Penjagaan makanan ibu mengandung penting untuk pembentukan janin sepanjang kehamilan. Dapatkan makanan yang seimbang dan sihat. Ini penting untuk perkembangan janin dalam kandungan serta menjaga kesihatan ibu mengandung. Cepat pula lapar. Bagaimana ingin kawal makan berlebihan?
Isi Kandungan
Perlu ke makan untuk dua orang?
Ketika berada di trimester pertama, mabuk dan muntah menyebabkan pemakanan ibu hamil menjadi tidak teratur dan seimbang. Makan apa yang lalu dimakan sahaja. Kemudian masuk ke trimester kedua, kembali berselera. Masalahnya rasa asyik lapar. Rasa ingin makan sahaja. Dalam fikiran bayi lapar, makan untuk dua orang sebab itu cepat lapar semasa mengandung.
Berlaku pertambahan keperluan kalori yang diperlukan iaitu sebanyak 350 kcal sehari semasa trimester kedua dan 470 kcal sehari semasa trimester ketiga. Jumlahnya sama dengan 1 sandwich telur sehari sahaja. Keperluan harian normal sebelum mengandung adalah 2,000 kcal sehari, bertambah antara 2350 kcal ke 2470 kcal sehari. Bayangkan bayi baru lahir tidak lebih 3 kg ke 4 kg, tetapi ibu tambah makanan seperti bayi sama berat dengan ibu. Akibatnya berat ibu bertambah keterlaluan dan sukar diturunkan.
Panduan makanan ibu mengandung
Ini adalah panduan pemakanan ibu hamil yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ambil makanan sewaktu makan utama iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam. Jangan tinggal waktu utama. Jika tinggal waktu makan utama menyebabkan rasa lapar dan ingin makan berlebihan.
Sukatan makanan adalah suku, suku, separuh. Pinggan di bahagi kepada 4 bahagian. 1 bahagian untuk karbohiderat seperti nasi, mee atau bihun, 1 bahagian untuk protein seperti ayam, ikan atau daging. Dan 2 bahagian untuk sayur-sayuran dan buah-buahan.
Apabila mendapat makanan seimbang begini, kurang rasa lapar. Cepat lapar juga petanda kekurangan makanan seimbang. Jika ambil nasi 3 bahagian dan 1 bahagian ayam, namun tiada sayur dan buah, badan tidak terima nutrisi yang seimbang. Badan menghantar ‘notis’ lapar untuk menambah nutrisi. Kita pula tafsir perlu makan nasi lagi bukan tambah nutrisi yang kurang.
Di antara waktu makan utama, boleh makan snek jika lapar. Snek boleh diambil dari sumber seperti bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Makan sekadar mengalas perut. Walaupun makanan ini sihat, ambil berlebihan boleh mendatangkan mudarat.
Selain menjaga makanan seimbang dan sihat, ibu mengandung elak makanan yang tidak berkhasiat. Makanan ibu mengandung perlu elak adalah seperti makanan segera, tinggi gula dan lemak serta berkafein.
Jumlah hidangan sehari
- Nasi, bijiran atau roti – 7 hidangan
- Sayur – 3 hidangan sayur
- Buah -2 hidangan. Ambil kaya dengan Vitamin C seperti limau dan Vitamin A seperti betik dan mangga
- Susu atau produk tenusu – 2 hidangan
- Protein – 1 hidangan ikan, 1 hidangan daging/ayam dan 1 hidangan kekacang
- Air – 6 ke 8 gelas
Berapakah tambahan berat yang normal semasa mengandung?
Pertambahan berat badan akan berlaku semasa mengandung. Pertambahan berat ini tidak sama. Ada ibu yang sebenarnya perlu tambah dengan banyak berbanding ibu lain.
Berikut pertambahan berat mengikut keadaan ibu semasa sebelum mengandung.
- Berat badan kurang, tambah berat antara 12-18kg.
- Berat badan normal, tambah antara 11-16kg.
- Berat badan berlebihan, tambah antara 7-11kg.
- Jika kandungan kembar, tambah lebih kurang 16-20kg.
Mengapa berat bertambah?
Bayi hanya 3 kg ke 4 kg sahaja. Mengapa berlaku pertambahan lebih dari 4 kg? Pecahan pertambahan adalah seperti berikut.
- Berat anak – 3 kg ke 4 kg
- Uri – 1 kg
- Darah – 1.8 kg
- Tisu payudara – 1 kg
- Air ketuban – 1kg
- Rahim memgembang – 0.9 kg ke 2.2kg
- Lemak disimpan untuk penyusuan dan bersalin- 2.2 kg ke 4kg
Jadi selepas bersalin berat akan berkurang 6 kg ke 7 kg. Selebihnya akan berkurangan terutama jika memberi susu ibu kepada bayi
Mengapa kerap lapar semasa mengandung?
Rasa lapar adalah normal semasa mengandung. Kehadiran janin dalam kandungan ibu memerlukan tambahan makanan. Namun makanan ibu mengandung perlu dikawal tanpa mengikut nafsu. Jika bertambahan berat adalah normal bermakna pemakanan ibu adalah mencukupi. Jika bertambah keterlaluan bermakna ibu telah ambil makanan berlebihan.
Untuk atasi kerap lapar lakukan perkara di bawah
- Makan sedikit tetapi kerap. Jangan tunggu makan sehingga benar-benar lapar.
- Minum secukupnya. Kurang air juga menyebabkan rasa lapar
- Ambil cukup protein, fiber dan lemak sihat
- Jika masih lapar makan bijirin, sayur atau buah.
- Kunyah perlahan-lahan. Otak hanya menyampaikan kepada badan, sudah kenyang selepas 20 minit. Jika makan dengan laju, pesanan belum diterima.
- Perhatikan apa yang menyebabkan lapar. Adakah kerana stres, bosan atau keliru dengan rasa dahaga.