Sembelit ketika hamil boleh terjadi seawal trimester pertama kehamilan dan mungkin semakin buruk di trimester akhir. Jika tidak dikawal, sembelit akan berterusan selepas bersalin. Bagaimana ingin mengelaknya?
Isi Kandungan
Apakah punca berlaku sembelit ketika hamil?
Ada beberapa faktor yang menyebabkan sembelit. Masalah sembelit ini boleh dielakkan daripada berlaku. Ketahuilah punca-punca sembelit ini untuk mengatasi dan mengelaknya berlaku.
Hormon
Ketika hamil, berlaku perubahan hormon. Hormon progesteron akan bertambah untuk menebalkan dinding rahim. Ia juga bertujuan untuk melindungi rahim daripada berlaku ovulasi. Jika anda perasan, adakala sebelum period anda akan alami sembelit yang ringan. Keadaan ini sama ketika hamil. Apabila hormon ini tinggi ia merehatkan pergerakan usus. Badan akan dapat menyerap lebih nutrisi daripada minuman dan makanan di ambil. Namun semakin lama berada di dalam usus, ia mengeringkan najis. Kesannya najis menjadi keras dan sukar untuk dibuang. Lalu menjadi sembelit.
Janin yang membesar
Ketika hamil, janin semakin membesar terutama semasa trimester ketiga. Rahim akan mengembang dan menekan usus-usus. Ini menyempitkan usus-usus dan menyukarkan pengeluaran najis.
Diet pemakanan
Ibu hamil yang mengalami alahan akan kurang minum dan makan. Apatah lagi jika kerap muntah. Kekurangan air dan makanan terutama yang berfiber tinggi menyebabkan sembelit. Apabila berlaku perubahan hormon yang memperlahankan pergerakan usus, lebih banyak air akan diserap. Kekurangan air menyebabkan najis menjadi keras dan memburukkan keadaan ini.
Kurang bersenam
Senaman dapat membantu pergerakan otot-otot yang menyokong usus-usus yang menjadi lemah kesan perubahan hormon dan penekanan daripada rahim. Ibu hamil mudah penat dan kurang melakukan aktiviti, kerap berehat dan kurang bersenam.
Suplemen
Ketika hamil, ada ibu dibekalkan dengan suplemen untuk memastikan badan sihat. Suplemen seperti zat besi diberikan kepada ibu hamil untuk menghasilkan darah bagi mengedarkan oksigen ke seluruh badan. Namun ia memberi kesan kepada usus ibu. Apabila kandungan zat besi tinggi dalam badan, ia menyukarkan bakteria dalam usus untuk berfungsi. Bakteria ini tidak dapat memecahkan makanan. Kesannya berlakulah sembelit
Tanda-tanda sembelit semasa hamil
Mungkin ada ibu tidak sedar dia sedang alami sembelit. Mungkin dia menyangka ada masalah berkaitan kesihatan. Apakah tanda-tanda sembelit semasa hamil itu?
- Najis kecil-kecil, bercerai dan keras, tanda air telah diserap.
- Kurang membuang air besar dan mungkin berhari-hari tidak membuang
- Sakit di bahagian perut terutama di bahagian kiri ari-ari
- Kerap buang angin
- Terasa pedih hulu hati atau angin
- Usus tidak rasa kosong selepas membuang
Bagaimana untuk atasi sembelit ketika hamil?
Lebih baik atasi sembelit sebelum berlaku. Jika tidak dapat dielak, berikut adalah cara hilangkan sembelit ibu hamil.
- Pengambilan makanan berfiber. Dapatkan makanan yang mengandungi fiber yang tinggi. Makanan ini melawaskan pembuangan air besar secara semulajadi. Makanan yang mengandungi fiber tinggi terdiri daripada bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang. Jika ada alahan pada kekacang, elak mengambilnya.
- Minum air secukupnya. Perubahan hormon mengakibatkan berlaku perubahan pada usus seperti yang diterangkan di atas. Kurang minum air memburukkan keadaan. Pastikan minum air mencukupi. Dapatkan 2 ke 3 liter air sehari. Minum dalam sela waktu tertentu sepanjang tempoh 24 jam. Jangan minum banyak sekaligus.
