“Memberi susu ibu mungkin bukan pilihan untuk setiap ibu, namun susu ibu adalah pilihan terbaik untuk setiap bayi.”
Isi Kandungan
Fitrah Menyusu Badan
Menyusu badan adalah fitrah seorang ibu dalam membesarkan anaknya. Penyusuan susu ibu merupakan susu terbaik untuk kesihatan bayi. Namun kurang separuh daripada keseluruhan bayi di beri susu ibu di bawah usia 6 bulan.
Dengan wujudnya susu formula, sebagai pengganti susu ibu, membuatkan ibu kurang berusaha untuk penuhi kehendak semulajadi bayi itu. Berlaku salah tanggap mengenai menyusu badan yang memburukkan keadaan.
Kandungan susu
Kandungan susu yang diterima oleh bayi berbeza-beza sepanjang penyusuan. Di awal penyusuan, bayi akan menerima susu ‘Foremilk’ iaitu lebih cair dan rendah lemak. Seterusnya bayi akan menerima susu ‘hindmilk’ iaitu tinggi kandungan lemak. Susu ‘hindmilk’ ini akan keluar selepas 15 minit menyusu. Susu ini akan mengenyangkan bayi. Disebabkan perbezaan kandungan ini, susu yang diperah akan membentuk dua lapisan selepas disimpan.
Kebaikan susu ibu kepada bayi
Di dalam susu ibu terdapat antibodi hidup yang dapat melawan bakteria dan virus. Bayi baru lahir perlukan antibodi ini kerana badan mereka belum matang untuk melawan jangkitan.
Kolostrum, susu permulaan yang dikeluarkan pada hari pertama sehingga ke hari ketiga mengandungi antibodi (IgA) yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan alahan. Kolostrum ini tinggi kandungan protein dan rendah kandungan lemak dan gula. Ia berwarna kekuningan. Ia dipanggil “Cecair Emas” kerana warnanya keemasan dan sangat berkhasiat untuk bayi.
Suatu ketika dahulu kolostrum dianggap kotor dan tidak sesuai untuk diberi kepada bayi. Maka kolostrum dibuang. Selepas dibuat kajian lanjut, ia sebenarnya amat berguna kepada bayi. Andai makanan pertama bayi adalah kolostrum, ia akan menjadi lapisan pelindung dalam usus bayi yang dapat menghalang protein asing dan micro organism daripada masuk ke dalam badan bayi. Ini akan mengurangkan risiko alahan dan infeksi. Jika bayi diberi air suam atau susu formula, lapisan ini akan hilang. Oleh kerana itu, jangan sesekali memberi air suam atau susu formula. Ada beranggapan selepas menyusu bayi perlu diberi air suam. Ianya tidak perlu.
Kolostrum juga bersifat laksatif iaitu pelawas. Bayi baru lahir perlu membuang najis berwarna hitam. Susu ibu dapat melawaskan pembuangan najis bayi. Ini dapat membuang bilirubin dalam badan iaitu penyebab jaundis pada bayi baru lahir.
Perbandingan susu ibu dan susu lembu, komposisi susu ibu dan susu lembu berbeza daripada segi pecahan lemak, protein dan laktosa. Susu lembu lebih banyak protein tetapi kurang laktosa berbanding susu ibu. Protein yang berlebihan ini menimbulkan kesukaran kepada buah pinggang bayi yang belum matang untuk membuangnya daripada badan. Selain itu, terdapat perbezaan dalam kandungan protein itu. Kandungan kasein dalam protein susu lembu amat tinggi iaitu 80% berbanding hanya 40% dalam susu ibu. Ini menyebabkan susu lembu sukar dihadam.
Perbandingan Susu Ibu dan Susu Lembu
Pecahan komposisi susu ibu itu sendiri berbeza ketika di peringkat kolostrum atau pengeluaran susu awal serta susu akhir di peringkat susu matang. Pengeluaran susu adalah mengikut keperluan bayi. Kandungan protein dalam kolostrum adalah lebih tinggi berbanding susu matang. Susu matang, kandungan susu awal dan akhir juga berbeza, di mana susu akhir lebih banyak mengandungi lemak yang mengenyangkan bayi.
Suus ibu dapat mengurangkan risiko alahan dan asma kepada bayi. Oleh kerana susu ibu mengandungi mikrobiota ibu, hormon, nutrien dan faktor pertumbuhan yang mempengaruhi perkembangan paru-paru dan sistem imun, ia memberi kesan sama ada kanak-kanak menghidap asma atau tidak.
