Masalah sembelit semasa berpantang sering dialami oleh ibu lepas bersalin. Ini menjadi ketakutan kepada ibu selepas kelahiran bayi. Dalam keadaan baru hilang sakit bersalin, kepenatan melayan bayi baru lahir, tambah pula dengan sembelit. .
Ada beberapa sebab ianya berlaku. Ianya akan hilang dengan sendiri namun ada juga yang memerlukan bantuan sehingga sistem pencernaan kembali normal. Dalam situasi normal, ibu dijangka akan membuang air besar dalam tempoh sehari ke tiga hari selepas bersalin. Usus telah dikosongkan semasa bersalin bagi mengelak terkeluar najis ketika meneran, lazimnya pada hari pertama ibu tidak akan membuang air besar.
Isi Kandungan
Punca sembelit semasa berpantang
Sembelit berlaku kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielak kesan proses bersalin itu sendiri. Namun sembelit semasa berpantang diburukkan dengan cara yang salah menangani masalah ini. Kenalpasti punca-punca ini. Ia mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah anda dengan segera.
Sembelit akan berlaku selama beberapa hari. Ada juga ibu yang berpanjangan alami sembelit tetapi ini jarang-jarang berlaku. Jika berpanjangan, ia akan mengakibatkan berlaku komplikasi yang perlu rawatan.
Proses bersalin dan perubahan badan
Sembelit terjadi selepas bersalin kerana otot-otot perut meregang dan menjadi tidak kuat. Di samping itu, jika terlalu lama di peringkat kedua semasa bersalin, iaitu ketika meneran turut menyebabkan sembelit. Ia juga berlaku disebabkan penggunaan forcep. Jika bayi terlalu besar, boleh menjadi penyebab juga. Selain itu, meneran cara salah ketika bersalin boleh menyebabkan kecederaan pada otot pelvis dan mengganggu ketika ingin membuang air besar.
Beberapa hari awal ini, badan sedang dalam proses penyembuhan dan beransur-ansur kembali ke bentuk asal. Semakin lama sembelit juga akan berkurangan.
Risau dan takut luka yang dijahit terbuka
Selepas proses bersalin, timbul ketakutan untuk meneran ketika membuang air besar. Risau luka semakin teruk dan jahitan episiotomi terbuka semula. Jika alami buasir ketika hamil, ia menyebabkan kesakitan dan memburukkan lagi sembelit.
Dehidrasi dan diet pemakanan
Sibuk menjaga anak sehingga lupa untuk menjaga diri sendiri dan menjaga makan minum. Kurang minum air menyebabkan badan alami dehidrasi dan menyebabkan sembelit. Diet pemakanan yang tidak cukup fiber memburukkan keadaan. Ada juga yang mengikut amalan pemakanan dalam pantang yang salah. Kononnya terdapat pantang larang semasa berpantang. Diet hendaklah seimbang.
Tekanan emosi
Kehadiran bayi akan mengubah segala-galanya dalam hidup anda terutama jika ini anak sulung. Banyak perkara ingin dibuat dan dalam masa sama perlu belajar mengenai bayi. Ia menimbulkan tekanan emosi dan ia akan mengganggu sistem badan. Keadaan stres ini bukan sahaja menyebabkan sembelit, malah menimbulkan pelbagai masalah lain juga. Elak rasa stres yang berlebihan
Kurang bergerak
Selepas bersalin, badan terasa tidak bermaya dan lemah, kerap duduk, berbaring dan berehat. Apatah lagi kepenatan menjaga bayi. Kurang bergerak ini menjadi punca berlaku sembelit. Keadaan otot-otot kurang bergerak menyebabkan ia tidak berfungsi dan mengakibatkan sembelit. Ia bertambah teruk jika semasa kehamilan ibu kurang bergerak dan tidak bersenam. Namun jangan bergerak berlebihan pula.
Ubat
Semasa dalam proses bersalin, ubat tahan sakit yang diberi menyebabkan usus dalam keadaan lemah dan kurang berfungsi. Ini mengakibatkan berlaku sembelit. Selain itu, ibu akan dibekalkan dengan ubat untuk sembuhkan luka. Terdapat ubat yang mungkin menyebabkan sembelit. Suplemen zat besi mungkin diberi kepada ibu yang kekurangan darah. Pengambilan suplemen zat besi juga mungkin memberi kesan sembelit.
