Tempoh kehamilan normal berlaku antara 37 ke 41 minggu. Bayi yang dilahirkan semasa tempoh ini biasanya tidak mempunyai sebarang masalah. Jika selepas 42 minggu, ia dipanggil kehamilan lebih bulan atau postamturity. Manakala jika dilahirkan sebelum 37 minggu dipanggil pra matang. Kelahiran awal dan terlebih bulan ini memberi kesan kepada bayi.
Isi Kandungan
Apa itu postmaturity?
Definisi postmaturitiy adalah kehamilan melebihi 42 minggu atau 294 hari selepas period yang terakhir (LMP). Lebih kurang 7% kehamilan berlaku sehingga 42 minggu atau lebih. Sindrom postmaturity boleh dilihat pada bayi yang lahir selepas 42 minggu atau lebih.
Apakah penyebab postmaturity berlaku?
Ketika hamil anak keempat, tarikh jangkaan saya dibuat berdasarkan pemeriksaan ultrasound. Ketika itu jika mengikut tarikh period yang terakhir, saya telah hamil dua bulan. Apabila membuat pemeriksaan, doktor sahkan baru empat minggu. Sebelum enam minggu usia kandungan, hanya nampak kantung bayi. Masih belum nampak denyutan jantung. Daripada pemeriksaan ini boleh diketahui usia sebenar kandungan dan menetapkan tarkh jangka kelahiran. Jika tidak membuat pemeriksaan, sudah tentu menyangkakan berlaku kehamilan lebih tempoh.
Semasa trimester pertama, pemeriksaan ultrasound perlu dibuat untuk menentukan tarikh jangkaan sebenar, bukan semata-mata berdasarkan tarikh LMP untuk elak tarikh yang salah. Ia mungkin berlaku jika tarikh period tidak teratur atau tidak pasti bila. Salah tarikh menyebabkan tarikh jangkaan bersalin jadi salah. Dengan pemeriksaan ultrasound, melalui perkembangan bayi boleh diketahui berapa lama telah berlaku kehamilan.
Sekiranya pemeriksaan telah dijalankan dan telah mengikut tarikh sebenar, tiada kepastian apa penyebabnya berlaku kehamilan lebih tempoh ini.
Faktor mempengaruhi berlakunya postmaturity
- Kehamilan lebih bulan ini boleh berlaku jika pernah alaminya ketika kehamilan sebelumnya. Apabila berlaku kali kedua dan seterusnya, ia lebih berisiko tinggi.
- Kehamilan pertama
- Bayi lelaki
- Ibu yang alami obesiti
- Ibu yang telah berumur
- Ibu atau ayah yang mempunyai sejarah lahir lebih tempoh
Risiko perinatal
Apakah perkara yang berlaku kesan kehamilan yang berpanjangan? Kehamilan ini mempunyai risiko terhadap janin dalam kandungan dan juga kepada ibu.
- Selepas minggu ke 41, fungsi uri akan berkurang dan tidak mencukupi. Kandungan oksigen dan nutrien sampai ke janin berkurangan. Kekurangan ini meningkatkan risiko yang menyebabkan kerosakan fungsi dan mungkin juga kerosakan perkembangan psikik bayi.
- Meningkatkan risiko sindrom aspirasi mekonium. Mekonium adalah najis awal bayi. Jika dibuang ketika masih dalam kandungan, bayi bernafas dengan campuran mekonium.
- Meningkat risiko mengalami neonatal hypoglycaemia iaitu bayi tidak dapat mengekalkan tahap konsentrasi plasma glukosa melebihi 30 mg/dL (1.7 mmol/L)
- Risiko kematian bayi ketika bersalin atau kematian janin adalah lebih tinggi pada minggu ke 42
- Risiko fetal macrosomia, iaitu berat melebihi 4 kg dan kecederaan ketika bersalin
- Meningkat risiko epilepsi pada bayi baru lahir, terutama jika bersalin menggunakan bantuan atau bersalin secara caesarian
- Risiko berlaku tumpah darah kepada ibu.
Simptom postmaturity pada bayi
- Bayi baru lahir mempunyai jumlah lemak lebih rendah dari normal akibat kekurangan nutirisi dan mengurangkan jisim tisu lembut
- Kulit mungkin menggeleber, berlapis dan kering
- Kuku tangan dan kaki lebih panjang
- Kulit berwarna kuning, hijau atau coklat kesan najis bayi yang telah dibuang dalam rahim.
Tanda yang perlu diberi perhatian
Apabila berlaku kehamilan lebih tempoh perhatian perlu diberi untuk mengurangkan risiko yang mungkin terjadi.
- Pergerakan janin. Adalah penting memastikan terdapat pergerakan janin dalam kandungan. Pegang perut dan kira pergerakan bayi. Sekiranya pergerakan semakin berkurangan mungkin tanda-tanda janin dalam keadaan stres, segera berjumpa doktor.
- Ujian kadar denyutan jantung bayi. Kadar jantung meningkat dengan kadar pergerakan. Ini tanda janin sihat.
- Pemeriksaan ultrasound untuk melihat perkembangan keadaan bayi.
- Kajian aliran Doppler. Ini adalah sejenis ultrasound yang menggunakan gelombang bunyi untuk mengukur aliran darah. Ujian ini biasanya digunakan jika janin tidak membesar secara normal dalam kandungan.
Ibu yang tidak mempunyai tanda untuk bersalin dan telah melebih tempoh kehamilan normal, perlu membuat pemeriksaan untuk memantau janin. Kelewatan bertindak boleh meningkatkan risiko kepada bayi dan ibu.