Ibu yang baru melahirkan anak terutama anak sulung kerap menghadapi masalah penyusuan susu ibu. Mereka tidak pasti adakah mereka telah melakukan penyusuan dengan betul atau tidak. Kenalpasti masalah dan cara untuk mengatasinya bagi memastikan bayi mendapat susu yang cukup.
Isi Kandungan
Teknik salah punca utama masalah penyusuan susu ibu
Punca utama berlaku masalah penyusuan susu ibu ini adalah daripada teknik yang salah ketika penyusuan. Bayi tidak memasukkan sepenuhnya puting termasuk bahagian aerola ke dalam mulut. Hanya diputing. Ia akan menyebabkan masalah puting luka. Berikut pemerhatian yang perlu dibuat semasa penyusuan untuk memastikan teknik adalah betul.
Maklumat penyusuan
Bagi menjayakan penyusuan susu ibu, teknik penyusuan yang betul adalah penting. Mungkin ada menyangka bayi dengan akan pandai menghisap susu tanpa perlu dibantu. Ia adalah naluri semulajadi seorang bayi akan mencari puting untuk menyusu apabila lapar. Namun bayi tidak tahu jika dia tersalah cara menyusu.
Bakal ibu yang berhasrat menyusu bayi dengan susu ibu, dapatkan maklumat penyusuan semasa masih hamil. Walau ketika ini hanya belajar secara teori, serba sedikit memberi pencerahan isu dan teknik penyusuan. Tidak terkial-kial hendak mencari maklumat ketika menyusu bayi. Ia memudahkan proses penyusuan berjalan lancar.
Hospital kerajaan di Malaysia merupakan hospital rakan bayi yang mengalakkan penyusuan susu ibu, jadi maklumat mudah diperolehi di hospital-hospital ini. Pihak hospital dapat menyampaikan maklumat yang betul dan tepat buat bakal ibu.
Selain hospital kerajaan, terdapat juga hospital swasta yang menjadi hospital rakan bayi yang dapat membantu. Di samping itu, terdapat kursus-kursus ante-natal yang turut mengajar tentang penyusuan susu ibu.
Selepas bersalin, mulakan penyusuan susu ibu secepat mungkin. Ketika masih di hospital jika tidak pasti atau timbul masalah, jangan malu untuk bertanya dengan jururawat terlatih. Kebiasaanya jururawat di wad bersalin telah dilatih mengenainya dan dapat mengajar cara yang betul menyusu. Ibu-ibu baru ini akan mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan.
Teknik penyusuan yang betul
Berikut adalah langkah-langkah penyusuan yang betul.
- Perhatikan cara bayi menyusu. Mulut bayi sepatutnya terbuka luas dan bibir melekup keluar
- Areola tidak kelihatan, berada di dalam mulut bayi
- Dagu bayi menyentuh payudara
- Pipi bayi kelihatan kembang dan bulat
- Bentuk payudara menjadi bulat dan penuh. Jika kelihatan memanjang ia menunjukkan penyusuan yang salah.
- Terdengar nada hisapan – hisap –telan-hisap-telan
Tiba-tiba susu badan kurang
Ibu telah berjaya menyusu bayi, namun tiba-tiba menghadapi masalah susu badan kurang. Masalah begini juga sering berlaku. Sebenarnya susu tidak berkurang atau mengering. Ini kerana bayi semakin membesar jadi selera bayi bertambah. Bayi memerlukan susu yang lebih dari biasa.
Kuantiti susu yang dikeluarkan masih sama, namun bayi menyusu lebih banyak menyebabkan susu telah dikosongkan dan tidak mencukupi. Teruskan penyusuan, dalam masa beberapa hari susu akan bertambah mengikut kehendak bayi. Semasa ini, usah risau bayi tidak cukup susu. Bayi mungkin menangis tidak puas menyusu. Ibu perlu bertenang dan cuba pujuk bayi. Bayi masih cukup susu untuk beberapa hari sebelum susu bertambah.
Selain itu, kurang kerap menyusu akan mengurangkan pengeluaran susu. Bayi tidur dalam jangka masa lama atau tidak kerap menyusu, menyebabkan proses penghasilan susu berkurang mengikut permintaan. Hormon oksitosin adalah hormon yang mengawal pengeluaran susu ibu. Ia berfungsi mengeluarkan susu apabila bayi menghisap susu. Ia adalah tindakan refleks yang berlaku setiap kali bayi menyusu. Apabila bayi tidak menyusu, tindakan refleks ini tidak terjadi. Ini menyebabkan susu semakin berkurangan.
Di samping itu, payudara tidak dikosongkan semasa penyusuan. Ia boleh mengurangkan pengeluaran susu. Petunjuknya, payudara tidak lembut selepas menyusu kerana susu masih ada susu di dalamnya.
Cara-cara tambah susu badan
- Paling utama ibu haruslah bertenang dan meneruskan penyusuan. Pujuk bayi jika perlu sebelum susu bertambah.
- Jangan tambah susu formula, ini akan mengurangkan pengeluaran susu.
