Apabila ibu mula bekerja, penyusuan susu badan masih boleh diteruskan. Ibu boleh melakukan perahan susu untuk diserahkan kepada pengasuh bayi. Cara simpan susu badan adalah penting untuk mengelak susu menjadi rosak dan basi. Sayang susu terpaksa dibuang dan lebih menakutkan beri susu rosak kepada bayi tanpa disedari.
Isi Kandungan
Penyediaan peralatan susu badan
Bagi memastikan pemberian susu badan kepada bayi berjalan lancar apabila sudah bekerja, persediaan perlu dilakukan sebelum masuk kerja. Persediaan itu termasuk mengajar bayi menyusu, mempunyai peralatan untuk perahan susu dan botol/plastik simpanan susu badan yang telah diperah. Persediaan ini penting bagi memastikan bayi dapat menyusu, tidak timbul masalah dan mengganggu ibu untuk bekerja.
Perahan boleh menggunakan tangan, namun dalam keadaan bekerja peralatan perahan susu akan memudahkan perahan. Peralatan yang diperlukan adalah pam susu badan dan botol atau plastik simpan susu.
Selain itu beg pemanas dan ais juga diperlukan dalam keadaan tertentu. Jika mampu boleh dapatkan pemanas susu. Ia berguna untuk memanaskan susu sebelum diberi kepada bayi.
Pam Susu Badan
Pam susu merupakan satu keperluan yang memudahkan kerja ibu. Walaupun boleh perah guna tangan, agar sukar memerah di pejabat terutama jika tiada tempat khas memerah susu. Penggunaan pam susu badan lebih memudahkan dan tidak memenatkan.
Terdapat 3 jenis pam susu.
- Manual – Pam adalah menggunakan tangan. Untuk memerah perlu tarik atau tekan pam menggunakan tangan. Harga murah namun memenatkan.
- Eletrik – Pam menggunakan eletrik akan pam sendiri dan mudah digunakan. Ia bergerak sendiri jadi sambil pam boleh buat perkara lain.
- Bateri – Pam ini tidak memerlukan kuasa eletrik jadi boleh pam di mana-mana sahaja. Sesuai jika tiada kuasa eletrik berhampiran dan banyak bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Harga agak mahal.
Pam-pam di pasaran berbeza daya sedutan. Ada pam yang mempunyai butang untuk melaras daya sedutan. Daya sedutan ini penting kerana jika terlalu kuat ia akan menyakitkan ibu.
Terdapat pam yang mempunyai 2 saluran perah. Perahan juga boleh dilakukan serentak di kedua belah payudara. Ini mempercepatkan proses dan tidak mengganggu kerja ibu.
Botol susu atau plastik pakai buang
Untuk penyimpanan susu badan, perlukan beberapa botol. Botol diperlukan dalam kuantiti yang banyak bergantung kepada cara penyimpanan. Lebih baik menyimpan mengikut kuantiti yang diperlukan oleh bayi. Botol ini boleh terus digunakan untuk penyusuan. Atau botol ini hanya digunakan untuk simpanan susu. Penggunaan botol boleh dipakai berulang kali.
Plastik pakai buang dapat menjimatkan ruangan untuk simpanan. Plastik ini lebih kecil dan dapat disusun diruangan sempit. Susu didalam plastik akan dituang ke dalam botol susu untuk penyusuan. Guna sekali sahaja. Elak guna berulang kali.
Beg tahan sejuk dan pek ais
Beg ini diperlukan jika tiada peti sejuk di tempat kerja. Ia juga mungkin diperlukan jika tempat kerja jauh dari rumah. Untuk memastikan suhu bertahan lebih lama, gunakan pek ais. Beli pek ais yang boleh diguna berulang kali. Pastikan pek ais disejukkan terlebih dahulu di peti sejuk beku.
Warmer atau Pemanas Susu
Ini bukan satu keperluan. Boleh guna periuk atau mangkuk yang digunakan di rumah untuk memanaskan susu. Namun jika berkemampuan boleh beli warmer atau pemanas susu. Alat ini memudahkan kerana masa dan tahap kepanasan yang bersesuai untuk memanaskan susu. Suhu yang terlalu panas akan memusnahkan nutrien, enzim dan anitbodi dalam susu. Terdapat jenis yang ‘portable’ iaitu menggunakan kuasa bateri dan tidak perlu disambung ke eletrik untuk menggunakannya.
Tempoh simpan susu badan
Berapa lama susu dapat bertahan bergantung kepada cara penyimpanan susu badan. Tempoh simpan susu badan mengikut suhu adalah seperti berikut.
