Bertangas ketika berpantang merupakan salah satu amalan pantang selepas bersalin. Namun bertangas ketika berpantang amalan yang jarang dilakukan oleh ibu. Ini kerana ia memerlukan bekas tangas untuk melakukannya.
Amalan perbidanan melayu ini telah lama wujud sebelum wujud perubatan moden untuk mengatasi masalah yang di alami oleh ibu-ibu dalam pantang. Amalan dahulu kala lebih kepada mencegah daripada berlaku. Oleh kerana tiada kajian terperinci, hanya berdasarkan testimoni turun-temurun, amalan ini semakin ditinggalkan. Lebih-lebih lagi sekarang ada yang mengamalkan secara ikutan tanpa mengetahui cara yang betul.
Isi Kandungan
Apa itu amalan bertangas ketika berpantang?
Rawatan bertangas ini konsepnya hampir sama seperti sauna. Bezanya dengan sauna, selain wap ke bahagian badan, bertangas dilakukan dibahagian alat sulit juga. Apabila bertangas termasuk di bahagian faraj, ia akan mengeluarkan darah bayam, iaitu sisa darah nifas yang menyebabkan badan menjadi bisa dan sakit jika tidak dikeluarkan. Pengeluaran ini membersihkan rahim dari sisa-sisa darah nifas.
Rawatan bertangas ketika berpantang dimulakan selepas darah mula mengering, iaitu hari ke 30. Ia diteruskan sehingga ke 100 hari. Ketika ini hanya tinggal sisa-sisa darah. Tidak perlu dilakukan sebelum 30 hari.
Ia tidak terhad kepada ibu dalam pantang. Bertangas selain dilakukan dalam pantang, ia boleh juga dilakukan setiap kali selepas haid. Bertangas semasa haid lebih kurang sama seperti bertangas selepas bersalin.
Ada tukang urut yang turut menyediakan pakej lengkap mengurut, bertungku dan juga rawatan bertangas. Namun jika berminat untuk menggunakan dalam masa panjang, iaitu ketika pantang dan setiap kali lepas haid dapatkan set bertangas sendiri.
Kebaikan bertangas
Khasiat tangas mempunyai kebaikan kepada ibu dalam pantang.
- Membantu penyembuhan otot-otot faraj dan rahim – Ia membantu proses penyembuhan dan pengecutan otot-otot faraj dan rahim. Dalam jangka masa panjang ia dapat menghindari daripada penyakit puan seperti keputihan, saluran sulit yang longgar, rahim rendah dan prolaps.
- Singkirkan toksin daripada badan – Apabila bertangas, badan akan berpeluh. Toksin akan keluar daripada badan melalui peluh.
- Memperkemas kedudukan rahim serta menjaga kesihatan pangkal rahim dan rahim.
- Menghasilkan kelembapan dan kekejapan di bahagian faraj.
- Mengurangkan bau badan. Penggunaan bunga-bungaan dan daun-daun yang wangi akan mewangikan bau badan dan mengurangkan bau yang tidak menyenangkan.
Bertangas kering
Cara bertangas ketika berpantang dimulakan dengan bertangas kering. Bertangas kering juga dikenali sebagai tangas herba. Ia dikenali sebagai tangas kering kerana tidak menggunakan rebusan rempah ratus dan herba. Ia hanya menggunakan batu sungai yang direnjis herba-herba. Antara bahan yang boleh digunakan adalah jintan hitam dan ibu kunyit. Wap daripada campuran herba terkena batu sungai yang panas ini digunakan untuk bertangas.
Cara bertangas kering
- Panaskan batu sungai di atas api
- Kemudian batu sungai yang telah dipanaskan akan dicampurkan atau direnjis ramuan tangas. Boleh letak batu didalam periuk tanah.
- Letakkan ke dalam bekas/tong tangas
- Duduk di atas bekas/tong tangas dengan cara membuka dua kaki secara luas iaitu mengangkangkan kaki serta tunduk sedikit badan.
- Periksa terlebih dahulu suhu sebelum duduk untuk memastikan suhu tidak terlalu panas.
- Ketika bertangas, amalkan senaman kemutan otot rahim untuk kekuatan otot saluran sulit dan rahim. Senaman ini adalah seperti menahan kencing iaitu melakukan kemutan. Kira sehingga 20 dan lepas. Ulang semula langkah ini.
