Peranan ibu bapa dalam mendidik anak | Keadaaan zaman sekarang anak-anak yang terdedah dengan gajet dan dunia tanpa sempadan menggusarkan ibu bapa dalam mendidik anak-anak ke arah Islam. Dugaan dan cabaran lebih sukar berbanding dulu. Namun Islam telah meletakkan garis panduan dalam mendidik anak-anak. Ia bermula seawal pemilihan pasangan. Pasangan yang betul memudahkan perbincangan dan menentukan hala tuju keluarga.
Hidup berkeluarga akan ada pasang surutnya. Seiring dengan masa, sentiasa penuhkan dada dengan ilmu yang bermanfaat. Sebagai seorang ibu dan bapa, ilmu sentiasa dituntut selagi masih bernyawa. Ibu bapa menjadi contoh teladan terbaik untuk anak-anak.
Isi Kandungan
4 Kriteria pemilihan jodoh
“Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” (HR Bukhari dan Muslim)
Allah s.w.t telah menetapkan anak, ibu dan ayah mempunyai hak masing-masing. Hak anak dalam Islam bermula semenjak proses pemilihan jodoh ibu dan ayahnya. Peranan ibu bapa dalam mendidik anak bermula sebelum berkahwin. Pihak lelaki hendaklah selidik dahulu pasangan yang ingin dikahwininya. Dalam Islam mengariskan 4 panduan.
- Harta—kaya atau tidak
- Keturunan—asal keturunan yang baik-baik
- Kecantikan—rupa paras yang menawan
- Agama—amalan agamanya.
Dari keempat-empat diatas, Islam menyarankan keutamaan adalah kepada agamanya. Ini jelas menunjukan agama memainkan peranan yang paling utama dalam membentuk keluarga.
“Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi, dan kerosakan yang berpanjangan.” (HR At-Termidzi)
Melalui hadis ini, Rasululah saw memberi pilihan kepada wanita. Wanita juga mempunyai hak dalam memilih calon suami. Dia berhak untuk menolak jika tidak bersesuaian. Baginda juga berpesan kepada wali agar memilih calon suami untuk anaknya daripada kalangan mereka yang beragama dan berakhlak mulia.
Kisah pemuda dan sebiji epal
Kisah seorang lelaki yang soleh bernama Tsabit bin Ibrahim. Dia telah makan sebiji epal yang ditemui di tepi sungai. Tiba-tiba teringat dia belum minta izin daripada pemiliknya. Dia segera mencari pemilik epal. Akhirnya berjumpa dengan pemilik kebun epal. Dia minta dihalalkan epal yang telah dimakan. Namun pemilik kebun meletakkan syarat. Dia perlu berkerja dikebunnya.
Setelah sekian lama bekerja dia ditetapkan untuk berkahwin dengan anak pemilik kebun yang lumpuh, buta, pekak dan bisu. Demi untuk mendapatkan keredaan, dia bersetuju. Selepas berkahwin, dia terkejut kerana isteri tidak lumpuh, buta, pekak dan bisu.
Tsabit bertanya kepada isterinya, “Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta. Mengapa?”
“Benar kata ayahku, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah”, jawab isterinya
Tsabit bertanya lagi, “Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli. Mengapa?”
“Benar kata ayahku, kerana aku tidak pernah ingin mendengar berita dan cerita orang yang tidak mendapat redha Allah. Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan?” tanya isterinya lagi.
Kemudian isterinya berkata, “Aku dikatakan bisu kerana aku hanya mengunakan lidahku untuk menyebut asma Allah saja. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah pergi ke tempat yang boleh menimbulkan keraguan.
Disebabkan sifatnya dia yang ingin keredaan Allah s.w.t, dia dapat seorang isteri yang solehah. Mereka berdua mereka dikurniakan seorang anak soleh, di mana ilmunya memancarkan hikmah ke pelusuk dunia.
Itulah Al Imam Abu Hanifah An Nu’man bin Tsabit.
Peranan ibu bapa dalam mendidik anak
Tanggungjawab bapa
Seorang bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mendapat haknya. Selepas berkahwin, suami wajib menjaga kebajikan isteri dengan menjaga hak zahir dan batinnya. Hak batin ini termasuk melayan isteri dengan baik. Berlaku salah anggap apabila berkahwin isteri menjadi hak mutlaknya dan harus mendengar kata-katanya tanpa mengendahkan perasaan isteri. Sedangkan isteri adalah amanah Allah yang perlu dijaga.
Apabila isterinya hamil, suami bertanggungjawab memberi perhatian dan kasih sayang kepada isterinya. Ketika ini, emosi isteri mudah terganggu kesan perubahan hormon dan kesusahan yang dialami semasa hamil. Emosi yang terganggu akan memberi kesan kepada bayi yang dikandung. Suami usahakan menjaga perasaan isteri ketika hamil dan tidak mengeluarkan kata-kata yang menguris hati isteri.
