Kini semakin ramai melupakan amalan cukur rambut bayi. Terdapat amalan menggunting beberapa helai rambut bayi atau dipanggil cukur jambul untuk menandakan amalan sunnah ini. Rambut bayi tidak dicukur keseluruhannya sehingga botak. Ini tidak mengikut amalan sunnah. Ini hanyalah adat yang diamalkan oleh orang melayu.
Ada yang memberi alasan takut untuk cukur kerana kepala bayi masih lembut. Ada juga yang risau rambut tidak akan tumbuh semula. Percayalah jika ia sunat, pasti Allah lebih mengetahui kebaikannya. Rebutlah pahala ini.
“Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih (aqiqah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya, dan diberikan nama.”
Isi Kandungan
Hikmah cukur rambut bayi
Rambut bayi ketika lahir dipanggil lanugo. Ia berada di kepala dan badan. Rambut ini tumbuh ketika usia 5 bulan dalam kandungan. Rambut ini akan gugur sendiri dalam masa beberapa minggu.
Dalam Islam disunatkan cukur rambut. Ia mempunyai kebaikan kepada bayi. Ini dapat meningkatkan kesihatan bayi. Rambut ini diselaputi darah ketika dalam rahim. Oleh sebab itu, rambut ini dicukur dan akan tumbuh rambut baru yang lebih kuat. Bayi akan rasa lebih selesa dan liang kulit kepala terbuka. Ia juga dapat memperbaiki pendengaran, pandangan dan menghidu serta membuka selaput kepala.
Bercukur hari ke 7
Bercukur rambut anak sunat dibuat pada hari ke 7. Sunat dilakukan aqiqah terlebih dahulu, kemudian cukur rambut. Namun jika tidak berkemampuan atau tidak bekelapangan melakukan aqiqah boleh cukur rambut terlebih dahulu pada hari ke 7. Kemudian memberi nama anak pada hari ke 7. Masih mendapat pahala kerana melakukan cukur rambut dan menamakan anak. Ia sunnah yang berbeza.
Bercukur dilakukan samada bayi lelaki dan perempuan. Ada pendapat mengatakan anak perempuan tidak perlu cukur rambut. Dalam mazhab Syafie, hukum cukur rambut anak perempuan adalah sunat sama seperti anak lelaki.
Sedekah mengikut berat rambut
Rambut yang telah dicukur akan ditimbang. Berat rambut yang ditimbang ini digunakan sebagai timbangan berapa banyak emas atau perak yang perlu dibeli untuk disedekahkan. Amalan menimbang rambut bayi dan menyedekahkan ini adalah nas dan sunnah nabi juga.
Sedekah ini sebagai menzahirkan kesyukuran dan tanda kegembiraan menyambut anak baru lahir, mendapat keberkatan dan menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.
Walau bagaimanapun jika tidak mampu tidak perlu melakukannya. Sunat kepada mereka yang mampu sahaja.
“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.” Riwayat al-Tirmizi
Tip cukur rambut bayi
Mencukur rambut bayi mudah dan boleh dilakukan sendiri. Berikut adalah cara untuk mencukur rambut bayi. Jika takut atau tidak tahu melakukannya, minta mereka yang biasa mencukur rambut bayi melakukannya.
- Sediakan pisau cukur, bekas berisi air dan tuala.
- Gunakan pisau cukur yang tajam dan mempunyai ciri keselamatan. Pisau tumpul menyulitkan proses mencukur rambut. Tidak perlu membeli pisau cukur yang mahal atau canggih.
- Sediakan bekas berisi air. Masukan rambut yang dicukur ke dalam air. Proses mencukur juga lebih mudah dan rambut dapat dikumpulkan. Ada amalan bidaah yang perlu dielak seperti meletakkan rambut yang telah dipotong ke dalam buah kelapa dengan kepercayaan tertentu. Ini bertentangan dengan amalan Islam.
- Jika rambut bayi terlalu lebat, gunting terlebih dahulu untuk memudahkan cukur.
- Lakukan ketika bayi sedang tidur atau sedang menyusu. Lebih mudah mencukur rambut ketika ini kerana bayi tidak banyak bergerak.
- Jika tidak sempat menghabiskannya, jangan risau. Boleh berhenti seketika. Namun pastikan mencukur sehingga habis. Adalah perbuatan zalim jika tidak mencukur keseluruhan rambut bayi dan membiarkan rambut bayi dalam keadaan tidak sempurna. Cukur sehingga botak.
- Cukur daripada arah hadapan kepala menghala ke belakang kepala. Jika mencukur daripada belakang kepala menghala ke hadapan, rambut baru akan tumbuh menegak atau terpacak.
- Kumpul rambut yang telah dicukur untuk ditimbang. Keringkan terlebih dahulu. Jumlah berat rambut yang telah ditimbang ini digunakan untuk membeli emas atau perak sebagai sedekah
Amalan-amalan yang disunatkan dalam Islam ini mempunyai kebaikan dan hikmah tertentu. Melakukannya ibarat mendapat pahala dengan mudah dan mengajar anak sejak lahir cara hidup Islam. Jangan mudah terpengaruh dengan pendapat-pendapat yang tidak pasti betul atau salah.