- Bertangas dibuat dengan menyelubungi seluruh badan dengan kain daripada paras leher ke paras lantai agar wap tangas kena pada keseluruhan badan.
Rawatan ini dilakukan selepas hari ke 30 bersalin selama 10 hari berturut-turut apabila darah nifas telah kering . Rawatan ini dapat mengeluarkan sisa toksin dan merawat luka.
Jika selepas haid boleh dilakukan selepas hari ke 6, selama 3 ke 7 hari (bermula hari ke 6 sehingga hari ke 9 atau sehingga hari ke 13).
Bertangas basah atau wangi
Kemudian bertangas diteruskan dengan bertangas basah. Ia dikenali juga bertangas wangi. Bertangas basah dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap dan kejab di bahagian alat sulit. Ia juga dapat mengelakkan kelesuan kulit dan bau badan.
Ia dilakukan dengan merebus ramuan rempah ratus dan herba. Wap daripada rebusan ini digunakan untuk bertangas. Ramuannya menggunakan bunga-bungaan, daun pandan dan limau purut yang mewangikan badan.
Bertangas ketika berpantang cara ini dimulakan selepas selesai tangas kering iaitu selepas hari ke 40. Ia diamalkan sehingga hari ke 100.
Jika selepas haid boleh dilakukan selepas selesai bertangas kering.
Cara bertangas basah
- Rebus ramuan herba iaitu bunga-bungaanm daun-daun dan limau purut yang dipilih di dalam periuk tanah.
- Letakkan ke dalam bekas/tong tangas
- Duduk di atas bekas/tong tangas dengan cara membuka dua kaki secara luas iaitu mengangkangkan kaki serta tunduk sedikit badan.
- Periksa terlebih dahulu suhu. Jika terlalu panas biarkan sejuk sedikit. Anda tidak mahu melecur pula dibahagian sulit.
- Ketika bertangas, amalkan senaman kemutan otot rahim untuk kekuatan otot saluran sulit dan rahim. Senaman iaitu seperti menahan kencing.
- Selubung seluruh badan dengan kain daripada paras leher ke paras lantai
- Untuk mengekalkan kepanasan, boleh letak lilin atau arang di bawah bekas berisi ramuan.
Cara pilih bekas atau tong tangas
Di pasaran terdapat pelbagai jenis. Ada jenis plastik yang lebih murah harganya. Namun sebaiknya guna bekas yang diperbuat daripada bahan semulajadi seperti kayu untuk elak kesan sampingan. Tetapi harganya agak mahal jika dibandingkan dengan plastik.
Apabila bertangas, ia menggunakan haba yang panas. Bekas tangas yang diperbuat daripada kayu tidak bertindak balas dengan suhu panas. Biasanya plastik akan bertindak balas dengan kepanasan dan mengeluarkan toksik, jadi mungkin menimbulkan isu kesihatan lain. Jadi pilihan tangas sebaik-baiknya guna bahan semula jadi seperti kayu.
Saiz bukaan lubang di tengah kecil sahaja. Ukuran 10 cm ke 15 cm sahaja. Bahagian bawah hendaklah bertutup sepenuhnya . Ia bertujuan agar wap berkumpul dan terus ke bahagian alat sulit. Jika terlalu besar dan terbuka ia kurang berfungsi untuk alat sulit. Ia berbeza dengan sauna yang hanya memanaskan badan.
Disebabkan ia bertutup dan hanya mempunyai lubang yang kecil, bekas ini hendaklah mempunyai pintu untuk memudahkan memasukan bahan tangas. Dalam keadaan panas ia menyukarkan untuk memasukkan bahan tangas jika tiada pintu.
Ia dibuat rendah supaya ketika duduk posisi adalah seperti mencangkung dan terkangkang untuk memastikan wap dapat masuk dengan sempurna ke alat sulit. Jika ianya sengaja dibuat tinggi untuk keselesaan, ia kurang berfungsi.
Rawatan di NR SPA ada menyediakan rawatan bertangas. Boleh dapatkan pakej lengkap bertungku, berurut dan bertangas ketika berpantang.
Sumber rujukan – Ensiklopedia Perbidanan Melayu