Pertanyaan sering bermain di fikiran ibu mengandung, perlu ke pantang bersalin?
Ada beranggapan tidak perlu, kerana badan boleh sembuh dengan sendirinya. Pendapat daripada pengamal perubatan moden menyokong tidak perlu berpantang, makan apa sahaja dan badan akan baik dengan sendiri selepas tempoh tertentu.
Isi Kandungan
Apa itu pantang bersalin?
Sebelum bercerita panjang lebar, jum fahamkan dulu apa yang dimaksudkan pantang bersalin. Pantang bersalin adalah penjagaan ibu yang baru melahirkan anak bertujuan untuk memulih kesihatan ibu. Bayangkan badan telah melalui perubahan, menolak organ-organ dalaman tertentu untuk memberi ruang kepada bayi. Berlaku perubahan hormon semasa hamil, berubah pula selepas bersalin. Badan ini pula membawa bayi selama 9 bulan lebih. Berlaku pula proses bersalin, otot dan servik terbuka sebesar 10 cm untuk beri laluan kepada bayi. Jadi adakah tidak perlu badan berehat dan menjalani pemulihan?
Kenapa ada yang tidak menjaga pantang tetapi masih sihat? Istilah menjaga pantang ini bukan terhad amalan secara tradisional bahkan apa-apa sahaja yang membantu badan pulih. Ia berbeza mengikut kaum dan negara. Amalan mengambil vitamin, senaman yang betul serta mendapat rehat yang mencukupi untuk menjaga kesihatan itu dikira menjaga pantang.
Di negara barat juga mempunyai cara menjaga pantang juga, ia dipanggil penjagaan “Postnatal”. Konsepnya adalah lebih kurang sama iaitu penjagaan kesihatan dan emosi ibu, namun ia juga termasuk penjagaan bayi melalui cara mereka. Perlu jaga pemakanan, perhubungan kelamin dan berehat secukupnya. Pendapat pengamal kesihatan hubungan kelamin sebaiknya tunggu empat ke enam minggu selepas bersalin. Enam minggu lebih kurang sama tempoh kita pantang 44 hari.
Jangan terkejut ada yang mula mengikut cara melayu. Valerie Lyn, asalnya pelanggan saya, beli bengkung dan herba-herba. Dia rakyat Amerika dan pernah menetap di Malaysia. Dia tertarik dengan cara pantang di sini. Apabila pulang ke Amerika dia telah membuka pusat pantang bersalin, Post-pregnancy Wellness dan memperkenalkan cara pantang Malaysia ke masyarakat Amerika. Alangkah ruginya kita pula menolaknya.
Bagi masyarakat melayu mempunyai cara pantang bersalin tersendiri dan telah diamalkan sejak turun temurun yang terbukti berkesan. Ia timbul masalah apabila salah cara amalan. Ramai hanya mengikut tanpa mengetahui tujuan dan cara melakukan dengan betul. Ditambah pula ada orang yang mengambil kesempatan. Misalnya, tukang urut yang mengaku pandai mengurut orang bersalin, namun mengurut cara yang salah. Kesannya ibu semakin sakit.
Kesan akibat tidak menjaga pantang
Kesan tidak menjaga pantang bersalin, ada yang mengalami seawal ketika masih dalam pantang lagi. Ini kerana ibu terus mengabaikan kesihatan dan membuat aktiviti harian seperti biasa. Wujud istilah meroyan dalam masyarakat melayu atau dikenali sebagai ‘baby blues’.
Namun kebiasaanya kesan akan dialami ketika semakin berumur, badan mudah lenguh-lenguh, bisa urat, sendi serta otot, sakit pinggang dan kebas tangan. Ini boleh menyebabkan rasa dingin dan lemah tenaga batin. Lemah tenaga batin tidak berlaku kepada lelaki sahaja, perempuan juga boleh mengalaminya. Keinginan untuk bersama suami menjadi kurang. Rahim juga akan turun akibat proses peneranan yang kuat ketika bersalin. Jika tidak dijaga, boleh menjadi penyebab kepada kerap buang air kecil atau terkencing ketika batuk, ketawa atau bersin.
Kisah tidak menjaga pantang
Kisah 1
Sehari selepas bersalin ibu ini pergi membeli belah. Dalam keadaan masih lemah ia memberi kesan kepada kesihatannya. Kesihatannya merosot, berlaku tumpah darah, muka menjadi biru kehitaman hingga terpaksa ditahan di hospital.
Kisah 2
Pengalaman seorang ibu yang mengalami meroyan ketika masih dalam pantang. Dia menghubungi saya untuk dapat bantuan kerana tidak tahan kesakitan. Bunyi air hujan menitis di bumbung sudah menyebabkan dia derita.
Amalan pantang bersalin mengikut masyarakat melayu
Mengikut amalan tradisional Melayu pantang bersalin adalah selama 44 hari. Ini termasuk menunggu untuk melakukan hubungan kelamin. Dalam islam tiada tempoh begini. Namun penjagaan berdasarkan tempoh tertentu boleh dibuat untuk memastikan badan sembuh tanpa mengaitkan dengan kepercayaan karut. Digalakkan juga meneruskan menjaga pantang sehingga 60 hari atau sehingga 100 hari untuk memastikan rahim pulih sepenuhnya dan melambatkan proses penuaan. Tiada bukti secara saintifik tetapi buktinya ini boleh dilihat melalui mereka yang telah mengamalkannya.
