Mandi herba selepas bersalin serta berlulur adalah antara amalan yang dilakukan semasa berpantang. Mandi herba dan berlulur dapat menyegarkan badan ibu dalam pantang. Kulit menjadi lembut dan halus. Ia sebaiknya dilakukan setiap hari sejak awal waktu pantang. Selain itu, rawatan penjagaan alat sulit dan rambut juga menjadi kemestian dalam amalan tradisi berpantang masyarakat melayu. Setiap bahagian badan ibu diberi perhatian.
Isi Kandungan
Jangkitan kuman selepas bersalin
Selepas bersalin, ibu berisiko mengalami jangkitan bakteria pada faraj dan lapisan rahim. Ia dipanggil Endometrisis Postpartum. Jangkitan berlaku melalui faraj dan memasuki rahim. Apabila berlaku jangkitan ibu akan alami sakit dan bengkak pada perut, menggigil, keputihan yang keterlaluan, sakit ketika membuang air dan akhirnya mengalami demam.
Penjagaan kebersihan faraj semasa mengandung dan selepas bersalin penting untuk menghalang berlaku jangkitan. Amalan berpantang masyarakat melayu sejak dulu menunjukkan mereka menitikberatkan penjagaan ini dan dapat menghindari berlaku jangkitan.
Mandi Herba Selepas Bersalin
Semasa dalam pantang, amalan mandi herba membantu menyegarkan badan dan menenangkan fikiran. Bilasan air herba di bahagian alat sulit membantu membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan dan menghindari endometrisis postpartum. Ia dilakukan setiap hari ketika mandi diwaktu pagi dan petang. Selain itu, ia membantu membuang angin dari badan. Aroma yang yang dari daun-daun yang digunakan dapat mengatasi masalah bau badan.
Amalan ini semakin ditinggalkan kerana tidak memahami tujuan dilakukan. Ditambah pula terdapat pelbagai ubatan moden yang digunakan untuk merawat. Pastinya mencegah lebih baik dari merawat kesakitan yang dapat dielak sejak awal lagi.
Mandian herba dilakukan selepas rawatan berurut dan bertungku. Jika ingin mengurut sambil berlulur boleh lakukan sebelum mandian.
Mandi herba ini menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati seperti daun serai wangi, daun lengkuas, daun pandan, daun inai, daun kunyit, daun sirih dan daun halia. Selain itu, penggunaan daun hutan seperti daun pisang kelat air, lempoyang, kaduk hutan, nilam, kacip faimah, cekur, kerakap harimau, telinga rusa dan kemangi putih juga turut digunakan. Tidak perlu ambil semua bahan ini, pilih dalam kiraan ganjil 3, 5, 7 atau 9 duan-daun ini sahaja.
Cara mandi herba
- Sediakan air mandian herba. Rebus daun-daun herba sehingga keluar patinya. Biarkan suam. Periksa suhu sebelum gunakannya. Jangan terus guna ketika masih panas. Andai terlalu panas, boleh campur dengan air biasa.
- Mandi seperti biasa terlebih dahulu. Mandi herba adalah untuk bilasan terakhir
- Curah air daripada leher ke bawah dengan pelahan-lahan. Tujuannya agar air meresap ke liang roma. Bilas juga alat sulit dengan air mandian herba ini.
Perhatian!
Di larang membasuh rambut dengan air panas atau air herba panas kerana boleh menyebabkan sakit kepala dan keguguran rambut. Basuh dengan air biasa.
Tuaman Herba Semasa Mandian Herba
Tuaman herba adalah tuaman yang dibuat ketika mandi herba. Tuaman diperbuat daripada herba-herba seperti halba, ketumbar, sirih, jintan hitam dan halia. Tuam di bahagian badan bermula dengan tulang belikat, bawah ketiak, dada, pinggang ke peha.
Berlulur
Berlulur atau param digunakan sebelum atau selepas mandian herba. Kebaikan berlulur dapat mengelak kemasukan angin sejuk yang menyebabkan sakit otot, saraf dan sendi. Lulur juga dapat membuang daki, memejalkan kulit, mengurangkan pigmentasi, sembab dan mencerahkan semula kulit. Selepas berlulur badan akan rasa segar dan kulit menjadi lembut dan halus.
Bahan yang digunakan untuk berlulur terdiri daripada campuran beras, kunyit, jerangau, lempoyang dan kulit rambai. Bahan-bahan ini dtumbuk lumat. Kemudian dicampur sedikit air. Lumur ke seluruh badan sambil gosok untuk berlulur.
Rawatan Cucian atau Berendam
Rawatan cucian atau berendam adalah rawatan pada alat sulit. Selepas bersalin, alat sulit akan mengalami luka-luka samada digunting atau koyakan dengan sendiri semasa meneran.
Bagi mempercepatkan sembuh luka-luka ini, alat sulit dicuci dengan air ramuan herba. Herba yang boleh digunakan adalah daun sirih, daun inai, jintan hitam dan garam kasar. Ia dilakukan dengan mencebok air herba ke alat sulit.
Cara rawatan berendam adalah dengan duduk berendam di dalam air herba. Herba yang digunakan adalah daun inai, daun sirih, daun mambu, jintan hitam, kemenyan dan garam kasar. Air rebusan akan diletakkan dalam besen besar, muat untuk duduk didalamnya. Kemudian duduk berendam di dalamnya. Periksa suhu air terlebih dahulu sebelum duduk di dalamnya.
Petua Penjagaan Rambut
Selepas bersalin, berlaku perubahan hormon. Ini menjadi antara punca rambut mudah gugur. Untuk mengurangkan rambut gugur lebih teruk, elak basahkan rambut dengan air panas. Gunakan air suhu bilik. Jika mandi herba, elak guna air rebusan herba yang panas di kepala.
Ramuan Sapuan Rambut
- Minyak kelapa
- Buah keras
- Akar kekunyit
- Cengkih
- Daun sirih
- Limau purut
- Daun keremak
Bahan-bahan ini dicampur dan digosok di kult kepala.
Mandian herba, lulur dan herba cucian boleh dibeli dipasaran. Untuk mandian herba dan herba cucian, ia telah siap dijual dalam pek. Hanya rebus pek berkenaan. Pek herba ini boleh digunakan berulang kali sehingga warna semakin jernih.
Untuk mendapatkan mandian herba dan tungku herba sila layari di sini