Dapat mengurangkan masalah gigi dan ortodontik kepada bayi. Penyusuan susu ibu akan mempengaruhi perkembangan gigi yang sihat dan tumbuh menegak. Gigi anak tidak perlu dibetulkan.
Penyusuan susu badan dapat mengurangkan berlaku berat badan berlebihan atau obes dan kurang terdedah kepada diabetes di kemudian hari. Ia juga dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit seperti pneumonia, jangkitan usus, cirit birit, jangkitan saluran kencing dan jangkitan telinga pada bayi
Terdapat bukti susu ibu berintregrasi dengan perkembangan otak bayi. Jadi kanak-kanak yang diberi susu ibu akan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam ujian kecerdasan.
Kebaikan susu ibu kepada ibu
Dari segi kesihatan ia dapat membantu mempercepatkan pengecutan rahim. Apabila bayi menyusu, ia akan mengaktifkan hormon oksitosin. Hormon ini akan menyebabkan kontraksi kepada rahim. Kontraksi ini mengecilkan saluran darah dan membantu mengelakkan tumpahan darah.
Selain itu, penyusuan ini akan mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari. Penyusuan akan mengurangkan hayat kitaran haid. Ia dapat mengubah pendedahan kepada hormon tertentu seperti androgen, yang boleh mempengaruhi risiko mendapat kanser.
Mempercepatkan proses pengurangan berat badan. Lemak berlebihan yang tersimpan ketika hamil akan digunakan sebagai tenaga dan nutrisi untuk pengeluaran susu. Badan kurus dengan lebih cepat.
Penyusuan susu ibu sepenuhnya menyebabkan proses ovulasi dan period berlaku lewat dan mampu menjarakkan kehamilan untuk 6 bulan pertama. Sekiranya penyusuan waktu malam adalah kurang, ini tidak membantu menjarakkan kehamilan. Penyusuan sepenuhnya dilakukan dengan kerap siang dan malam untuk tujuan ini.
Penyusuan dapat mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak. Ketika penyusuan, bayi akan didakap oleh si ibu. Pandangan mata si bayi juga akan tertumpu kepada ibunya. Sebaik sahaja bayi dilahirkan anda patut memegang bayi anda dengan rapat. Sentuhan kulit bayi dan anda dalam masa 1 jam yang pertama selepas kelahiran selama sekurang-kurangnya 10 minit akan mengeratkan hubungan anda.
Suatu ketika dahulu, penyusuan dikatakan akan menyebabkan berlaku osteoporosis kepada ibu. Namun kenyataan ini tidak benar.
Penyusuan susu ibu sudah tentu menjimatkan wang, susu adalah percuma. Mungkin perlu beli sedikit barang jika ibu bekerja dan perlu memerah susu. Namun belian ini hanya sekali belian berbanding susu formula yang perlu dibeli setiap bulan. Ibu bapa yang kurang kemampuan, terpaksa berjimat, membeli susu formula murah yang kurang berkhasiat. Bayi tidak mendapat khasiat yang sepatutnya. Selain jimat tidak perlu membeli susu formula, ia menjimatkan wang untuk kos rawatan. Ini kerana bayi dan ibu berada dalam keadaan sihat. Tidak memerlukan rawatan kesihatan.
Ianya mudah, tidak perlu penyediaan ketika penyusuan. Di waktu malam tidak perlu bangun untuk membancuh susu. Jangan risau tidur anda terganggu. Ibu dengan mudah boleh tidur semula. Ini kerana hormon oksitosin yang dirembes ketika bayi menyusu akan menyebabkan ibu tertidur..
Susu ibu ini jika dikilangkan dan dijual akan menjadi ubatan yang ‘ajaib’ buat bayi anda dan tidak ternilai harganya. Namun ianya tersedia secara percuma yang mampu diberikan kepada bayi. Ia adalah susu terbaik untuk bayi, tiada susu setandingnya. Sayang sekali jika tidak digunakan.
Tanam semangat
Tanamkan semangat anda mampu menyusu bayi anda. Yakini susu anda boleh membesarkan bayi anda. Dengan mempelajari ilmu mengenainya dan membuat persediaan awal, susu yang diamanahkan untuk bayi ini mampu anda beri. Setiap titisan air susu yang dihisap oleh bayi adalah pahala buat anda. Niatkan ia kerana Allah s.w.t. Pentingnya penyusuan susu ibu sehingga terdapat ayat yang mengatakan tentang penyusuan susu ibu iaitu dalam Surah Al-Baqarah ayat 233.
Namun bagi ibu yang menghadapai masalah tidak dapat memberi susu badan kerana masalah tiada susu atau penyakit, jangan bersedih. Tetap ada ganjaran untuk anda!