Bersalin normal atau pembedahan? Ibu yang bakal bersalin kali pertama pasti timbul pelbagai perasaan. Terutama apabila mendengar cerita pengalaman ibu-ibu yang pernah bersalin normal.
Saya lalui empat kali bersalin, tiga secara normal dan satu secara pembedahan. Bersalin kali pertama, anak kembar dan lahir secara normal. Saya sejak awal memilih untuk bersalin secara normal. Bersalin secara normal lebih mudah ketika dalam pantang dan cepat sembuh. Ketika bersalin anak ke empat, tangannya keluar dahulu. Jadi untuk tidak menanggung sebarang risiko saya pilih untuk bersalin secara pembedahan.
Isi Kandungan
Apakah bersalin normal?
Proses bersalin normal adalah kelahiran melalui faraj. Proses kelahiran ini berisiko rendah dan lebih ramai melalui cara ini. Proses ini lebih selamat untuk ibu dan bayi jika tiada masalah.
Proses bersalin ini berlaku samada
- Bersalin secara spontan – proses kontraksi dan bukaan serviks berlaku tanpa bantuan ubat-ubatan
- Bersalin secara induce – ubat diberikan untuk membantu memulakan kontraksi dan bukaan serviks
- Bersalin dengan bantuan – menggunakan alat bantuan seperti forcep atau vakum. Alat ini mungkin digunakan untuk bersalin secara spontan atau induce jika diperlukan.
Ada tiga peringkat yang perlu dilalui oleh mereka yang melalui proses bersalin normal. Masa diambil bergantung kepada individu. Ada hanya mengambil masa 2 ke 3 jam, dan ada sehingga 24 jam untuk selesai peringkat ketiga.
Peringkat pertama – Kontraksi
Peringkat pertama adalah peringkat berlakunya kontraksi dan persediaan badan untuk bersalin. Peringkat ini berlaku dalam 3 tahap.
Tahap Awal
Di tahap awal ini, serviks atau dikenali juga sebagai pangkal rahim akan menipis dan terbuka. Perlu kenalpasti samada kontraksi ini adalah kontraksi palsu iaitu kontraksi Braxton Hicks atau kontraksi sebenar. Serviks akan buka sehingga 5 sentimeter.
Kontraksi tidak terlalu kuat dan masih mampu tahan kesakitan. Kekerapan kontraksi antara 5 ke 15 minit dan berlangsung selama 40 ke 60 saat. Proses ini mungkin berlaku antara 8 ke 12 jam. Namun ada juga melalui dalam jangka masa lebih pendek 2 ke 3 jam. Jadi jika mula alami kontraksi jangan ambil mudah. Jika pernah dengar mereka yang bersalin ketika dalam perjalanan, ini disebabkan tempoh peringkat pertama berlaku dalam tempoh singkat.
Tahap Aktif
Ketika ini berlaku kontraksi yang kuat dan lebih kerap. Ia berlaku setiap 3 minit dan rasa kontraksi selama 1 minit. Bukaan serviks semakin besar.
Jika ibu tidak tahan sakit ketika ini, dapatkan ubat tahan sakit atau epidural. Kesakitan ini juga boleh dikurangkan secara semulajadi tanpa ubatan dengan menggunakan teknik pernafasan dan visual. Berjalan-jalan di bilik bersalin juga dapat membantu. Ketika datang kesakitan yang kuat, duduk di tepi katil atau bersandar.
Tahap Transaksi
Kontraksi akan semakin kuat, panjang dan kerap. Proses bukaan serviks lapan sentimeter ke sepuluh sentimeter berlaku lebih cepat berbanding sebelum itu. Ini adalah tahap transaksi. Ketika ini berlaku peralihan memasuki ke peringkat kedua. Anda akan terasa seperti sesuatu menekan di dubur anda dan secara semulajadi terasa ingin meneran. Darah mula keluar dengan banyak. Proses ini akan mengambil masa beberapa minit ke beberapa jam.
Jika anda tidak mengambil ubat tahan sakit, kesakitannya amat kuat. Mereka yang berada dikeliling boleh memberi dorongan dan sokongan. Namun tanpa ubat, kesakitan akan mendorong dan mempercepatkan ibu untuk meneran. Jika mengambil epidural, kesakitan tidak kuat menyebabkan ibu kurang berusaha untuk meneran. Doktor akan pantau agar keadaan ibu.
