Peringkat kehamilan di bahagi kepada tiga trimester mengikut minggu kehamilan. Ia dibahagi mengikut setiap 12 minggu atau 3 bulan. Biasa apabila kita tanya ibu hamil kita akan sebut berapa bulan hamil. Ia lebih mudah untuk ditanya. Bagi tujuan pemeriksaan minggu adalah lebih sesuai kerana perkembangan bayi berbeza mengikut minggu.
Isi Kandungan
Peringkat kehamilan
Bayi akan berada dalam kandungan selama 38 minggu atau selama 9 bulan 10 hari. Namun tempoh kehamilan dikira selama 40 minggu.
Mengapa dikira selama 40 minggu, sedangkan bayi hanya 38 minggu di dalam kandungan ibu?
Tempoh kehamilan dikira bermula hari pertama haid terakhir seorang ibu. Pensenyawaan berlaku 2 minggu kemudian, iaitu selepas haid berakhir. Jadi walaupun dikira selama 40 minggu namun 2 minggu pertama bayi masih belum wujud.
Jangan terkejut bagi mereka yang bunting pelamin, baru berkahwin 2 minggu tetapi dikira 4 minggu hamil. Sebenarnya janin baru berusia 2 minggu. Sewaktu bersama, ia adalah pada waktu subur dan berlaku pensenyawaan. Haid terakhir berlaku 2 minggu lebih awal sebelum perkahwinan. Oleh kerana itu ia seolah berlaku sebelum perkahwinan kerana mengira tarikh haid yang dialami lebih awal.
Kehamilan dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu selama 3 bulan pada setiap peringkat. Peringkat ini dikenali sebagai trimester.
- trimester pertama kehamilan – peringkat awal
- trimester kedua kehamilan – peringkat pertengahan
- trimester ketiga kehamilan – peringkat akhir
Tempoh kehamilan boleh berbeza-beza di antara wanita. Bayi dianggap telah matang jika mereka dilahirkan antara 37-42 minggu. Jika lahir sebelum 37 minggu bayi dilahirkan pramatang. Jika selepas 42 minggu pula dipanggil post-maturity. Kedua-dua keadaan ini boleh menimbulkan komplikasi kepada bayi dan juga ibu.
Trimester pertama kehamilan
Tempoh trimester pertama adalah peringkat awal di mana bermulanya kehamilan. Ia mula dikira dari berlakunya persenyawaan sehingga minggu ke 12. Ketika ini berlaku tanda-tanda awal kehamilan. Ibu mungkin tidak sedar sedang hamil beberapa minggu pertama trimester ini. Jika anda mengalami tanda-tanda kehamilan, lakukan ujian kehamilan terutama walau tidak merancang untuk hamil. Lebih mudah mengambil langkah lanjut jika mengetahui lebih awal termasuk penjagaan kesihatan yang perlu diambil.
Apakah yang dialami ketika trimester pertama kehamilan
Apa yang dialami adalah berbeza-beza mengikut individu. Ada yang mungkin tidak mengalaminya.
- Morning sickness. Ramai yang alami rasa loya dan muntah serta hilang selera makan.
- Perubahan hormon boleh menyebabkan anda berasa murung atau mudah marah dan keletihan. Jika rasa sedih atau bimbang yang berlebihan, berbincang dengan doktor atau bidan anda. Ini mungkin tanda kemurungan antenatal.
- Payudara lebih besar dan berat serta menjadi lembut sebagai persediaan penyusuan.
- Berat mungkin meningkat 1 ke 2 kilogran kerana plasenta, payudara yang membesar dan bertambahan darah. Berat mungkin berkurang jika hilang selera makan.
- Kerap kencing. Ia kerana rahim mengembang dan menekan pundi kencing.
- Kadar degupan jantung dan pernafasan menjadi lebih laju dari biasa
Penjagaan kesihatan antenatal
Pemeriksaan kesihatan antenatal adalah pemeriksaan kehamilan yang dilakukan mengikut tempoh tertentu. Semasa trimester pertama pemeriksaan dilakukan 4 minggu ke 6 minggu sekali bergantung kepada kesihatan ibu. Pemeriksaan pertama adalah untuk mengesahkan kehamilan dilakukan oleh doktor atau bidan. Walau anda telah lakukan sendiri di rumah, ia mungkin tidak tepat.
Doktor akan lakukan imbasan ultrasound pada penghujung trimester pertama. Ia mungkin dilakukan lebih awal jika perlu. Tujuannya untuk menentukan saiz dan tarikh lahir bayi. Selain itu ia bertujuan untuk mengesan sebarang masalah pada bayi. Ia juga adalah untuk memeriksa samada berlaku kehamilan kembar atau tidak. Ia juga akan memeriksa beberapa keadaan kesihatan.
Kekal sihat adalah penting sepanjang kehamilan agar ibu kekal sihat dan perkembangan bayi berkembang dengan baik. Jika anda merokok, atau pasangan anda merokok, sebaiknya berhenti merokok.
Makan makanan yang berkhasiat, pelbagai dan seimbang. Peringkat awal ini mungkin hilang selera makan. Pastikan dapat cukup air dan cuba makan semampu boleh. Tidak berlaku bertambahan berat yang banyak dan ini tidak perlu dirisaukan. Hanya perlu tambahan nutrien tertentu dengan mendapatkan suplemen seperti asid folik.
Trimester kedua kehamilan
Tempoh trimester kedua bermula pada minggu ke 13 sehingga 26. Ini adalah tempoh pertengahan kehamilan. Ini juga masa yang sesuai jika anda ingin hadiri kelas antenatal bagi mereka yang bakal menyambut anak sulung. Ia berguna sebagai persediaan semasa dan selepas bersalin. Anda juga akan diajar mengenai penjagaan bayi.
