Bayi normal dilahirkan antara 37 ke 41 minggu. Manakala bayi yang lahir sebelum minggu ke 37 dikira sebagai bayi lahir pramatang. Kelahiran pramatang dianggarkan berlaku antara 4% ke 16% di seluruh dunia. Kelahiran pramatang menjadi salah satu punca kematian kanak-kanak sebelum usia 5 tahun.
Isi Kandungan
Jenis kelahiran pramatang
Jenis kelahiran pramatang dibahagi kepada empat mengikut tempoh kehamilan.
- Pramatang terlalu awal – Ini berlaku sebelum 28 minggu
- Pramatang awal – Berlaku antara 28 ke 32 minggu
- Pramatang sederhana awal – Berlaku antara 32 ke 34 minggu
- Pramatang lewat – berlaku antara 34 ke 37 minggu
Tempoh kelahiran ini mempengaruhi samada bayi dapat bertahan atau tidak. Bayi yang lahir pramatang lewat lebih berpeluang untuk hidup dan mungkin tidak memerlukan rawatan. Jika dahulu bayi lahir sebelum 28 minggu peluang untuk hidup amatlah tipis, kini dengan teknologi moden banyak membantu bayi untuk terus hidup. Namun untuk bayi yang lahir sebelum 23 minggu peluang untuk hidup sangat tipis, jarang yang dapat bertahan.
Apakah punca kelahiran bayi pramatang?
Punca kelahiran bayi pramatang berlaku atas pelbagai sebab. Ia boleh berpunca dari bayi sendiri atau ibu yang menghadapi masalah.
Punca bayi
- Kelahiran bayi pramatang ini boleh berlaku secara spontan
- Berlaku jangkitan kepada bayi
- Kehamilan bayi kembar
- Masalah kesihatan bayi
Punca ibu
- Ibu yang menghadapi penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi (preesclampsia), menyebabkan ibu perlu bersalin lebih awal.
- Ibu yang mempunyai masalah pada rahim dan uri seperti uri berada di bawah.
- Ibu yang pernah melahirkan anak tidak cukup bulan berkemungkinan melahirkan anak seterusnya yang tidak cukup bulan juga.
- Ibu yang pernah alami keguguran terutama kerap gugur berisiko melahirkan anak pramatang.
- Usia ibu terlalu mudah, belum mencapai usia 17 tahun atau ibu yang berusia lebih 35 tahun.
Gaya hidup ibu
Gaya hidup ibu yang tidak sihat juga memainkan peranan. Keadaan ini boleh diubah dan dielak. Untuk mengatasi masalah berpunca daripada ibu, sebelum hamil, beri perhatian kepada penjagaan kesihatan. Amalkan hidup yang sihat, dapat mengurangkan risiko bayi lahir tidak cukup bulan.
- Ibu yang menghisap rokok, minum alkohol dan mengambil dadah.
- Berat badan ibu yang kurang atau berlebihan berat badan.
- Emosi ibu yang tidak stabil boleh menjejaskan kehamilan.
Kesan bayi lahir tidak cukup bulan
Bayi yang lahir tidak cukup bulan berisiko menghadapi masalah kesihatan. Semakin awal kelahiran semakin tinggi risiko dan kemungkinan untuk hidup semakin tipis. Tetapi tidak semua bayi lahir pramatang bermasalah dan memerlukan rawatan. Bayi akan dipantau untuk memastikan mereka benar-benar sihat.
Kesan bayi lahir tidak cukup bulan berlaku diperingkat awal kelahiran dan mungkin berlanjutan dalam jangka masa panjang.
Komplikasi peringkat awal
Ketika lahir bayi berisiko menghadapi pelbagai masalah. Sebaik sahaja dilahirkan doktor akan menjalankan pemeriksaan terperinci untuk mengawasi kesihatan bayi.
- Paru-paru – Bayi pramatang, terutama lahir sebelum 34 minggu, berisiko menghadapi masalah pernafasan. Bayi yang lahir awal, paru-paru masih belum matang (bronchopulmonary dysplasia). Ini menimbulkan masalah untuk bernafas. Kemungkinan akan berlaku apnea iaitu pernafasan bayi tiba-tiba berhenti. Bantuan oksigen diperlukan.
- Jantung – Bayi akan mengalami tekanan darah rendah patent ductus arteriosus (PDA) iaitu berlaku pembukaan antara dua saluran utama, arteri dan aorta.
- Otak – Risiko pendarahan otak iaitu pendarahan intraventricular. Jika berlaku pendarahan yang lebih besar ia boleh menyebabkan kecacatan otak yang kekal
- Darah – kemungkinan mengalami anemia dan jaundis. Anemia adalah keadaan darah merah yang tidak mencukupi dalam badan. Apabila darah merah tidak mencukupi ia tidak dapat membuang bilirubin dalam badan. Bayi juga mungkin mengalami jangkitan dalam darah (Neonatal sepsis)
- Penghadaman – Sistem penghadaman bayi pramatang masih belum berkembang dengan sempurna. Bayi akan menghadapi masalah apabila memulakan penyusuan. Ketika ini disarankan untuk memberi susu ibu sahaja.
- Kawal suhu badan – Bayi lahir dengan berat badan yang tidak mencukupi dan Ini menyebabkan lemak badan kurang. Apabila lemak kurang, bayi menghadapi masalah untuk mengawal suhu badan. Mereka memerlukan bantuan inkubator untuk kekalkan suhu badan agar tidak berlaku hipotermia.
- Sistem imunisasi – Sistem imunisasi bayi belum berkembang dengan sempurna. Kesannya bayi mudah mendapat penyakit kerana daya tahan badannya amat lemah.
- Metabolism – Bayi pramatang mungkin alami kadar gula yang rendah dalam darah. Ini mengakibatkan mereka menghadapi masalah untuk menukar gula ke tenaga.
Komplikasi jangka panjang
Dalam jangka masa panjang bayi pramatang berisiko menghadapi masalah kesihatan yang kekal dan tidak dapat diubati.
- Celebral palsy – kecederaan otak yang berlaku menyebabkan masalah pergerakan, otot-otot dan postur badan.
- Penglihatan – Mungkin menghadapi penyakit retinopati pramatang. Ia berlaku apabila saluran darah mengembang dan mengganggu retina. Ia boleh menyebabkan mata menjadi buta.
- Pendengaran – mungkin menghadapi masalah pendengaran
- Pembelajaran – berisiko menghadapi masalah untuk belajar tidak seperti bayi yang lahir normal.
- Pergigian – Berkemungkinan mengalami kecacatan di bahagian luar gigi yang keras, dipanggil enamel. Bayi juga mungkin mengambil masa lebih lama untuk tumbuh gigi.
- Tingkah laku dan mental – berisiko menghadapi kelewatan perkembangan dan masalah kesihatan mental.
- Penyakit – Risiko mengalami pelbagai penyakit yang berpanjangan dan berisiko mengalami kematian bayi yang mengejut tanpa sebab (SIDS) terutama semasa tidur
Penjagaan bayi pramatang di rumah
Ada bayi pramatang tidak mempunyai masalah dan terus boleh dibawa pulang selepas pemeriksaan mendapati bayi sihat. Pemantauan dirumah dan membuat pemeriksaan berkala yang ditetapkan.
Bayi pramatang yang lahir terlalu awal akan dirawat di hospital selama beberapa minggu ke beberapa bulan sehingga telah sedia untuk pulang. Pemantauan berterusan diperlukan di rumah bagi memastikan tiada masalah. Pemeriksaan masih perlu diteruskan mengikut keadaan bayi. Ia mungkin berterusan sehingga besar.