Penjagaan secara tradisional melayu terdapat pelbagai cara mengikut tempat. Ada antaranya kurang sesuai dan tidak patut diamalkan. Amalan minum hanya mengikut sukatan dua ruas jari, amalan makan ikan kering atau ikan bilis sahaja semasa berpantang adalah amalan yang tidak sihat. Amalan pemakanan begini badan lambat sembuh. Malah menjadi punca masalah. Minum terlalu sedikit boleh menyebabkan masalah pada buah pinggang akibat kekurangan air.
1. Mengurut
Urutan dapat membantu memulihkan aliran darah, mengeluarkan angin, serta lendir. Urutan ketika ini bagus untuk mengelak sakit otot, sendi serta saraf.
Mengurut ibu bersalin tidak sama seperti mengurut cara biasa. Urutan perlu mengikut kesesuaian dan tempoh dalam pantang. Terdapat jenis-jenis urutan mengikut tempoh bersalin. Permulaan pantang lebih kepada untuk membelai. Tidak boleh sama sekali mengurut secara kuat terutama dibahagian rahim.
Sengkak adalah urutan menaikkan rahim. Jika tidak mahir akan menyebabkan masalah pada rahim. Pastikan tukang urut mahir dan jika tidak pasti minta tidak dilakukan sengkak.
2. Bertuam dan bertungku
Bertuam dan bertungku adalah berbeza. Bertuam dilakukan lebih lembut dan diamalkan awal pantang. Biasanya menggunakan batu sungai atau tanah liat. Ia bertujuan untuk membuang ketulan darah dan angin dalam badan. Manakala bertungku selepas bersalin dilakukan selepas 2 minggu menggunakan tungku besi. Tungku lebih, dan berat yang sesuai antara 2 kg ke 5 kg.
3. Berlulur
Amalan ini semakin kurang dilakukan. Ia agak leceh dan mengambil masa. Kebaikan melakukan lulur adalah membuang angin dalam badan, membuang daki, memejalkan kulit, mencerahkan semula kulit. Berlulur boleh dibuat samada sebelum atau selepas mandi herba.
4. Mandian herba
Mandian herba bertujuan untuk memulihkan aliran darah dan mengeluarkan angin. Ia juga berfungsi mengeluarkan lendir dan melawaskan darah nifas . Mandian herba ini kebiasaannya menggunakan daun seperti daun serai wangi, daun pandan, daun inai dan daun kunyit. Jika ada jenis daun hutan seperti daun lempoyang, cekur atau kacip fatimah boleh digunakan juga.
Mandian dilakukan selepas mengurut dan bertuam atau bertungku.
5. Berbengkung
Tujuan pemakaian bengkung adalah untuk memberi sokongan kepada perut yang mengembang semasa hamil dan otot-otot menjadi lemah. Pemakaian berterusan dengan cara betul membantu menguruskan badan dan mengempiskan perut. Selain itu, ia bagus mengekalkan posisi ketika menyusu baik.
Pemakaian bengkung boleh digunakan samada bersalin normal atau pembedahan. Ada jenis bengkung yang sesuai dipakai jika bersalin secara pembedahan. Tip mengenai kebaikan bengkung, cara pemilihan bengkung dan cara pakai bengkung di sini. Bengkung dipakai sesudah mandi.
6. Bertangas
Bertangas ketika berpantang adalah dengan melalukan wap ke badan dan alat sulit. Ia berfungsi untuk mengeluarkan peluh dan mengeluarkan toksin dalam badan. Ia membantu penyembuhan alat sulit dan mengecutkan rahim.
Tangas terbahagi kepada dua iaitu tangas kering dan tangas basah. Tangas ini dimulakan pada hari ke 30 dengan tangas kering. Kemudian selepas 10 hari dilakukan tangas basah dan
7. Minuman herba
Air minum herba atau dipanggil ubat periuk adalah air rebusan rempah ratus dan herba tertentu. Ia dijadikan sebagai minuman harian sehingga habis pantang bersalin. Tujuan minuman herba ini adalah untuk untuk membersihkan badan, memulihkan rahim, melawaskan dan membantu membuang lemak berlebihan.
Namun perlu berhati-hati dengan pemilihan herba. Ada herba hanya sesuai diminum selepas tempoh tertentu. Seperti kacip fatimah dan manjakani. Ia berfungsi mengecutkan rahim. 30 hari pertam tidak boleh mengambilnya. Ia menyebabkan pengecutan rahim terlalu awal. Sedangkan masih berlaku pengeluran darah nifas dan menyebabkan pengaluaran tidak lancar. Kesannya badan akan terasa bisa dan sakit.
8. Makanan semasa pantang bersalin
Makanan semasa pantang bertujuan untuk mengembalikan kesihatan badan. Ketika ini badan dalam proses pemulihan. Dengan diet pemakanan yang sihat dapat mempercepatkan pemulihan badan. Kenapa perlu elak makanan berminyak, makanan laut dan makanan yang menyebabkan bisa? Kita sedia maklum makanan ini sebenarnya perlu dikurangkan atau dielak walau ketika sihat. Ia akan menimbulkan penyakit kepada mereka yang sihat. Apatah lagi untuk ibu yang dalam keadaan lemah dan tidak sihat.