Apakah yang dialami pada trimester kedua kehamilan
- Keadaan beransur pulih daripada kepenatan, mual dan morning sickness.
- Rahim membesar dan meregang. Mungkin akan rasa sedikit ketidakselesaan.
- Kulit di atas perut dan payudara akan meregang, yang boleh menyebabkan rasa gatal
- Berat bertambah kira 4 ke 6 kilogram
- Rambut menjadi lebih lebat dan cepat panjang
- Mungkin berlaku perubahan selera dan citarasa. Ada makanan yang menjadi kesukaan tidak disukai dan sebaliknya.
- Mengidam makanan
- Sukar untuk fokus apabila melakukan sesuatu kerja.
Penjagaan kesihatan antenatal
Pemeriksaan dilakukan setiap 4 hingga 6 minggu pada trimester kedua dan mungkin menjadi lebih kerap menjelang akhir kehamilan anda. Semasa trimester kedua ini pemeriksaan dibuat untuk memeriksa tekanan darah, berat badan dan air kencing. Ada ujian disyorkan seperti ujian darah dan ujian toleransi glukos. Ujian toleransi glukos untuk memeriksa samada berlaku diabetes semasa hamil.
Ultrasound disyorkan untuk memeriksa kedudukan plasenta, panjang serviks dan jumlah cecair amniotik. Selain itu melalui imbasan ini, pertumbuhan dan perkembang bayi dipantau. Ia akan dapat mengesan sebarang kelainan pada bayi.
Semasa ini keadaan morning sickness semakin berkurangan dan mula berselera untuk makan. Mungkin selera juga bertambah menyebabkan makan secara berlebihan. Adalah penting untuk mengawal makanan agar tidak timbul masalah berat badan dan masalah kesihatan seperti diabates.
Amal makanan yang berkhasiat dan kawal jumlah yang diambil. Jika ada yang mengganggap makan untuk dua orang, adakah bayi yang berat kurang 2 kilogram memerlukan makanan yang banyak. Sudah tentu tidak.
Senaman ringan biasanya selamat dilakukan ketika ini. Senaman yang boleh dilakukan adalah berjalan, berenang atau yoga. Elak senaman dan aktiviti berimpak tinggi yang berisiko tinggi menyebabkan jatuh atau kemalangan.
Trimester ketiga kehamilan
Ini adalah peringkat akhir kehamilan. Peringkat ini akan berakhir apabila bayi dilahirkan. Walaupun dinyatakan sehingga 40 minggu, kelahiran bayi adalah berbeza-beza. Persediaan barangan perlu dibuat apabila mula masuk ke trimester akhir ini. Jangan tunggu hingga saat akhir, mungkin tidak sempat membeli barangan terutama bagi anak sulung.
Apakah yang berlaku pada trimester ketiga kehamilan
- Rasa letih dan tidak selesa serta rasa terganggu dengan ketidakselesaan itu.
- Berlaku pertambahan berat badan 6 ke 12 kilogram. Mungkin ada yang lebih jika ibu makan berlebihan. Sebahagian besar daripada berat ini adalah daripada berat bayi, cecair amniotik, plasenta, payudara, darah dan rahim.
- Perasaan bimbang tentang kelahiran apabila ia semakin hampir.
- Sukar untuk tidur kerana tidak selesa.
- Bayi mungkin memberi tekanan pada paru-paru anda, menjadikannya lebih sukar untuk bernafas.
- Anda mungkin merasakan kontraksi Braxton Hicks iaitu kontraksi palsu. Perut rasa menegang dan kemudian kembali normal. Ia bukan tanda-tanda bersalin
- Kulit dan ligamen akan terus meregang untuk memberi ruang kepada bayi yang sedang membesar.
- Alami pedih ulu hati atau sesak nafas, apabila bayi semakin besar. Ia memberi lebih tekanan pada organ seperti paru-paru.
- Kerap kencing. Bayi mula menekan pundi kencung dan menyebabkan rasa ingin kencing.
- Badan mula membuat persedian untuk bersalin
Penjagaan kesihatan antenatal
Pemeriksaan kesihatan akan ditambah kekerapannya. Pemeriksaan dilakukan selang 2 minggu dan kemudian memasuki minggu ke 36 kekerapan menjadi seminggu sekali.
Pemeriksaan sama seperti trimester kedua iaitu memeriksa tekanan darah, berat badan dan air kencing. Begitu juga pemantauan bayi.
Anda akan ditanya jika terdapat tanda atau gejala seperti kontraksi kebocoran cecair atau pendarahan. Apabila memasuki minggu-minggu terakhir ini, doktor akan meminta anda memantau pergerakan bayi. Jika bayi kurang atau berhenti bergerak seperti biasa segera berjumpa doktor.
Adalah penting jaga pemakanan sepanjang kehamilan sehingga ke hujung. Pastikan diet anda pelbagai dan termasuk rangkaian buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta sumber protein, zat besi dan kalsium. Jangan lupa minum banyak air juga.
Bersenam selain bagus untuk kesihatan ia juga mampu memudahkan proses bersalin. Lakukan senaman yang selamat dan sesuai dengan keadaan ibu ketika ini. Semakin menghampiri tarikh kelahiran kerap lakukan senaman. Namun jangan lakukan secara berlebihan.
Kesimpulan
Sepanjang menempuh 3 trimester kehamilan ini keadaan mungkin berubah-ubah. Namun ada yang alami alahan sehingga ke hujung kehamilan. Apa yang penting jaga kesihatan fizikal dan mental.