Susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi. Penyusuan susu ibu telah menjadi fitrah dan naluri keibuan dalam membesarkan anak-anak.
Isi kandungan
Ayat AlQuran tentang susu ibu
“Dan para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyusui dengan sempurna. Dan kewajiban ayah menanggung makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan ahli waris juga berkewajiban seperti itu juga. Apabila keduanya (suami dan isteri) ingin berhenti penyusuan (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan perbincangan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 233).
Bagi umat islam, ibu digalakkan menyusu anaknya dari lahir sehingga berumur 6 bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur 2 tahun. Kepentingan ini dinyatakan di dalam Al Quran, surah Al-Baqarah ayat 233. Ini menunjukkan susu ibu sangat penting dalam Islam sehingga tercatat dalam Al-Quran.
Ayat ini menunjukkan Allah s.w.t. sangat menyayangi hambanya melebihi ibu menyayangi anaknya. Disebabkan ini, Allah s.w.t. telah memerintahkan ibu-ibu untuk memberi penyusuan susu ibu, kerana itu merupakan fitrah dan naluri mereka. Penyusuan dilakukan selama dua tahun. Jika ingin menyusu kurang dua tahun, berbincang antara suami dan isteri. Jika perkara ini memudaratkan anak, maka hendaklah jangan berhenti sebelum dua tahun.
Selain itu, ayat ini menekankan ayah bertanggungjawab memberi makanan, pakaian dan keperluan yang bersesuaian untuk ibu yang menyusu badan. Perkara ini wajib ke atas ayah itu menunaikan mengikut kemampuannya.
Kisah-kisah nabi yang menyusu badan
Para nabi disusui oleh ibu-ibu yang melahirkan mereka. Ada juga dicari ibu yang dapat menjadi ibu susuan buat mereka. Nabi Muhammad s.a.w disusui oleh ibu baginda iaitu Siti Aminah dan baginda turut disusui oleh ibu susuan baginda bernama Halimahtus Saadiah.
Begitu juga kisah dengan Nabi Musa a.s. yang diceritakan di dalam Al-Quran. Nabi Musa telah dihanyutkan di sungai ketika ibunya sedang cuba menyelamatkannya daripada dibunuh oleh firaun. Firaun telah mencari ibu yang dapat memberi susu kepada nabi Musa a.s. Tanpa disedari Firaun, dia telah mendapatkan ibu nabi Musa yang sebenar sebagai ibu susuannya.
Bagaimana sejarah manusia dapat berkembang kerana susu ibu
Sejarah manusia berkembang sehingga kini kerana penyusuan susu ibu. Bayi membesar dengan susu ibu. Jika terdapat masalah untuk menyusu sendiri, maka akan dicari ibu susuan. Telah menjadi fitrah semua bayi menyusu susu ibunya atau dengan ibu susuan. Bayi akan menyusu sehingga usia 1 ke 3 tahun. Hanya segelintir bangsa yang menyusu sehingga bayi berusia 6 bulan. Kemudian di sambung dengan makanan pejal. Tidak wujud susu formula dalam membesarkan bayi.
Bagaimana susu formula bermula?
Bermula di abad ke 19, masyarakat barat mula memperkenalkan susu tiruan dengan tanggapan susu ini lebih bagus berbanding susu ibu. Susu yang digunakan adalah susu kambing atau susu lembu dengan pelbagai campuran dan cara bancuhan. Namun susu lembu digunakan lebih meluas.
Selain itu, berlaku salah tanggap terhadap susu ibu. Contohnya kolostrum, susu permulaan dianggap kotor dan dibuang. Sedangkan kolostrum amat penting buat bayi. Ini menyebabkan mereka mencari alternatif untuk mengganti susu ibu kononnya untuk memberi susu yang terbaik.
Doktor ketika ini berpendapat penyusuan susu ibu menyusahkan ibu. Ibu akan kepenatan dan tidak cukup tidur. Pendapat ini salah sama sekali. Ini sebenarnya peluang untuk bersama bayi. Ia adalah cara untuk berehat ketika kepenatan. Ini berlaku kerana pelepasan hormon oksitosin, iaitu hormon yang menerbitkan perasaan kasih sayang. Hormon ini akan dirembeskan untuk mengeluarkan susu. Disebabkan hormon ini, ibu mudah tertidur dan dapat berehat ketika memberi susu ibu, bukan kerana kepenatan tetapi kerana rasa tenang.
Setiap tahun pengeluar susu formula berlumba-lumba mengeluarkan susu dengan khasiat baru selaras penemuan mereka dalam susu ibu. Walau apa pun usaha mereka, susu ini tidak dapat menyamai khasiat dan kebaikan yang terdapat dalam susu ibu.
Tidak semua bayi sesuai dengan susu formula. Terdapat bayi yang mengalami masalah intoleransi laktose susu yang terdapat dalam susu formula. Ia menyebabkan bayi kembung perut, cirit birt dan muntah. Oleh sebab itu, diwujudkan susu formula khas untuk situasi bayi begini. Dan tentunya harga lebih mahal.
Pada tahun 2008 ada kes menggemparkan seluruh dunia di China, melamina dicampurkan ke dalam susu formula bayi. Ia sengaja diletakkan oleh pengeluar yang tidak bertanggungjawab menyebabkan ramai bayi mati. Pada tahun 1990 an, pernah gempar penyakit lembu gila. Timbul kerisauan adakah susu yang diambil oleh anak itu selamat atau tidak. Cara penyedian susu yang salah juga akan memberi kesan. Air yang tercemar boleh merosakkan campuran susu. Susu formula juga dikhuatiri tercemar dan mengandungi bakteria.