Peringkat kedua – Kelahiran
Bukaan serviks telah berlaku sepenuhnya, sepuluh sentimeter dan proses bersalin akan bermula. Jika bayi masih belum turun sepenuhnya, anda tidak rasa ingin meneran. Hanya apabila bayi telah berada di bawah pelvis, anda akan rasa perlu untuk meneran. Rahim akan terus lalui kontraksi, menekan dan menyebabkan bayi turun ke bawah. Jangan terus meneran. Ini hanya akan meletihkan. Anda dengan sendiri akan terasa seperti perlu meneran dan lakukan ketika keinginan ini berlaku.
Kontraksi datang dan hilang seketika untuk memberi ruang anda bernafas. Setiap kali kontraksi bayi akan ditolak ke bawah dan apabila meneran, bayi akan turun lagi. Akhirnya rambut bayi sudah mula kelihatan. Saat ini faraj akan terasa kesakitan seperti terbakar dan pedih. Tisu bukaan akan semakin mengembang. Jika menghadapi kesukaran doktor mungkin akan melakukan episiotomi iaitu potongan pada faraj. Ini bertujuan untuk memudahkan proses bersalin dan mengelak koyakan lebih banyak.
Seterusnya kepala bayi mula keluar. Semasa ini bidan atau doktor akan memerhatikan samada tali pusat menjeruk leher bayi atau tidak. Seterusnya badan bayi dikeluarkan sepenuhnya. Proses ini akan mengambil masa 30 minit ke sejam bagi yang pertama kali laluinya. Mereka yang pernah bersalin mungkin akan ambil masa 20 minit ke 30 minit.
Sekiranya melalui peringkat dua yang lama dan menghadapi kesulitan, doktor akan membantu mengeluarkan bayi. Doktor akan menggunakan samada forcep atau vakum untuk mengeluarkan bayi. Bantuan ini boleh diberikan bergantung kepada keadaan bayi anda.
Peringkat ketiga – Pengeluaran Uri
Peringkat ketiga adalah pengeluaran uri. Tempoh untuk pengeluaran uri mengambil masa lima ke sepuluh minit. Doktor akan mengusap atau mengurut perut anda disekeliling pusat. Masih berlaku kontraksi ketika ini. Kontraksi terakhir ini penting untuk mengeluarkan uri. Jika uri tidak dikeluarkan menyebabkan risiko kepada ibu.
Kebaikan bersalin normal
Bersalin secara normal memberi kebaikan kepada ibu dan bayi. Sememangnya tidak dapat dinafikan kesakitan amat kuat namun selepas bersalin, ia lebih memudahkan.
- Tempoh sembuh yang lebih cepat
- Penyusuan dapat dilakukan dengan segera
- Kurang risiko ketika mengandung yang berikutnya
- Mengurangkan risiko pernafasan kepada bayi
Sebab tidak boleh bersalin normal
Walau ibu memilih untuk bersalin secara normal, namun tidak semua ibu dapat bersalin normal. Ada perkara yang menyebabkan ia merbahaya kepada ibu dan perlu menjalani pembedahan untuk melahirkan anak.
- Anak songsang
- Mengalami masalah uri
- Mengalami infeksi
- Mengalami penyakit yang kronik
Kelas Antenatal
Bersalin normal adalah proses semulajadi. Ketakutan melampau hanya memburukkan keadaan. Tenang dan fikirkan yang positif. Terdapat kelas bimbingan iaitu Kelas Antenatal yang mengajar apa yang berlaku ketika bersalin dan cara mengawalnya. Kelas ini berguna untuk membantu mempersiapkan diri untuk bersalin, penyusuan bayi dan cara menjaga kesihatan ketika hamil dan berpantang.
Waktu yang sesuai untuk hadir kelas ini adalah ketika kandungan berusia 30 ke 32 minggu. Hadir berdua bersama pasangan. Ilmu ini bukan untuk ibu hamil semata. Bakal ayah perlu hadir untuk turut membantu.
Mencari bengkung untuk ibu bersalin, dapatkan disini. Bengkung ini telah berada dipasaran sejak 2008. Kualiti hebat dan tahan lasak.