Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan jadual imunisasi kebangsaan yang wajib diambil. Vaksin yang diberikan berbeza mengikut negara. Ia bergantung kepada penyakit yang sering menyerang negara berkenaan. Selain dari yang diwajibkan oleh pihak kerajaan, terdapat vaksin-vaksin yang dicadangkan untuk diambil. Dapatkan nasihat doktor mengenai kebaikan, keselamatan dan risiko vaksin tersebut.
Isi Kandungan
Kenapa perlu vaksin?
Imunisasi bayi penting untuk mengelak penyakit yang sering terjadi kepada bayi terutama bayi baru lahir. Vaksin diberikan untuk meningkatkan tahap imunisasi terhadap penyakit yang lazim terjadi. Ia diberikan mengikut peringkat umur dengan vaksin pertama ketika bayi baru lahir. Ia adalah sebagai pelindung daripada penyakit berjangkit yang boleh membawa maut.
Setiap bayi akan mendapat kad atau buku vaksin. Kad ini mengandungi jadual imunisasi kebangsaan yang disarankan jenis vaksin dan peringkat umur. Kad ini hendaklah dibawa ketika vaksin untuk mencatat tarikh divaksin. Kad ini juga untuk mengingatkan tarikh berikut untuk mengambil vaksin. Tunggu seketika di klinik untuk memerhatikan jika bayi anda mempunyai reaksi selepas vaksinasi.
Simpan kad kerana maklumat ini diperlukan ketika masuk sekolah untuk semakan dan untuk pemberian vaksin seterusnya. Ada sesetengah negara memerlukan rekod ini andai ingin bermaustatin di negara mereka.
Jadual Imunisasi Kebangsaan terkini
Jadual imunisasi kebangsaan ini telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk diambil oleh bayi sejak lahir sehingga berusia 15 tahun. Di Malaysia, vaksin diberikan selepas kelahiran bayi dengan suntikan vaksin BCG dan vaksin Hepatitis B. Suntikan vaksin seawal dilahirkan ini penting untuk mengelak penyakit yang mudah merebak dan merbahaya kepada bayi.
Seterusnya vaksin diambil mengikut jadual dan dos yang ditetapkan. Ikut saranan jenis vaksin dan peringkat umur untuk mendapat perlindungan sepenuhnya. Vaksin yang diberikan sedikit berbeza untuk negeri Sarawak, di mana terdapat vaksin untuk JE. Jadual ini mungkin akan berubah mengikut keadaan. Rujukan Jabatan Kesihatan
Jenis penyakit yang dapat dielak dengan vaksinasi
Adalah penting untuk mengambil vaksin mengikut jadual imunisasi bagi mengelak jangkitan penyakit merbahaya terhadap bayi. Berikut penjelasan mengenai vaksin dan penyakit yang berkaitan.
Vaksin | Perlindungan | Kesan Penyakit |
---|---|---|
BCG (Basile Calmette-Guerin) | Tuberkulosis (tibi) | Penyakit merebak melalui udara seperti bersin, batuk dan pernafasan. Ia menyebabkan masalah paru-paru dan mungkin memberi kesan pada tulang dan meninges (otak) |
Hepatitis B | Hepatitis B | Penyakit hati merebak daripada darah atau cecair badan lain seperti air liur dan air kencing. Ia menyebakan kerosakan hati dan boleh menyebabkan kanser |
DTap | Difteria Tetanus Pertusis | Difteria – memberi kesan kepada sistem pernafasan disebabkan bakteria yang merebak melalui batuk dan bersin. Ia akan menyebabkan komplikasi terhadap jantung dan lumpuh. Tetanus (kancing gigi) – bakteria yang masuk ke badan akibat luka dalam, calar yang kecil atau melalui tali pusat bayi . Ia juga dikenali sebagai kancing gigi kerana gusi akan terkancing dan perlu rawatan di hospital. Jika tidak dirawat boleh menyebabkan kematian Pertussis (batuk whooping) – bakteria mudah merebak melalui sentuhan, batuk dan bersin. Boleh menyebabkan keradangan pada paru-paru. |
Hib | Haemophilus Influenzae type B | Bakteria dipindahkan melalui udara. Jika paru-paru atau saluran darah tercemar, ia akan menyebabkan keradangan pada otak (meningitis) |
Polio | Polio | Virus polio boleh merebak daripada mereka yang menghidapnya atau melalui makanan dan minuman yang tercemar. Ia menyebabkan sakit otot dan lumpuh. |
MMR | Measles campak) Mumps (beguk) Rubella | Measles – disebabkan oleh virus yang disebarkan melalui pernafasan, batuk atau bersin. Menyebabkan keradangan paru-paru dan otak. Wanita hamil juga perlu berhati-hati kerana boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pra matang. Mumps – disebabkan oleh virus dari keluarga virus paramyxo. Mudah tersebar melalui udara. Boleh menyebabkan keradangan otat, pekak atau kematian. Rubella (german measles)– merebak melalui udara samada batuk, bersin atau pernafasan. Wanita hamil juga perlu berhati-hati dengan penyakit ini kerana boleh menyebabkan komplikasi ketika hamil. |
JE | Japanese Encephalitis | Hanya di Sarawak. Penyakit bawaan nyamuk. Ia akan menyerang sistem saraf dan menyebabkan komplikasi teruk. Ia boleh menyebabkan kematian. |
HPV | Human Papillomavirus | Hanya remaja perempuan berusia 13 tahun. Jangkitan pada pangkal rahim. Ia boleh menyebabkan barah pangkal rahim |
Pemberian vaksin telah terbukti dapat mencegah penyakit-penyakit di dalam senarai di atas. Sesetengah penyakit di atas hampir tidak pernah lagi didengari. Ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi yang telah diamalkan di Malaysia.