- Bersenam bagus untuk kesihatan ibu hamil. Ia turut membantu mengatasi masalah sembelit. Senaman paling mudah boleh dibuat adalah dengan berjalan. Lakukan setiap hari atau sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Ada pelbagai senaman lain yang sesuai untuk ibu hamil. Elak lakukan senaman lasak.
- Apabila terasa ingin membuang, jangan tunggu dan tahan. Segera ke bilik air. Menahan akan menyebabkan najis menjadi keras dan perlu meneran dengan kuat ketika membuang.
- Elak makanan makanan seperti daging yang tinggi lemak, tenusu, makanan manis, makanan sejuk beku dan makanan yang diproses. Makanan diproses ini termasuklah makanan segera dan biskut. Selain itu elak makanan yang sukar dihadam.
Ubat pelawas tidak digalakkan diambil ketika ini. Ia boleh menyebabkan kontraksi dan dehidrasi kepada ibu. Namun doktor akan menasihatkan apa yang perlu mengikut keadaan ibu hamil.
Kedudukan di tandas ketika membuang
Dahulu rumah banyak menggunakan tandas cangkung. Cara mencangkung memudahkan pembuangan air besar. Kini kebanyakan rumah hanya ada tandas duduk.
Apa yang boleh dibuat ialah beli bangku kecil untuk diletakkan dibawah kaki bagi meninggikan kaki seolah dalam keadaan mencangkung. Tunduk badan ke hadapan. Ketika membuang jangan paksa dan meneran dengan kuat. Selain itu, sebelum membuang minum segelas air, ia mungkin membantu.
Boleh ke elak sembelit ketika hamil?
Untuk mengelak sembelit, lakukan perkara yang sama untuk atasi masalah sembelit di atas. Amalkan langkah-langkah di atas sebelum berlaku sembelit. Biasanya dalam pantang lebih ramai yang mengalaminya dan sukar di elak. Tetapi ketika hamil ianya lebih mudah dielak dan dapat mengurangkan sembelit semasa berpantang. Dapatkan air yang mencukupi dan diet makanan yang seimbang serta mengandungi fiber yang tinggi. Lakukan aktiviti seperti berjalan dan bersenam. Elak makanan yang menyebabkan sembelit.
Adakah memberi kesan kepada bayi jika meneran kerana sembelit?
Kebiasaannya ia tidak memberi kesan kepada bayi dalam keadaan normal jika tiada masalah kehamilan. Ia tidak merbahaya kepada bayi, namun kesan meneran boleh menyebabkan berlakunya buasir yang menyakitkan. Jika ada masalah kehamilan, doktor akan pantau dan beri panduan apa perlu dilakukan.
Apakah yang terjadi jika sembelit berterusan?
Jika sembelit berlaku berterusan ia boleh menyebabkan buasir. Buasir boleh terjadi semasa trimester ketiga kesan tekanan daripada rahim yang membesar. Ketika ini berlaku peningkatan aliran darah ke kawasan pelvis, ia menyebabkan urat di dinding rektum membengkak dan membonjol.
Apabila berlaku sembelit, najis yang keras dan meneran yang kuat ketika membuang akan memberi tekanan pada urat di kawasan rektum dan memburukkan lagi keadaan.
Jika tidak dibendung sembelit dan buasir akan menjadi lebih teruk akibat meneran semasa bersalin. Dalam kesakitan bersalin anda alami juga sakit buasir. Dan ia berterusan semasa dalam pantang. Ia menjadi tekanan perasaan kepada ibu, dalam keadaan proses penyembuhan, perlu menjaga bayi, berlaku pula kesakitan akibat sembelit dan buasir. Langkah yang terbaik adalah mengawal sebelum terjadi atau pastikan sembuh sebelum bersalin.
Bila perlu berjumpa doktor?
Pergi berjumpa doktor jika mengalami sembelit yang berterusan dan berlaku buasir. Jika mengalami sembelit dan diikuti sakit perut dan berselang seli dengan cirit birit, jumpa doktor. Mungkin ada masalah lain.