Susu | Cara Penyimpanan | Tempoh Simpanan |
---|---|---|
Susu segar selepas diperah (Fresh EBM) | Suhu bilik Bilik berhawa dingin Simpanan dalam beg sejuk (cooler bag) | 4 jam 8 jam 24 jam |
Simpanan di dalam peti sejuk (Chilled EBM) | Peti sejuk dibahagian bawah (chiller) | 3 hari |
Simpanan di bahagian sejuk beku (Frozen EBM) | Peti sejuk 1 pintu Peti sejuk 2 pintu | 2 minggu 3 bulan |
Peti sejuk beku (deep freezer) Frozen EBM | Peti sejuk beku | 6 bulan |
Susu dapat bertahan selama 4 jam jika berada di suhu bilik. Untuk tahan lama, susu perlu disimpan di tempat yang sejuk. Jika ada peti sejuk di tempat kerja boleh simpan di dalam peti sejuk. Jika tiada, perlu letak dalam beg tahan sejuk bersama-sama pek ais untuk mengekalkan suhu di dalam beg. Guna pek ais pakai semula. Pek ini perlulah disejukbeku terlebih dahulu di rumah.
Susu yang berada di peti sejuk bahagian bawah dapat bertahan sehingga 3 hari. Simpanan di sini jika ingin berikan susu berkenaan untuk tempoh sehari ke dua hari. Jika ada lebihan susu, simpan di tempat sejuk beku. Jika simpan di bahagian sejuk beku dapat bertahan antara 2 minggu ke 6 bulan bergantung kepada jenis peti sejuk.
Cara simpan susu badan
Lakukan langkah-langkah berikut untuk penyimpanan susu badan. Ia memudahkan untuk mengetahui bila susu disimpan dan susu mana yang perlu digunakan terlebih dahulu. Ia juga dapat mengesan susu yang sudah tamat tempoh.
- Susu hendaklah dilabel tarikh perahan untuk mengetahui tempoh simpanan.
- Susun susu secara turutan yang baru diperah di letak di bahagian belakang. Jadi susu yang lebih lama digunakan terlebih dahulu.
- Simpan di bahagian dalam peti sejuk. Bahagian ini lebih sejuk berbanding di bahagian berhampiran pintu.
- Elak mencampur susu yang dipam pada hari berlainan. Susu boleh disimpan dalam bekas mengikut hari yang sama.
- Letak susu 3/4 dari bekas simpanan. Ini kerana susu yang dibeku akan mengembang. Jika tiada ruang ia boleh menyebabkan kebocoran
- Jangan campur susu yang telah dibekukan dengan susu yang baru diperah. Suhu berlainan menyebabkan susu mudah rosak.
- Periksa tarikh susu diperah sebelum berikan kepada bayi.
Cara panaskan susu badan
Apabila susu ibu hendak dibekalkan kepada penjaga, susu ibu yang berada di dalam peti sejuk di bawah/chiller boleh terus diserahkan kepada penjaga.
Bagi susu yang disimpan secara sejuk beku, sehari sebelum diserahkan susu hendaklah dikeluarkan dari ruangan sejuk beku dan diletak di bahagian peti sejuk bawah atau chiller selama lebih kurang 12 jam. Ini adalah proses untuk menyahbekukan susu. Susu cair dan mudah untuk dipanaskan. Jika susu terus dikeluarkan dan dicairkan di luar ia boleh membiakkan bakteria dan menyebabkan susu rosak.
Untuk memanaskan susu ibu, panaskan air di dalam periuk atau bekas. Tutup apabila mencecah 40 C, iaitu lebih kurang suhu badan manusia. Jangan tunggu sehingga mendidih. Agak2 agak air mula berbuih sedikit, tutup api. Rendam botol susu bayi didalamnya. Sesekali goncang bagi meratakan suhu dalam botol susu. Rendam selama 10 minit.
Cara panaskan susu ibu guna warmer lebih mudah. Masukkan air ke dalam warmer. Rendam botol susu di dalamnya dan buka suiznya. Biar selama lebih kurang 10 minit atau mengikut arahan yang diberikan.
Sebelum susu diberikan kepada bayi, periksa suhu dengan menitiskan di bahagian tangan. Susu ini hanya boleh bertahan selama 1 jam. Selepas 1 jam susu hendaklah dibuang untuk mengelak susu basi diberi kepada bayi.
Berapa lama susu ibu dapat bertahan?
Susu ibu yang telah dipanaskan boleh bertahan selama 1 jam. Susu yang dikeluarkan daripada peti sejuk beku, tidak boleh disimpan semula ke sejuk beku. Ia dapat bertahan selama 24 jam di dalam peti sejuk. Jika tidak habis susu yang telah dicairkan, perlu dibuang.