Mitos vs Fakta Vaksin
Jadual imunisasi kebangsaan direka untuk memberi perlindungan yang bersesuaian mengikut keadaan di Malaysia. Jadual imunisasi bagi negara lain akan berbeza-beza mengikut negara berkenaan. Jangan terpengaruh dengan anasir anti-vaksin. Dalam Islam turut meletakkan hukum vaksin sebagai harus dan wajib kerana ia dapat membedung penyakit.
Adakah semua bayi perlu divaksin?
Sekiranya bayi tiada masalah terhadap vaksin, ia wajib di ambil. Kesan pengambilan vaksin telah menyebabkan penyakit-penyakit yang suatu ketika dulu biasa seolah pupus. Tren terkini keengganan ibu bapa mengambil vaksin kerana kononnya memberi kesan buruk menyebabkan muncul semula penyakit-penyakit ini.
Adakah mereka tidak sedar pemberian vaksin kepada mereka semasa kanak-kanak telah melindungi mereka dari penyakit-penyakit merbahaya ini. Oleh kerana vaksin-vaksin ini telah berjaya mengawal merebaknya penyakit-penyakit menyebabkan mereka berasa penyakit itu tidak wujud. Dan menidakkan keperluan vaksin kepada anak mendedahkan penyakit kepada anak mereka. Sayangi anak dengan memberi perlindungan kepada anak, bukan dengan menolak vaksin. Kesan tidak memberi vaksin kepada anak-anak telah mula memberi kesan dengan timbul kembali penyakit yang telah dianggap pupus itu.
Namun bukan semua bayi sesuai divaksin. Sebilangan kecil ada masalah kesihatan atau alah kepada vaksin, jadi bayi-bayi ini tidak divaksin. Doktor akan menasihati ibu bapa mengenai anak mereka. Oleh kerana ada anak yang tidak boleh divaksin maka perlu bagi mereka yang sesuai mendapatkan vaksin. Ini juga sebagai langkah perlindungan kepada yang tidak boleh divaksinasi, mengelak penyebaran dan mewujudkan wabak penyakit. Ia dipanggil Imuniti Kelompok (Herd Imunity).
Kisah benar pesakit Polio
Ada kisah benar mengenai pesakit polio telah difilemkan bertajuk “Breathe”. Boleh tonton filem ini. Kisah ini berkisar pada tahun 1950 an mengenai seorang lelaki bernama Robin Cavendish. Beliau dilahirkan sihat dan membesar dengan normal. Mempunyai pekerjaan dan berkeluarga. Namun pada usia 28 tahun beliau telah dijangkiti penyakit polio menyebabkan lumpuh seluruh badan dan tidak mampu bergerak. Hanya dapat mengerakkan kepala. Pernafasan juga perlu dibantu dengan alat pernafasan.
Doktor hanya memberi jangkaan hidup selama 3 bulan. Penyakit ini adalah penyakit yang kerap berlaku pada ketika itu. Beliau dapat bertahan namun lumpuh dan perlu bergantung kepada alat pernafasan seumur hidup. Akhirnya meninggal kerana mengalami masalah pendarahan di paru-paru.
Bayangkan jika tanpa perlindungan vaksinasi dan anak dijangkiti penyakit polio yang boleh dicegah sekarang ini. Kemudaratan kesan tidak mendapat vaksin adalah lebih besar. Ikuti jadual imuninasi kebangsaan yang telah ditetapkan untuk memberi perlindungan kepada anak anda dan juga masyarakat. Pasti anda tidak ingin kisah Robin Cavendish ini berulang kepada anak anda.