Menyusu badan kembali popular
Keadaan mula berubah apabila pada tahun 70 an, susu ibu kembali mendapat tempat di kalangan masyarakat barat. Perubahan ini berlaku selepas diperkenalkan polisi memberi hak kepada ibu untuk tinggal bersama bayi selepas bersalin bagi tujuan penyusuan susu ibu tanpa gangguan jururawat dan pemberian susu formula.
Pada pertengahan 80 an, ramai wanita mula bekerja. Akibatnya penyusuan susu ibu tidak dapat dilakukan dan kadar turun semula. Hanya selepas 1990, dengan pelbagai sokongan, ia kembali popular sehingga kini.
Kegagalan Penyusuan Susu ibu
Susu ibu telah diketahui kebaikannya namun mengapa kadar penyusuan susu ibu tidak mencapai sasarannya. Dianggarkan kurang 50 % ibu yang meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga 6 bulan. Kebanyakan mereka ini hanya memberi susu selama 1 bulan sebelum mula campur dengan susu formula. Mereka tidak bermotivasi untuk meneruskan penyusuan.
Tidak berhasrat menyusu badan
Masih ramai ibu tidak berhasrat memberi susu ibu kepada bayi. Ibu mungkin terasa susah terutama yang perlu bekerja. Disebabkan terdapat pengganti susu ibu, ibu kurang berusaha untuk menyusu badan. Tambahan pula susu formula digembar-gemburkan secara komersial, kebaikannya seolah-olah sama seperti susu ibu malah ada mengambarkan lebih baik dengan tambahan pelbagai vitamin. Ia bertujuan untuk melariskan jualan susu mereka.
Hakikatnya kebaikan susu ibu berbanding susu formula lebih banyak dan tidak dapat ditandingi susu formula terbaik sekalipun. Semuanya secara percuma. Masih terdapat ibu berfikiran susu formula yang mahal itu yang terbaik.
Kurang sokongan ahli keluarga
Apabila mengetahui kebaikan dan khasiatnya, bakal ibu berhasrat untuk menyusu badan. Selepas bersalin, ibu menghadapi pelbagai cabaran seperti kurang tidur, puting luka, risau bayi tidak cukup susu, bayi yang meragam dan tiada sokongan ahli keluarga. Akhirnya mereka mengalah dan tidak meneruskan penyusuan susu ibu ini.
Sokongan keluarga terutama dari generasi tua yang lahir sebelum tahun 70 an, kurang memberangsangkan. Mereka dibesarkan dengan susu formula dan menganggap susu formula adalah terbaik. Jadi agak sukar mendapat sokongan dari mereka.
Salah tanggapan penyusuan susu ibu
Mengapa terjadi begini? Ini kerana berlaku salah sangka tentang menyusu badan. Ramai menyangka penyusuan akan berjalan lancar walau tanpa mempelajarinya. Ia tidak susah untuk dipelajari. Ini pentingnya hospital rakan bayi yang dapat mengajar cara betul menyusu badan. Ia boleh dipelajari selepas bersalin ketika masih dihospital. Pastikan bertanya jika timbul masalah atau tidak pasti. Jangan malu.
Anda mampu memberi makanan kepada janin dan membesarkannya semasa ia dalam kandungan, adalah tidak mustahil selepas dilahirkan mampu menyusukannya dengan susu ibu. Kerana sogokan pendapat yang salah, menyebabkan timbul kerisauan dan hilang keyakinan untuk memberi susu ibu.
Ada bertanggapan proses penyusuan adalah menyeronokkan tanpa sebarang masalah. Apabila berlaku salah tanggapan begini, ibu kurang bersedia bila perkara sebaliknya terjadi. Mungkin akan berlaku bengkak susu atau puting luka. Tidak tahu apa ingin dibuat dan menjadi trauma.
Jika berlaku bengkak susu, teruskan penyusuan, supaya susu tidak berkumpul dan memburukkan keadaan. Boleh lakukan tuaman sejuk (menggunakan ais atau air sejuk) untuk kurangkan kesakitan. Jangan di urut, ia akan lebih menyakitkan. Jika ingin membuang susu berlebihan guna tangan. Perah secara lembut. Jangan guna mesin perahan susu, ia menyakitkan. Untuk puting yang luka, ada ubat untuk sapuan pada puting. Ianya selamat untuk bayi.
Selain itu, terdapat ibu yang telah berjaya mulakan penyusuan badan, kemudian rasa susu tidak cukup terutama apabila bayi semakin membesar. Susu yang dikeluarkan oleh badan adalah mengikut keperluan bayi. Apabila bayi membesar, badan ibu akan menambah susu yang diperlukan. Ini adalah normal. Dalam masa beberapa hari badan akan menambah susu yang diperlukan kesan stimulasi oleh penyusuan bayi. Andai ditambah susu formula, badan tidak akan mendapat stimulasi dan tidak menambah pengeluaran susu. Jangan stres. Stres hanya menyebabkan susu semakin berkurang.
Masalah penyusuan
Terdapat segelintir ibu mempunyai masalah tidak dapat menyusu bayi kerana tiada susu atau masalah penyakit. Walau mereka telah berusaha menjaga diet dan pemakanan namun masih kurang susu. Jangan bersedih. Perkara ini tidak dapat dielak. Jika dahulu, sebelum wujud susu formula, akan diambil ibu susuan. Jika ada pilihan untuk ibu susuan, boleh memilih untuk mengambil ibu susuan. Jika tiada, pilihlah susu formula yang sesuai dengan bayi anda.