Selepas bersalin, jamu dalam pantang sinonim dengan ibu dalam pantang. Ia telah menjadi amalan turun temurun dalam masyarakat melayu. Alam melayu terkenal dengan perubatan menggunakan herba-herba yang diadun menjadi penawar pelbagai penyakit sebelum wujudnya dunia perubatan moden.
Pengetahuan dan pemberian ubat-ubatan tradisional diturunkan dari generasi ke generasi secara lisan. Salah satunya, tentulah untuk kegunaan ibu dalam pantang. Sayang sekali ilmu ini semakin dilupai dan ditinggalkan. Apatah lagi ianya dianggap ketinggalan zaman.
Isi Kandungan
Kajian penggunaan herba dan rempah ratus
Kajian mengenai penggunaan herba telah dijalankan oleh pihak UKM mengenai kebaikan dan keberkesanan herba-herba dan rempah ratus untuk ibu dalam pantang. Hasil kajian ini telah ditulis dalam jurnal “Tumbuhan Ubat-ubatan digunakan dalam Rawatan Selepas Bersalin dalam Perubatan Melayu Tradisional di Semenanjung Malaysia”
Dalam kajian, bahagian tumbuhan yang sering digunakan adalah rizom, buah/beri, daun dengan benih, bunga, akar tumbuhan, pundi dan bebawang. Herba-herba ini juga digunakan secara luaran seperti minyak untuk sapuan, pilis dan mandian herba.
Antara tumbuhan yang popular dan telah dibuat kajian terperinci adalah kacip fatimah. Kajian secara saintifik telah menemui bukti bahawa tumbuhan ini mempunyai ciri-ciri perubatan kerana wujudnya “phyto estrogen” iaitu estrogen tumbuhan, secara semula jadi. Oleh kerana itu ia sering digunakan sebagai satu bahan jamu bagi penyembuhan ibu selepas bersalin. Masyarakat melayu telah menemui penawar ini sejak sekian lama dan dengan kajian ini, membuktikan kemahiran mereka mengenai ubat-ubatan tradisional.
Amalan masyarakat melayu
Menurut amalan masyarakat melayu setiap makanan yang berkhasiat itu dapat dijadikan sebagai penawar penyakit. Bagaimana ingin mengadunnya menjadi penawar, itulah kemahiran istimewa pengamal-pengamal perubatan tradisional ini. Antara rempah ratus yang digunakan seperti halba, bunga cengkih, jintan, halia, kunyit dan cekur adalah bahan yang terdapat dalam makanan harian. Terdapat juga jenis yang tidak digunakan sebagai makanan harian. Ianya dipanggil akar kayu dan perlu dikawal pengambilannya.
Apa jamu dalam pantang?
Isu yang sering timbul, betul ke jamu bagus untuk kesihatan? Perlu ke ambil jamu? Kenapa pula ada panggil herba?
Terdapat perbezaan antara jamu dan herba. Herba adalah rempah ratus yang sering digunakan dalam makanan harian. Rempah ratus seperti serai, halia, cekur, kunyit dan jintan. Kesannya tidak kuat seperti jamu. Ia lebih kepada untuk memulihkan kesihatan dan memberi tenaga kepada ibu dengan pengamalan yang betul.
Jamu adalah campuran daripada herba dan akar kayu yang memberi kesan lebih kuat. Ia tidak digunakan sebagai makanan harian. Ia lebih untuk tujuan perubatan. Contoh akar kayu adalah manjakani, serapat dan kacip fatimah. Ia mampu merapi dan merapatkan saluran faraj serta mengecutkan rahim. Disebabkan ia memberi kesan kuat, pengambilannya hendaklah tidak diambil sebarangan serta perlu mengikut sukatan yang betul.
Oleh kerana herba dan jamu diperbuat daripada bahan semulajadi, kesan dan khasiat tidak akan diperolehi serta-merta. Ia berfungsi secara perlahan-lahan membaiki dan merawat tisu badan. Jadi masa yang lebih lama diambil untuk melihat kesannya. Namun dalam jangka masa panjang, kesihatan lebih memuaskan dan tidak menghadapi pelbagai penyakit. Ia berbeza dengan ubat-ubatan yang dibuat daripada bahan kimia atau dadah. Kesannya dapat dilihat serta merta.
Cara pengambilan jamu perlulah mengikut ramuan dan sukatan yang betul. Salah pengambilan akan menimbulkan masalah kesihatan. Ia sering menjadi masalah apabila mereka tidak berkemahiran memandai-mandai membuat ramuan dan adunan sendiri tanpa ilmu yang betul. Lebih teruk lagi diberi pula kepada orang ramai atau dijual sebagai produk jamu. Ia memberi kesan buruk kepada pengamalnya, maka timbullah isu jamu memudaratkan. Ada juga yang mengambil kesempatan dengan menambah bahan seperti streroid untuk penyembuhan segera agar produk yang dijualnya laku.
