Alahan ketika mengandung kerap berlaku kepada ibu di awal kehamilan. Rasa loya dan diikuti pula dengan muntah-muntah. Badan terasa lemah dan tidak bermaya. Alahan ini juga dikenali dengan morning sickness. Kerana ia kerap berlaku di waktu pagi. Walaupun nama morning sickness, namun ia boleh berlaku sepanjang hari.
Isi Kandungan
Alahan atau morning sickness
Hampir 70% ke 80% ibu mengandung akan mengalami alahan atau morning sickness semasa trimester pertama iaitu tempoh 3 bulan pertama kehamilan. Hanya segelintir yang tidak alaminya, beruntunglah mereka ini.
Alahan akan mula dirasai pada minggu ke 6, ketika kehamilan baru dikesan. Ia menjadi semakin buruk ketika minggu ke 10. Biasanya loya dan muntah akan hilang apabila masuk ke trimester kedua pada minggu ke 14 hingga minggu ke 16. Namun ada segelintir ibu menghadapinya sehingga bersalin, dan hilang selepas bersalin.
Alahan biasanya berlaku pada waktu dan boleh berlarutan sehingga petang. Mungkin juga berlaku sebelah petang apabila kepenatan dan alami tekanan emosi. Muntah sekali ke dua kali sehari adalah normal.
Punca alahan ketika mengandung
Punca berlaku loya dan mual ini tidak diketahui. Ia mungkin disebabkan perubahan hormon yang berlaku ketika hamil. Ketika ini berlaku perubahan kepada hormon estrogen dan progesteron. Ia juga mungkin berpunca daripada penurunan gula dalam darah di awal kehamilan. Ditambah pula badan yang keletihan, tekanan emosi dan menghadapi masalah permakanan memburukan lagi keadaan. Perubahan kadar metabolism juga menjadi punca alahan. Ada ibu tidak boleh menghidu bau masakan atau makanan tertentu.
Loya ini boleh jadi lebih teruk jika mengandung anak kembar. Apabila mengandung anak kembar, badan perlu bekerja kerasn untuk menampung 2 atau lebih janin. Jika seorang sudah menyulitkan, 2 atau lebih memberi kesan yang lebih teruk.
Selain itu, ibu mungkin tidak alami alahan tetapi penyakit seperti radang usus dan jangkitan salur kencing menyebabkan seperti alami alahan. Ia mungkin juga berpunca dari keracunan makanan yang telah diambil. Perhatikan gejala yang berlaku
Kita boleh jangka bagaimana keadaan kita semasa mengandung melihat kepada sejarah dalam keluarga. Sekiranya ibu, nenek atau adik beradik kita mengalami alahan, mungkin perkara yang sama akan berlaku.
Gejala alahan
Gejala alahan termasuk rasa loya, hilang selera makan dan muntah. Mengalami pedih ulu hati atau refluks. Rasa lapar tetapi bila makan muntah. Terasa seperti ada sesuatu di kerongkong.
Cara hilangkan alahan mengandung
Perasan tak, ibu mengandung suka makanan masam seperti mangga muda atau kedondong. Ianya seolah sinonim dengan ibu mengandung. Apabila makan masam, ia dapat menghilangkan rasa loya dan mual. Jika dapat hilangkan rasa loya, kuranglah rasa hendak muntah. Ini dapat membantu ibu.
Pil vitamin prenatal
Apabila rancang untuk mengandung, dapatkan pil vitamin prenatal sebelum hamil. Kemudian selepas mengandung dapatkan pil vitamin yang sesuai. Pil vitamin ini mungkin menjadi punca rasa loya. Dapatkan nasihat doktor.
Penjagaan diet pemakanan
Semasa berlaku alahan, makanan yang biasa dimakan sebelum mengandung menjadi penyebab punca alahan. Andai selepas makan keadaan menjadi buruk, elak ambil makanan berkenaan buat sementara waktu sehingga kembali pulih.
Semasa bangun pagi makan sedikit terlebih dahulu seperti biskut. Letak di sebelah katil, jadi bangun pagi mudah untuk makan. Berehat dahulu selepas makan dan baru bangun. Jangan terus bangun dari katil.
Elak makanan yang berminyak, berlemak, bergoreng dan pedas. Makanan begini memburukkan keadaan loya. Cuba ambil roti, buah, sup atau bubur. Makanan ini juga mudah dihadam.
Selain itu, elak makan atau minum dengan terlalu banyak serentak. Makan dan minum sedikit-sedikit tetapi kerap. Ini juga mengurangkan risiko tidak cukup khasiat. Elak minuman berkafein.
Pengambilan halia dapat mengurangkan rasa loya. Boleh dibuat minuman dengan merebus halia. Dalam bentuk kapsul atau boleh dibuat jeruk halia.
Selepas makan elak terus berbaring dalam keadaan perut terasa penuh. Dalam keadaan baring perut berada selari dan kemungkinan akan mudah rasa loya.
Gaya hidup
Bau-bauan boleh menjadi pencetus rasa loya. Ada yang tidak tahan bau pewangi, bau semasa memasak seperti bau minyak atau bau kopi. Elak perkara-perkara yang menjadi pencetus ini. Begitu juga apabila melihat lampu yang berkelip-kelip, rasa mudah terganggu dan menjadi pening. Elak melihat lampu begini.
Kepenatan juga menyebabkan alahan, jadi dapat rehat secukupnya. Jaga emosi agar tidak rasa tertekan. Pastikan bilik berada dalam pengudaraan yang bersih dan baik.
Kesan alahan ketika mengandung
Alahan yang terjadi ini adalah normal jika berlaku secara ringan. Masih boleh dapat makanan dan minuman. Tidak perlu risau kerana masih mendapat nutrisi yang diperlukan.
Keadaan ibu yang muntah berterusan dan tidak mendapat makanan secukupnya akan memberi kesan kepada ibu dan janin. Ibu yang mengalami loya dan muntah yang teruk mungkin mengalami hyperemesis gravidarum (HG). Ibu tidak dapat makan dan minum secukupnya yang boleh menyebabkan dehidrasi, kekurangan zat makanan, kegagalan buah pinggang dan juga boleh menyebabkan kematian. Bayi pula akan mengalami berat badan yang kurang.
Bila perlu jumpa doktor?
Semasa alami alahan, cuba terlebih dahulu cara di atas. Biasanya keadaan akan semakin baik. Tidak perlu berjumpa doktor. Ada ibu yang telah cuba namun tiada perubahan. Apabila alami muntah yang keterlaluan, makan dan minum akan muntah, ini berterusan sehingga 24 jam segera berjumpa doktor. Selain itu, selepas 4 bulan jika masih berlaku muntah, dapatkan bantuan dari doktor. Ia mungkin normal, tetapi lebih baik dapatkan nasihat doktor. Begitu juga jika alami penurunan berat yang mendadak.
Doktor mungkin akan masukkan cecair IV (intravenous) untuk mengelak dehidrasi kepada ibu. Cecair ini mengandungi vitamin dan mineral seperti Vitamin B, C dan zink. Doktor mungkin akan memberi ubat untuk masalah loya dan muntah jika perlu.