Bertungku selepas bersalin salah satu amalan pantang bersalin dalam masyarakat melayu. Bertungku bukan sahaja menjadi amalan masyarakat melayu, terdapat masyarakat lain termasuk barat yang melakukannya. Antara alatan yang digunakan adalah batu. Ia dipanggil ‘hot stone massage’. Spa-spa kecantikan menggunakan batu yang dipanaskan sebagai untuk mengurut pelanggan mereka.
Isi Kandungan
Apakah itu rawatan bertungku dan bertuam?
Bagi masyarakat melayu, bertungku dan bertuam telah diamalkan sejak dahulu kala. Dahulu lebih banyak menggunakan batu sungai atau tanah liat. Tungku yang diperbuat dari besi tahan lama dan tidak mudah pecah. Batu sungai atau tanah liat mungkin akan pecah selepas dipanaskan dengan kerap.
Batu ini dipanaskan dan ditekap ke seluruh badan secara lembut. Haba dari bahan itu membantu melancarkan pengaliran darah serta dapat melegakan otot-otot yang tegang. Apabila darah mengalir dengan lancar, oksigen dapat sampai ke seluruh badan dengan sempurna. Kesannya badan terasa sihat, segar dan membantu proses penyembuhan.
Oleh kerana fungsinya melancarkan pengaliran darah, tidak hairanlah ia turut digunakan oleh masyarakat lain di dunia. Mungkin cara dan namanya berbeza, namun fungsinya lebih kurang sama. Penggunaan ‘hot stone’ sama konsepnya iaitu memanaskan batu dan badan diurut dengan batu tersebut. Ia dikatakan dapat melegakan ketegangan otot, mengurangkan stres, menguatkan sistem imun badan dan lebih jauh lagi dikatakan mampu mengurang simpton kanser. Mereka menggunakan pelbagai jenis batu semulajadi termasuk batu gunung berapi. Batu gunung berapi dipercayai mempunyai khasiat tertentu serta mampu tahan panas lebih lama.
Jadi bertungku dan bertuam ini terbukti mempunyai kebaikannya. Ia menjadi masalah apabila mereka yang menawarkan perkhidmatan dalam pantang tiada ilmu dan tidak pandai merawat cara yang betul. Walau rawatan ini nampak mudah dan tiada yang memudaratkan, jika salah lakukannya, ia boleh mengakibatkan kecederaan dan menjadi masalah. Ini berpunca dari mereka yang sekadar ingin mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan semata tanpa memikirkan kesihatan pelanggan mereka. Oleh itu, pastikan mereka yang betul mahir sahaja melakukan rawatan ini.
Bertuam selepas bersalin
Kita biasa dengar bertuam dan bertungku. Agak keliru, adakah ia sama atau ada perbezaannya.
Bertuam lebih kurang sama dengan bertungku. Bezanya ia dilakukan dengan lebih lembut dan tidak ditekan dengan kuat. Ia menggunakan batu yang diperbuat daripada tanah liat atau batu sungai. Batu ini lebih ringan.
Manakala tungku menggunakan besi yang lebih berat, antara 2 kg ke 5 kg. Namun jika ada salah satu boleh guna mana-mana sahaja. Andai guna tungku besi pilih yang tidak terlalu berat supaya tidak terlalu menekan secara kuat.
Ia dilakukan dua minggu pertama selepas bersalin. Ketika ini tidak perlu bertungku. Dua minggu pertama rahim tidak boleh ditekan dengan kuat. Lakukan tuaman secara lembut ke seluruhan badan
Tujuan bertuam
Tujuan tuaman adalah untuk melembutkan urat yang tegang dan melancarkan pengaliran darah. Selepas bersalin otot-otot dan urat berada dalam keadaan tegang. Jika terus bertungku dengan kuat boleh memburukkan keadaan otot dan urat yang masih tegang. Bagi mereka yang tiada ilmu, akan terus bertungku dengan kuat dan lebih parah lagi sudah melakukan cungkil di rahim. Ini akan merosakan rahim yang masih bengkak dan lemah.