Suami bertanggungjawab memastikan kesihatan isteri berada dalam keadaan baik. Pastikan isteri membuat pemeriksaan bulanan yang disarankan. Pemeriksaan ini penting untuk memantau keadaan bayi. Ambil tahu perkembangan janin dalam kandungan. Jika timbul masalah, doktor dapat ambil tindakan segera. Dengan penjagaan rapi kesihatan ibu yang baik memberi peluang bayi berkembang dengan sempurna di dalam kandungan.
Zaman sekarang ramai isteri yang berkerja untuk meringankan bebanan suami. Keadaan perlu bekerja semasa sedang hamil memenatkan isteri. Suami bantu ringankan tugasan isteri dengan melakukan kerja rumah dan tidak membebankan menuntut hak bersetubuh jika isteri kepenatan terutama ketika mabuk di trimester pertama.
Seterusnya sepanjang isteri mengandung, amalkan amalan membentuk anak soleh dan solehah. Mencari dan membaca ilmu keibubapaan. Biasanya hanya isteri yang usaha mencari ilmu keibupaan sebagai persediaan. Sedangkan tanggungjawab adalah terletak kepada bapa dalam mendidik anak-anak. Dengan ilmu pengetahuan, sebagai bapa dapat meletakkan apakah hala tuju rumahtangga yang ingin dibentuk.
Rezeki yang halal memainkan peranan penting membentuk anak yang soleh dan solehah. Makanan yang dimakan akan menjadi darah daging membentuk akhlak anak-anak. Jauhkan dari sumber yang meragukan apatah lagi yang haram.
Pemakanan ibu hamil yang seimbang dan berkhasiat penting untuk perkembangan janin dalam kandungan. Sediakan makanan yang berkhasiat sesuai dengan selera isteri. Kurangkan pengambilan makanan yang tidak berkhasiat.
Persiapan dari segi mental dan kewangan. Selepas kelahiran bayi, kehidupan akan berubah sepenuhnya. Perhatian tertumpu kepada bayi. Tidur malam terganggu dan kepenatan. Keseronokan mempunyai anak mungkin berubah menjadi tekanan jika tidak bersedia dan tiada sokongan. Selain itu, perbelanjaan akan bertambah seperti membayar kos bersalin, kos membeli barang bayi dan perbelanjaan untuk melakukan aqiqah dan sebagainya lagi. Rancang dan buat persiapan awal sejak awal kehamilan. Jika perlu membuat simpanan mula sejak awal.
Tanggungjawab ibu
Seorang ibu mempunyai tanggungjawabnya dalam mendidik anak. Sifat lemah lembut dan kasih sayang akan membentuk keluarga yang harmoni dan penuh ketenteraman dalam keluarga. Justeru tugas sebagai isteri terhadap suami perlu dijaga. Hargai dan sayangi suami. Dengar nasihat yang diberinya. Walau dalam keadaan yang sukar, jangan membebani suami diluar kemampuannya.
Semasa dalam kandungan ibu, si anak telah mula mendengar dan memberi reaksi terhadap ibu. Oleh itu tingkah laku ibu semasa hamil perlu dijaga. Sifat ini bakal menjadi ikutan anak. Jauhi daripada sifat terkeji seperti suka menghina, mengumpat, pemarah dan suka mengambil tahu hal-hal yang tidak perlu.
Jaga kesihatan dengan mendapatkan makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk ibu hamil. Pastikan mengambil makanan yang halal dan daripada sumber yang halal. Ambil makanan atau pil yang disarankan oleh doktor.
Bersama-sama suami belajar tentang ilmu terutama ilmu keibubapaan sebagai persedian menyambut anak. Amalkan amalan membentuk anak soleh dan solehah.
Cuba tanam dalam hati untuk memberi susu badan kepada anak. Semasa hamil, dapatkan maklumat . penyusuan susu badan. Susu badan adalah susu yang terbaik untuk bayi. Namun jika dapat menyusu, jangan rasa kecewa dan sedih.
Keluarga Sakinah, Mawaddah dan Rahmah
Tanggungjawab ibu dan bapa membentuk anak yang soleh ini bukanlah usaha mudah. Walau bagaimanapun, ianya boleh tercapai dengan usaha dan semangat jitu dalam membina keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah.
Apabila peranan ibu bapa dalam mendidik anak mengikut ajaran Islam digalas bersama, ini mewujudkan suasana harmoni dalam rumahtangga. Anak-anak mendapat kasih sayang dan membesar dengan peribadi dan akhlak yang terpuji.
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir.” (Ar-rum ayat 21)
Semoga serba sedikit tip peranan ibu bapa dalam mendidik anak semasa hamil ini membantu anda!