Tanda-tanda sembelit
Anda mungkin alami sembelit dan tidak menyedarinya serta menyangka ia adalah masalah kesihatan lain. Tanda-tanda sembelit mungkin berbeza antara individu.
- Sakit ketika membuang
- Najis keras, kecil-kecil dan kering
- Perut terasa kembung
- Tidak puas membuang, terasa masih ada sisa najis dalam usus
- Terpaksa meneran semasa membuang
- Mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk membuang najis
- Rasa kejang dansakit di perut atau usus
Cara atasi sembelit
Setelah mengetahui punca-punca berlakunya sembelit semasa berpantang, perhatikan apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi sembelit. Dengan mengambil langkah cara atasi sembelit ini, ia akan hilang dalam beberapa hari selepas mengamalkannya. Elak daripada menjadi komplikasi sembelit yang lebih menyakitkan.
- Minum air secukupnya iaitu mengikut berat badan. Setiap satu liter untuk berat 25 kg. Cuba memulakan seawal pagi dengan meminum air suam pada setiap hari, ia mungkin membantu.
- Buang bila terasa ingin membuang. Jangan tahan walau anda berasa tidak selesa atau takut-takut. Air akan diserap dan najis akan menjadi semakin keras jika anda menahan serta membiarkan sehingga beberapa hari. Ini lebih memburukkan keadaan, dalam kesakitan anda perlu meneran kuat untuk membuang najis.
- Tingkatkan pengambilan makanan yang mengandungi fiber yang tinggi seperti bijiran, roti bijiran penuh, buah-buahan segar dan sayur-sayuran. Bijirin yang boleh diambil adalah bran, flaxseed dan oatmeal. Buah-buahan yang tinggi serat adalah seperti buah prun, tembikai, pisang, betik dan epal. Boleh amal minum segelas jus buah-buahan setiap hari terutama jus prun. Selain itu, boleh buat air smoothie buah-buahan dicampur yogurt asli untuk diminum. Makanan ini dapat menyerap air ke kolon dan melembutkan najis. Ia akan memudahkan perbuangan najis.
- Ambil ubat yang boleh melembutkan najis. Dapatkan nasihat doktor jika anda memerlukan ubat ini. Namun elak guna dengan kerap.
- Berjalan-jalan dapat membantu pergerakan usus anda. Mungkin sakit pada mulanya terutama yang menjalani pembedahan atau episiotomi, tetapi anda berjalan pelahan-lahan untuk mengatasi masalah ini.
- Amalkan bersenam sebelum bersalin. Selain bagus untuk kesihatan dan memudahkan bersalin, ia membantu mengurangkan masalah sembelit selepas bersalin.
- Dapatkan rehat yang mencukupi dan kurangkan tekanan. Jika rasa tekanan minta bantuan untuk menjaga bayi dan berehat.
- Terdapat juga herba yang dapat membantu masalah ini. Amalan memakan herba ini melawaskan pengeluaran najis. Pastikan herba ini selamat untuk anda dan untuk bayi anda bagi ibu yang menyusu badan.
Komplikasi sembelit
Masalah sembelit berlaku beberapa hari dan pulih. Kadang-kadang ia berlarutan dan boleh menyebabkan komplikasi yang serius.
- Prolaps rektum adalah keadaan di mana rektum iaitu usus besar terkeluar dari dubur. Ini berlaku apabila sembelit berpanjangan.
- Kerap meneran kerana sembelit akan melemahkan otot lantai pelvis. Ini akan menyebabkan air kencing keluar secara tidak sengaja apabila batuk atau bersin
- Berlaku buasir yang mengakibatkan kerosakan saluran darah di rektum. Ia memburukkan keadaan jadi sukar duduk dan sakit.
- Najis terkeluar dengan sendiri berlaku apabila berada lama di dalam usus dan tidak dapat disingkirkan.
Adakah perlu berjumpa doktor?
Ia adalah perkara normal berlaku sembelit. Jika dalam tempoh empat hari masih tidak membuang, pergilah berjumpa doktor. Begitu juga jika berlaku muntah, kembung perut, prolaps rektum dan buasir. Doktor akan memberi ubat untuk masalah sembelit ini.
Jika ada masalah buasir biasanya doktor akan membuang buasir tersebut. Secara tradisional, buasir dirawat dengan meletakkan manjakani di tempat buasir. Ia dapat mengecutkan buasir.