Di bulan Ramadan, bagaimana puasa ibu mengandung? Bolehkah berpuasa? Jika tidak larat, bolehkah berbuka puasa dan bagaimana caranya?
Isi Kandungan
Puasa ibu mengandung
Di bulan Ramadan ibu mengandung menghadapi dilema samada ingin berpuasa atau tidak. Ramai ibu mengandung memilih untuk berpuasa dan tidak menghadapi masalah. Walau bagaimanapun jika ibu menghadapi masalah untuk berpuasa, dia dibolehkan berbuka puasa.
Bagaimana ingin mengetahui samada mampu untuk berpuasa atau tidak?
Ia bergantung kepada keadaan ibu dan faktor luaran yang dihadapi. Jika tiada masalah kesihatan, boleh berpuasa seperti biasa. Ibu yang ada masalah kesihatan dan dinasihatkan doktor untuk tidak berpuasa hendaklah mengikut nasihat doktor.
Kebiasaannya, semasa mengandung di trimester pertama, ibu akan mengalami alahan yang teruk. Dalam keadaan sedia ada yang sudah kurang sihat dan tidak cukup makan minum, jika berpuasa boleh memudaratkan ibu dan bayi dalam kandungan.
Ibu yang mengidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi sepanjang mengandung, akan dinasihatkan oleh doktor agar tidak berpuasa. Begitu juga ketika berpuasa di suasana yang kurang sesuai. Ada negara waktu siangnya lama sehingga perlu berpuasa lebih 18 jam sehingga 22 jam dengan cuaca yang panas. Dalam keadaan terlalu panas ibu alami dehidrasi. Ia akan memudaratkan kesihatan ibu dan janin yang dikandung.
Persediaan berpuasa
Sekiranya ingin berpuasa, rancang bagaimana untuk berpuasa di bulan Ramadan. Sebelum masuk bulan Ramadan, dapatkan nasihat daripada doktor. Kebiasaannya jika tiada masalah, doktor benarkan untuk berpuasa. Sebaliknya ibu yang menghadapi masalah kesihatan tetapi masih ingin berpuasa dan perlu menjalani pantauan dan pemeriksaan rapi sepanjang bulan puasa. Sekiranya timbul masalah ibu perlu segera berbuka puasa.
Dapatkan maklumat pemakanan yang seimbang, makanan lengkap mengandungi karbohiderat, protein, vitamin dan mineral diambil semasa bersahur dan berbuka puasa. Jangan sesekali tidak bersahur. Pilih makanan yang dapat mengekalkan tenaga lebih lama seperti buah kurma, bijirin dan sumber protein tanpa lemak. Kurma dan bijirin juga bagus untuk elak sembelit semasa berpuasa.
Elak minuman dan makanan manis. Apabila ambil manis, kadar gula dalam darah naik mendadak dan cepat pula turun. Mula-mula badan rasa bertenaga, namun apabila paras gula mula turun, terasa penat dan mungkin alami pening.
Sepanjang malam, minum air mengikut jangka waktu tertentu. Jangan minum air secara banyak serentak. Ia hanya menyebabkan lebih kerap untuk kencing. Ambil snek atau moreh untuk alas perut selepas berbuka. Jika ada ubat atau suplemen yang perlu diambil, pastikan di ambil semasa bersahur atau berbuka puasa.
Andai rasa tidak berdaya jangan paksa untuk melakukan kerja. Dapatkan rehat secukupnya jika terasa penat. Rancang kerja yang hendak dilakukan dengan mengatur waktu dan jenis kerja yang ingin dilakukan. Ini memberi ruang untuk berehat atau tidak melakukan kerja yang berat secara serentak.
Tenangkan diri, elak dari berlaku gangguan emosi. Semasa berpuasa, kurangkan berfikir berpuasa akan menyebabkan tumbesaran janin terganggu. Jika rasa ada perubahan atau tidak pasti, lakukan pemeriksaan ke atas janin.
Tanda-tanda untuk diperhatikan
Semasa berpuasa, perhatikan tanda-tanda dibawah. Ini adalah tanda-tanda ibu mengandung perlu buka puasa dan dapatkan makanan dan minuman.
- Berat badan yang semakin berkurang atau tidak mencukupi
- Kurang kerap kencing, air kencing berwarna pekat dan berbau.
- Alami sakit kepala, pening dan terlalu letih
- Rasa loya dan muntah
- Pergerakan bayi berkurangan
- Sakit seperti tanda-tanda bersalin
Jika mengalami tanda-tanda ini, lakukan pemeriksaan dan dapatkan nasihat doktor, ia mungkin memudaratkan untuk meneruskan puasa.
Hukum buka puasa ibu mengandung
“Sesungguhnya Allah SWT memberi keringanan kepada orang yang musafir dengan separuh solat, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya.“
Riwayat al-Tirmizi (715)
Dalam Islam, mengikut mazhab Imam Syafie, hukum buka puasa ibu mengandung atau ibu yang menyusu dibolehkan. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmizi dan Abu Daud, dari Anas Al Ka’bi r.a., telah berkata Rasulullah S.A.W :
Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengangkat puasa orang yang bermusafir (dibolehkan berbuka) dan telah mengurangkan solatnya (boleh digantikan solatnya itu), dan diangkat puasa(boleh berbuka) orang yang hamil dan menyusukan anaknya.
Terdapat 2 hukum berbuka bergantung kepada keadaan iaitu samada kerana bimbang kesihatan dirinya terjejas atau berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya. Ibu yang mengandung dan menyusukan anaknya, dibenarkan berbuka dengan menggantikan puasanya itu. Dalam keadaan ini, ibu hendaklah berpuasa dahulu secara biasa. Apabila tidak berdaya meneruskan baru berbuka puasa.
- Sekiranya ibu itu berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya dan takut kandungannya gugur jika dia berpuasa, maka wajib bagi ibu itu untuk berbuka dan ganti puasanya itu dan dikenakan fidyah iaitu bersedekah satu cupak dari makanan asasi bagi hari yang dia berbuka.
- Sekiranya ibu itu berbuka puasa kerana takut berlaku kemudaratan pada dirinya disebabkan puasanya itu, maka wajib bagi ibu itu untuk ganti puasanya sahaja sebelum bulan Ramadan yang akan datang. Maka ibu tidak perlu bayar fidyah.
Terdapat pelbagai pendapat mazhab lain, ada yang menyatakan cukup membayar fidyah tanpa menggantikannya. Namun kita di Malaysia mengamalkan mazhab Imam Syafie jadi masih perlu menggantikan puasa ibu mengandung dan ibu menyusu.