Apakah khitan, khatan atau bersunat anak? Semuanya membawa maksud yang sama. Ini merupakan salah satu sunnah nabi dalam menyambut bayi baru lahir. Nabi telah melakukan khitan kepada cucu-cucunya iaitu Hassan dan Hussin. Ini dijelaskan dalam hadis daripada Jabir, Rasulullah melakukan aqiqah dan mengkhitankan cucu baginda Hassan dan Hussin pada hari ke 7
Hadis daripada Jabir, dia berkata : “ Rasulullah s.a.w. mengaqiqah Hassan dan Hussin serta mengkhitan mereka pada hari ke tujuh.”
Isi Kandungan
Apakah khitan, khatan atau bersunat
Ia adalah fitrah yang berkaitan dengan hati dan amaliyah. Ia bertindak sebagai menyucikan hati dan membersihkan tubuh. Dalam masyarakat melayu, khitan dipanggil khatan atau bersunat.
Khitan adalah perbuatan memotong kulit (kulup) yang menutupi kepala zakar (bagi lelaki) dan memotong sedikit hujung kelentit (bagi perempuan). Menurut Imam Shafie hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki dan sunat bagi anak perempuan. Terdapat pelbagai pendapat mengenai berkhitan bagi anak perempuan. Ada yang mengatakan wajib dan ada mengatakan sunat. Namun jika menurut Iman Shafie ia adalah sunat jadi boleh berkhitan dan boleh juga tidak berkhitan. Jadi bergantung kepada ibu dan ayah.
Kulit berlebihan yang menutupi zakar ini jika tidak dibuang akan menyebabkan kotoran berkumpul jika tidak dibersihkan dengan betul. Kesannya zakar mudah dijangkiti kuman dan mendapat penyakit. Dalam Islam mementingkan kebersihan. Jika tidak berkhitan, kotoran akan berkumpul di kulit berlebihan dan menyebabkan sembahyang tidak sah kerana salah satu syarat perlulah suci dari najis. Oleh kerana itu semua lelaki diwajibkan berkhitan.
Sejarah
Menurut sejarah, amalan ini telah dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. Terdapat dua hadis yang menyebut mengenai amalan ini. Hadis yang mengatakan baginda merupakan orang pertama yang melakukannya dan hadis mengenai berkhitan yang dilakukan ketika usia 80 tahun.
Amalan ini menjadi ikutan para nabi sehingga ke Nabi Muhammad s.a.w. Dan amalan ini menjadi ikutan dan amalan umat Nabi Muhammad s.a.w sehingga ke hari ini.
Hikmah
- Asas daripada kebersihan dan merupakan salah satu syariat Islam yang perlu dikerjakan
- Menyempurnakan tuntutan syarak yang sesuai dengan sunah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w.
- Sebagai perbezaan antara orang Islam dan penganut agama lain
- Dari aspek kesihatan ia mendatangkan kebersihan pada zakar dan membebaskan kekotoran yang tersimpan di dalamnya
- Menjaga kesihatan batin serta memelihara dari menghidapi penyakit kelamin
Khitan wajib ketika anak lelaki telah baligh. Ini kerana anak itu wajib melakukan pelbagai ibadah yang memerlukan badan bersih daripada kekotoran. Sebelum baligh, khitan hanya sunat dilakukan.
Teknik
- Teknik Freehand iaitu teknik secara konvensional. Teknik ini perlu melakukan jahitan selepas memotong kulup
- Teknik Clamp iaitu teknik moden. Teknik ini tidak memerlukan jahitan. ‘Clamp’ akan dipasang untuk melindung bahagian yang telah dipotong
- Teknik Sutureless iaitu teknik moden. Teknik ini gam tisu dermabond dan dilakukan tanpa jahitan. Teknik ini jarang digunakan
- Teknik Gun stapler iaitu gabungan clamp dan jahitan dan jarang dilakukan
Sebelum melakukan khatan, berbincang dengan doktor teknik-teknik yang sesuai.
Kebaikan Berkhatan ketika bayi
Masyarakat di Malaysia selalunya melakukan khitan semasa anak telah besar memasuki sekolah rendah. Ketika ini anak sudah dapat mendengar arahan dan menjaga diri. Jarang dilakukan sebelum usia 7 tahun. Namun sebenarnya ianya boleh dilakukan ketika masih bayi.
Mengkhitankan ketika bayi tidak memberi kesan buruk. Biasanya ia dilakukan sebelum usia 3 bulan bagi bayi lelaki. Lebih mudah menjaga ketika ini kerana kurang pergerakan. Bayi masih belum pandai meniarap. Selepas usia itu, agak sukar menjaganya kerana bayi mula meniarap dan banyak pergerakan.
Dengan teknik moden “clamp”, khitan bayi sangat mudah dan penjagaannya juga tidak rumit dan sukar. Doktor hanya mengambil masa 5 ke 10 minit untuk melakukannya. Tempoh sembuh antara 5 ke 7 hari sahaja.
Selain itu, melakukan khitan semasa bayi ini dapat mencegah penyakit yang sering terjadi kepada kanak-kanak seperti jangkitan pada alat sulit, pundi kencing atau ginjal. Cucu-cucu nabi dikhitankan pada usia 7 hari. Jika bayi tidak sihat dan kuat untuk dikhitankan yang boleh menyebabkan masalah, maka jangan dikhitankan bayi ketika ini. Doktor akan menasihati anda jika keadaan tidak sesuai untuk bayi anda.
Pendapat perubatan masyarakat barat
Dalam bahasa Inggeris ia disebut “Circumcision”. Jangan terkejut jika ramai yang bukan beragama Islam melakukannya. Ada yang lakukannya kerana menghadapi masalah dan dicadangkan berkhitan. Namun ada juga ibu bapa yang melakukan prosedur ini kepada anak mereka selepas mengetahui kebaikannya. Orang yahudi juga mengamalkannya.
Kebaikan menurut kajian yang dilakukan
- Mengelak infeksi saluran kencing
- Mengelak berlaku kanser zakar
- Mengawal transisi penyakit seksual
- Pencegahan keradangan glans dan radang kelenjar dan kulup
- Pencegahan phimosis (ketidakupayaan untuk menarik balik kulup) dan paraphimosis (ketidakupayaan untuk mengembalikan kulup ke asalnya)
Secara keseluruhannya perintah Allah ini memberi lebih banyak kebaikan. Dengan pelbagai kajian yang dilakukan, membuka mata hikmah bersunat ini. Kerana itu wajib untuk setiap lelaki yang akhil baligh melakukannya.
Untuk bacaan lanjut mengenai amalan ketika anak dilahirkan sila klik di sini