- Cara tambah susu badan adalah dengan menambah kekerapan menyusu. Kekerapan menyusu akan menambah bekalan susu.
- Susukan sebelah payudara sehingga payudara terasa lembut kemudian baru ditukar ke payudara sebelah.
Ubatan atau herba yang mengurangkan susu ibu
Terdapat ubat atau herba yang menambah susu dan ada yang menyebabkan susu berkurangan. Berhati-hati dengan ubatan terutama untuk ubat bagi masalah alahan dan selsema. Dapatkan maklumat lanjut ubat berkenaan. Jika tidak sesuai minta tukar ubat lain. Begitu juga herba yang diambil ketika dalam pantang, ada yang menyebabkan susu berkurang.
- Perhatikan apa yang diambil dan hentikan sementara untuk kesan sebarang perubahan. Sekiranya memberi kesan, perlu hentikan terus amalan itu.
Pil hormon
Selepas bersalin ibu mungkin mengambil pil perancang sebagai langkah pencegahan kehamilan. Sesetengah pil hormon yang diambil seperti estrogen, progesteron dan testosteron boleh mempengaruhi pengeluaran susu jika diambil dalam kadar yang tinggi atau diberikan pada waktu yang salah. Pil ini biasa digunakan untuk merancang keluarga.
- Dapatkan nasihat doktor tentang penggunaan pil ini jika menghadapi kekurangan susu. Berbincang dan minta tukar pil yang lebih sesuai dan tidak menggangu pengeluaran susu.
Hamil
Jika pengeluaran berkurangan secara misteri, terutama puting terasa tegang, kemungkinan anda hamil. Badan sedang melakukan persediaan untuk membawa bayi baru, berlaku perubahan pada hormon. Penyusuan bukan lagi keutamaan. Anda akan perasan perubahannya dalam beberapa minggu. Bayi juga akan sedar ada perubahan pada kuantiti dan rasa susu ibu. Penyusuan ketika ini masih boleh diteruskan.
Nasihat yang salah.
Ramai sahaja gemar memberi nasihat sedangkan mereka tidak mahir dan tiada ilmu mengenainya. Apabila ibu yang menghadapi masalah penyusuan bertanya, mereka memberi nasihat yang salah. Mungkin mereka pernah alaminya dan tidak selesaikan cara yang betul, susu mereka berkurang dan akhirnya menghentikan penyusuan. Pada pendapat mereka, perkara ini normal dan tidak boleh diperbetulkan, memberi tanggapan yang salah tentang penyusuan. Tidak semestinya mereka pernah melaluinya perkara yang berlaku itu betul. Sedangkan ada cara untuk menyelesaikannya.
- Pastikan dapatkan maklumat daripada mereka yang mahir dan berpengalaman.
Kesibukan sehingga lupa waktu penyusuan
Menjaga bayi dan menguruskan rumahtangga amat memenatkan. Leka dengan urusan menyiapkan kerja rumah boleh menyebabkan kelewatan menyusu bayi. Terutama jika anda mempunyai anak lain. Anda akan terlupa waktu penyusuan untuk bayi ini, lebih-lebih lagi bayi kurang meragam dan lebih banyak tidur. Tidak kerap menyusu menyebabkan susu berkurangan.
- Letakkan peringatan tentang waktu penyusuan.
Masalah hisapan bayi
Kebolehan bayi mengkordinasikan penggunaan lidah, lelangit, geraham, otot muka dan bibir akan mempengaruhi hisapan yang berkesan. Jika terdapat masalah, mungkin akan memberi kesan kepada kebolehannya untuk mengosongkan payudara. Untuk masalah ini, bayi juga berkemungkinan akan menghadapi masalah untuk menyusu menggunakan botol bukan sekadar susu ibu.
- Ini adalah masalah pada bayi itu. Perlu mendapatkan bantuan doktor pakar mengenai masalah ini. Doktor akan beri panduan cara penyusuan untuk bayi.
Tabiat bayi yang salah
Cara bayi menyusu akan membentuk tabiatnya sendiri. Sekiranya dibantu sejak awal oleh ibunya dan mendapat susu yang mencukupi bayi akan membentuk tabiat penyusuan yang betul. Namun timbul masalah bagi bayi yang tidak mendapat susu mencukupi. Bayi akan mencuba pelbagai cara sendiri untuk mendapatkan susu dan sehingga berjaya mendapat sedikit susu. Apabila berjaya mendapat susu sedikit, bayi akan meneruskan cara yang sama itu. Ia menjadi masalah jika cara itu salah dan membentuk tabiat hisapan yang salah.
- Perlukan pakar laktasi untuk membantu bayi tersebut betulkan cara hisapan yang salah.
- Ibu perlu belajar teknik yang betul menyusu dan bantu bayi menyusu. Ubah tabiat bayi yang salah sehingga dapat menyusu dengan betul.
Setiap masalah penyusuan susu ibu ini ada cara untuk mengatasinya. Jangan mudah mengalah dan mula campur susu formula. Ia hanya memburukkan keadaan dan kesannya susu ibu akan berkurang.