkurangan.
Hukum berbuka puasa ibu menyusu anak
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT memberi keringanan kepada orang yang musafir dengan separuh solat, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya.
Riwayat al-Tirmizi (715)
Dalam Islam Allah memberi keringanan kepada ibu hamil dan ibu menyusu anak untuk tidak berpuasa jika merasa puasa akan memudaratkan ibu atau bayi. Terdapat 2 hukum jika ibu berbuka puasa ketika menyusu anak.
- Jika ibu berbuka puasa kerana risau kesihatan dirinya, ibu boleh berbuka dan wajib bagi ibu itu untuk ganti puasanya sahaja sebelum bulan Ramadan yang akan datang. Tidak perlu bayar fidyah.
- Jika ibu berbuka kerana risau kesihatan anaknya dan takut bayinya tidak cukup susu dan membahayakan anaknya, ibu boleh berbuka puasa. Untuk keadaan ini, wajib ibu itu ganti puasanya dan dikenakan fidyah iaitu bersedekah satu cupak dari makanan asasi mengikut berapa hari dia berbuka puasa
Samada ingin berpuasa atau tidak, ibu yang menyusu anak boleh menilai dirinya sendiri. Setiap orang tidak sama keadaannya. Ada ibu kekal bertenaga dan bekalan susu mencukupi untuk bayi. Ada pula bermasalah dan jika terus berpuasa memudaratkan dirinya dan bayi. Usah banding-bandingkan dan risau apa orang kata. Nilai kemampuan diri sendiri.