Berhati-hati memilih produk jamu. Pastikan terdapat kelulusan KKM. Jangan beli sebarangan produk yang dibuat sendiri atau tanpa kelulusan KKM. Untuk kenalpasti produk diluluskan KKM, perhatikan terdapat MAL diiringi 8 digit nombor dan diakhiri dengan huruf T untuk produk tradisional dan pelekat hologram.
Herba 44 hari pertama
Dalam tempoh 44 hari pertama selepas bersalin, amalan pengambilan herba bertujuan membantu pengeluaran angin, darah nifas dan lendir. Ia juga untuk membersihkan, menyegarkan, mengembalikan fungsi rahim, melawaskan sistem perkumuhan dan membantu membuang lemak berlebihan. Amalan ini dapat membantu memulihkan badan.
Campuran rempah ratus dan herba direbus dengan kuantiti air tertentu dan diminum. Ia dipanggil ubat periuk. Ubat periuk ini dijadikan sebagai minuman harian selama 44 hari. Minuman ini juga dapat menambah tenaga bagi ibu yang kepenatan dalam menjaga bayi.
Jamu selepas 44 hari
Selepas mengamalkan pengambilan ubat periuk selama 44 hari untuk memulihkan badan, minuman ubat periuk diteruskan untuk merapi dan merapatkan alat sulit serta saluran faraj. Ia juga akan mengecutkan rahim. Ramuan berbeza atau ditambah beberapa bahan lain, antaranya manjakani, kacip fatimah dan serapat. Ia tidak sama dengan ubat periuk untuk tempoh 44 hari pertama.
Ramuan ini hanya boleh dilakukan selepas habis tempoh berpantang iaitu selepas darah nifas telah keluar dengan sempurna. Boleh diamalkan setiap hari selepas hari ke 44 sehingga 100 hari.
Untuk amalan kesihatan dalaman yang baik, selepas tempoh 100 hari herba ini masih sesuai diamalkan namun tidak perlu diambil setiap hari. Cukup sekadar keperluan badan samada satu atau dua kali seminggu.
Ramuan Ubat Periuk
Resepi ubat periuk akan berbeza mengikut tempat, daerah atau kaum. Air minuman harian boleh diganti dengan minum air ubat periuk ini. Antara ramuan yang digunakan sebagai ubat periuk ialah halba, halia muda, kunyit hidup, jintan hitam dan ketumbar. Bahan ini direbus dan dibuat minuman.
Pengambilan herba juga tidak boleh diambil sebarangan. Akar kayu seperti manjakani, kacip fatimah dan searapat jika diambil terlalu awal boleh menyebabkan penyakit puan. Seelok-eloknya tunggu sehingga melepasi 30 hari. Herba ini amat berguna untuk merapatkan semula saluran faraj. Namun jika diambil terlalu awal, ia akan menyebabkan darah kotor tidak keluar dengan sempurna. Ia akan mengecutkan rahim sebelum rahim bersih dari darah nifas. Kesannya, kita akan alami darah bisa yang tidak keluar sepenuhnya. Sisa darah tertinggal di dalam rahim. Badan akan rasa sakit-sakit dan berbisa.
Pengeluaran darah nifas sempurna apabila darah ‘bayam’ telah keluar. Darah bayam ini adalah darah yang keluar di hujung tempoh pengaliran darah nifas. Ia berwarna kekuningan dan berbau busuk. Jika darah ini tidak dikeluarkan ia menyebabkan masalah seperti rasa seram sejuk, mudah letih, sakit pinggang. Ia juga akan menyebabkan masalah lelehan faraj berbau dan ini akan mengganggu perhubungan suami dan isteri.
Namun penggunaan jamu ini mungkin tidak sesuai untuk sesetengah orang yang ada alahan pada bahan yang digunakan. Ianya sama seperti penggunaan ubat-ubatan moden. Jika tidak sesuai, berhenti dan jangan gunakannya.
Kesan pengambilan jamu kepada bayi
Ibu yang menyusu bayi, apabila mengambil jamu atau herba mungkin memberi kesan kepada bayi. Perut bayi masih sensitif dan tidak mudah menerima segala makanan yang diambil oleh ibu. Jika berlaku kesan kepada bayi kurangkan pengambilan atau hentikan dahulu. Apabila perut bayi semakin matang boleh amalkan semula.
Bukan semua herba memudaratkan bayi. Ada herba yang membantu memperbanyakkan susu dan tidak memberi kesan buruk. Contoh halba. Ia membantu ibu menambah susu. Ada juga pengambilan herba dapat membantu bayi apabila kerap membuang dan mengeluarkan bilirubin dalam badan.
Produk Bersalin
Kini di pasaran terdapat banyak set bersalin dan produk penjagaan selepas pantang. Ianya telah disediakan dalam pek mudah dapat terus digunakan seperti bentuk kapsul atau tablet. Pastikan mendapat cara penggunaan yang betul dan amalkan dengan sempurna agar mendapat kesan yang baik. Kenalpasti bahan-bahan yang digunakan. Sebaiknya dapatkan set bersalin yang telah terbukti keberkesanannya.
Antara jenama produk bersalin keluaran Malaysia
- Nona Roguy
- Tanamera
- Jamu Ratu Malaya