Rawatan bertuam dilakukan terlebih dahulu sebelum berurut. Ini bertujuan melembutkan urat-urat terlebih dahulu dan tidak berlaku kejutan pada urat. Jika terus mengurut akan berlaku kejutan kepada urat dan boleh mengakibatkan demam urat. Tanda-tanda demam urat adalah badan terasa seram sejuk, sakit pada sendi dan otot. Badan jadi lemah dan tidak bermaya. Oleh sebab itu, adalah penting hanya mereka yang mahir melakukannya mengetahui keadaan badan pelanggan samada sesuai diurut atau tidak selepas tuaman dibuat. Keadaan ibu dalam pantang tidak sama antara satu dan lain.
Cara bertuam
Panaskan dulu batu tuam terlebih dahulu. Biasanya batu tuam ini tahan panas dalam 10 ke 15 minit. Jika ingin lakuakn tuaman lebih lama, boleh panas semula atau pakai dua batu. Semasa bertuam, satu batu lain dipanaskan.
- Panaskan batu tuam. Alas batu ini dengan daun mengkudu hutan dan letakan campuran herba untuk tuaman. Balut batu ini dengan kain yang sesuai.
- Sapu minyak pada keseluruhan badan.
- Tuam badan dengan batu tuam yang telah dipanaskan.
- Tekan dengan pelahan-lahan. Mula di hulu hati, turun ke bawah hingga ke tapak kaki. Kemudian ulang semula proses ini.
- Dilakukan dua kali sehari, di waktu pagi dan petang
Bertungku selepas bersalin
Selepas selesai rawatan tuaman selama dua minggu, baru dilakukan pula bertungku. Bertungku dilakukan sehingga 44 hari. Jangan cungkil rahim sebelum 44 hari. Ini boleh menyebabkan rahim tidak kembali ke tempat asalnya. Jika tidak pandai, jangan sekali-kali melakukannya sendiri. Pastikan hanya mereka yang mahir sahaja melakukannya. Pilih orang yang benar-benar mahir dengan mendapatkan testimoni.
Bertungku adalah menggunakan tungku besi. Berat yang biasa digunakan antara 2 kg ke 5 kg. Terdapat samada jenis tungku besi bulat atau panjang. Tungku besi ini dipanaskan. Biasanya besi tahan panas lebih lama. Balut dengan menggunakan kain. Sebelum tungku, rasa suhu dengan meletakkan sekejab dan diangkat segera. Pastikan kepanasan yang sesuai agar kulit tidak melecur.
Tujuan bertungku
Tujuan bertungku adalah untuk mengeluarkan darah nifas yang berketul (darah bantal) dan angin toksin. Ia juga membantu memecahkan lemak.
Cara bertungku
- Panaskan tungku besi. Alas batu ini dengan daun mengkudu hutan dan letakan campuran herba untuk bertungku. Balut batu ini dengan kain yang sesuai.
- Sapu minyak pada keseluruhan badan.
- Tuam badan dengan tungku besi yang telah dipanaskan.
- Tekan dengan pelahan-lahan. Bertungku bermula di hulu hati, turun ke bawah hingga ke tapak kaki. Kemudian ulang semula proses ini.
- Dilakukan dua kali sehari, di waktu pagi dan petang
Rahim telah kembali ke tempatnya bila tungku besi ‘ tengelam’ pada tempat tertentu ketika bertungku. Bidan atau tukang urut akan kenalpasti perkara ini.
Bolehkan dilakukan jika bersalin secara pembedahan
Boleh tuam dan tungku selepas bersalin secara pembedahan. Namun boleh elakkan di bahagian luka pembedahan.
Peringatan!
Rawatan ini tidak dinafikan mempunyai kebaikannya. Mengetahui cara yang betul turut membantu jika tukang urut melakukan kesalahan. Dapatkan rawatan daripada mereka yang mahir dan dipercayai.
Mencari tungku besi atau tungku herba, sila klik di sini.
Saya secara peribadi menyarankan tukang urut dari NR (Nona Roguy). Mereka adalah tukang urut yang terlatih. Ada pakej-pakej untuk ibu dalam pantang. Boleh layari facebook NR Spa & Consulatation untuk maklumat lanjut. Saya sememangnya menggunakan perkhidmatan mereka semasa dalam pantang. Walau bukan dalam pantang atau ada masalah sakit badan saya akan merujuk mereka.